• Najib Tun Razak  
  • Najib Tun Razak. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata Barisan Nasional (BN) mendukung prinsip sederhana, progresif, pertengahan, inklusif dan adil dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.
  
Perdana Menteri berkata ini akan memastikan parti kekal dinamik dan relevan, dan terus mendapat sokongan daripada rakyat.
  
Merasmikan persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-42 di Menara PGRM di sini, Najib berkata BN juga akan menolak politik perkauman dan ekstremisme dan elemen-elemen lain untuk melindungi apa yang dibangunkan oleh rakan-rakan pengasas BN.
  
"Saya sebagai perdana menteri dan pengerusi BN akan mengekalkan perjuangan ini dan asas ini dalam parti dan kerajaan," katanya.
  
Najib berkata suara parti-parti komponen BN akan didengari.
  
"Kami cuba mencapai persetujuan. Kami mungkin tidak dapat mencapai persetujuan 100 peratus (pada setiap masa), tetapi kami akan cuba sebaik mungkin untuk mengambil kira semua pandangan. Inilah semangat BN," katanya.

Najib berkata sebagai sebuah parti, BN mesti sentiasa melakukan proses muhasabah.
  
"Kita mesti sentiasa melihat kepada kekuatan kita, bina kekuatan kita dan atasi kelemahan kita. Barulah kita akan menjadi sebuah parti yang berani berubah,  parti yang melakukan adaptasi di sebalik landskap politik yang sudahpun berubah dan melakukan pembaharuan yang perlu".
  
Ini, katanya, akan menjadikan BN terus dilihat sebagai sebuah parti yang segar serta mencerminkan suara hati generasi baharu.
  
"Tetapi yang penting kita sudah mulakan perjalanan ini, dan kita mesti merasa yakin bahawa kita berada di atas landasan yang benar dan betul.
  
"Dan kita akan teruskan perjalanan kita sehingga matlamat kita tercapai sepenuhnya," tegas Najib pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,700 perwakilan itu.

Menyentuh mengenai Pulau Pinang yang pernah menjadi kubu kuat Gerakan, Najib berkata ia menjadi antara negeri yang paling berjaya hasil pelaksanaan dasar-dasar BN.
  
Tetapi ironinya ialah negeri itu kini menjadi cabaran buat BN, kata Perdana  Menteri.
  
Katanya, kekalahan Gerakan di Pulau Pinang dalam dua pilihan raya umum yang lepas tidak harus melemahkan semangat parti itu.
  
"Saya percaya Gerakan masih ada semangat. Kita mesti percaya pada diri kita sendiri, kita mesti ada keberanian dan keyakinan bahawa parti BN adalah parti yang baik untuk rakyat Malaysia," tegasnya.
   
Najib menarik perhatian bahawa Pulau Pinang merupakan negeri yang berjaya di bawah teraju Gerakan sebelum ini sehingga terkenal dalam bidang pelancongan dan  pelaburan.
   
Perdana Menteri turut memuji Pemangku Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn  berhubung keputusannya untuk berundur bagi memberi laluan kepada pemimpin baharu.