Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Wednesday 23 October 2013

Pertandingan Satu Lawan Satu Di PRK Sungai Limau

YAN, 23 Okt  - Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 4 Nov ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.
BN diwakili bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, yang juga Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Jerai, manakala Pas diwakili Ketua Pemuda Jerai Mohd Azam Samat, 37, yang juga pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam Kedah.
Pengumuman perkara itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Abd Rashid Othman selepas proses penamaan calon di Dewan Dato’ Madi di sini ditutup pada 10 pagi ini.
“Saya telah menyemak syarat kelayakan calon dan saya berpuas hati tiada calon yang ditolak pencalonannya,” kata Abd Rashid.
penamaan-calon-dun-sungai-limau-kedah-bn-prof-dr-sohaimi-lazim-muhyiddin
Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir turut mengiringi Ahmad Sohaimi ke pusat penamaan calon bersama beberapa pempimpin tertinggi UMNO dan parti-parti komponen.
Tiga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan pemangku Presiden Gerakan Chang Ko Youn turut hadir.
Mohd Azam pula diiringi beberapa pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Naib Presidennya Datuk Mahfuz Omar yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah serta Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof turut hadir bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon pagi ini.
Pengumuman pertandingan antara dua calon itu turut menerima sorakan dan tepukan daripada penyokong BN dan Pas yang berada di pusat penamaan calon itu sejak pukul 6 pagi.
SPR buat pertama kali mengeluarkan 200 keping pas terbuka, masing-masing 100 untuk BN dan Pas, bagi membolehkan penyokong memasuki kawasan pusat penamaan calon.
Kerusi DUN Sungai Limau kosong selepas wakil rakyatnya yang juga bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak meninggal dunia pada 26 Sept lepas. Azizan merupakan penyandang kerusi DUN itu sejak pilihan raya umum 1995.
Pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas, Azizan mengekalkan DUN Sungai Limau bagi penggal kelima berturut-turut dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru termasuk sepupunya Mohd Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN.
Sebanyak 58 saluran di 17 pusat mengundi akan dibuka untuk pilihan raya kecil itu.
DUN Sungai Limau mempunyai 27,222 pemilih berdaftar dan daripada jumlah itu, 25,323 orang atau 93 peratus ialah pengundi Melayu, Cina (1,842 orang atau 6.7 peratus), India (15 orang atau 0.6 peratus) dan selebihnya kaum-kaum lain.
Proses penamaan calon itu berjalan lancar dalam cuaca baik tanpa sebarang kejadian tidak diingini, walaupun parti-parti politik yang bertanding itu membawa bersama ribuan penyokong.
Keadaan trafik di pekan Yan yang lancar pagi ini, sesak selepas pengumuman calon untuk pilihan raya kecil itu.

No comments:

Post a Comment