• Azalina Othman Said  
PAPAR - Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyangkal dakwaan wujud campur tangan dalaman di sebalik tindakan Datuk Seri Azalina Othman Said menarik diri daripada pertandingan jawatan ketua Wanita Umno bulan depan.

"Kepimpinan Umno sentiasa berpegang kepada prinsip demokrasi serta bersikap terbuka, terpulang kepada hak individu mahu bertanding atau menarik diri kerana yang menentukan semuanya adalah di hari penyerahan borang pencalonan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Lambaian Merdeka Raya di Kampung Pengalat Besar, dekat sini hari ini.

Katanya beliau percaya keputusan Azalina yang merupakan bekas Ketua Puteri Umno itu didorong kesedaran bahawa tindakan berkenaan hanya akan mewujudkan perpecahan dalam kalangan Wanita Umno.   

Mengulas lanjut, Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, berkata sepatutnya tindakan Azalina itu dilihat secara positif.

"Itu satu tindakan terbaik," katanya.    

Azalina sebelum ini dilapor menarik diri daripada mencabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk jawatan ketua Wanita Umno pada pemilihan bulan depan selepas berbincang dengan pemimpin tertinggi parti.

Beliau bagaimanapun akan mempertahankan kerusi anggota Majlis Tertingginya. - Bernama