Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Monday, 30 September 2013

Tarik balik ugutan heret ROS ke mahkamah

R. Ramanan

Pengerusi DAP, Karpal Singh disifatkan sebagai seorang yang biadab dan angkuh kerana mengugut untuk mengheret Pendaftar Pertubuhan (ROS) ke mahkamah jika parti itu terus didesak berhubung pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Aktivis MIC, Datuk R. Ramanan berkata, Karpal ternyata berkelakuan seperti ahli politik murahan apabila memperlihatkan seolah-olah beliau dan pemimpin tertinggi DAP 'kebal' dengan undang- undang.

"Karpal tidak perlu membuat ancaman kepada ROS, sebaliknya beliau perlu kembali semula ke sekolah undang-undang dan belajar tentang Perlembagaan parti DAP terlebih dahulu.

"Setiap rakyat di negara ini perlu menghormati dan mendukung undang-undang. Tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang, tetapi seperti biasa Karpal dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng percaya mereka boleh melanggar undang-undang sesuka hati," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Karpal dalam ucapan pada Kongres Ke-16 DAP hari ini memberi amaran kepada ROS bahawa parti itu bersedia membawa isu membabitkan pemilihan CEC ke mahkamah jika terus didesak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor turut mengingatkan pertubuhan itu supaya tidak 'main-main' dengannya dalam hal berkenaan.

Kongres Ke-16 DAP diadakan berikutan pemilihan semula CEC parti itu yang sebelum ini didakwa berlaku kesilapan teknikal dari segi kiraan undi.

Ramanan berpendapat, tindakan Karpal mengugut ROS adalah bertujuan untuk memancing undi daripada perwakilan.

Sebagai pengamal undang-undang katanya, Karpal tidak harus memalukan diri sendiri dengan menunjukkan sikap emosi dan tidak profesional.

"Hal ini dapat dilihat apabila pada 15 Ogos lalu beliau ada membuat kenyataan bahawa kongres parti memerlukan notis selama 10 minggu tetapi pendiriannya berubah dan seolah-olah tunduk mengikut kata Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang bertegas menyalahkan ROS.

''Tindakannya yang cuba mengalihkan perhatian perwakilan, secara tidak langsung memberi ilusi palsu kepada ahli-ahli bahawa parti itu akan mengambil alih kerajaan Persekutuan," katanya.



No comments:

Post a Comment