• Halina Zakaria  
  • Halina Zakaria
KUALA NERUS - “Sebagai isteri, saya akan sentiasa memberikan sokongan kepada beliau dan berharap beliau dapat menunaikan amanah yang diberi dengan sebaiknya,” demikian kata isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Halina Zakaria, 46.

Menurutnya, beliau juga sedia berdepan apa sahaja cabaran termasuk kekangan masa suaminya yang kini memikul tanggungjawab lebih besar sebagai pemimpin utama negeri.

“Saya yakin beliau dapat memikul tanggungjawab yang diberikan (sebagai Menteri Besar) dan saya serta anak-anak akan sentiasa berada di belakang bagi memastikan segala amanah dan kepercayaan yang diberikan terhadap beliau itu dapat ditunai sebaiknya,” katanya.

Jelasnya, mereka sekeluarga juga telah sedia maklum mengenai kesibukan tugas suaminya, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman yang telah dua penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Dengan tanggungjawab baru yang dipikul suami, saya yakin beliau mampu menjalankan tugas dengan sebaiknya terhadap seluruh rakyat Terengganu.

“Saya harap semua pihak memberikan beliau ruang dan peluang sebaiknya untuk menjalankan tugas sebagai wakil Menteri Besar yang baru,” katanya.

Menurutnya yang juga seorang guru, selepas dimaklumkan pelantikan suaminya sebagai Menteri Besar baharu, beliau sememangnya bersedia untuk mengharungi segala cabaran yang bakal dilalui nanti.

“Secara jujurnya saya terharu dengan pelantikan beliau (Ahmad Razif) sebagai Menteri Besar yang baru dan saya sama sekali tidak menjangka perkara ini, namun saya yakin dengan kemampuan dan kebolehan beliau,” katanya.

Hasil perkongsian hidup dengan Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri itu, mereka dikurniakan anak iaitu Shahrul Azri; 23, Aziati; 22, Noradila; 18 dan Shahrul Imran, 13.