Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Thursday 29 November 2012

Puteri menunggu tiupan semboyan

Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin
Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin
 
PERHIMPUNAN Agung Umno ke-66 merupakan perhimpunan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke- 13 (PRU13). Setelah ditubuhkan 11 tahun, Puteri Umno matang dan menjadikan perhimpunan ini sebagai satu platform bukan sahaja sekadar mencetuskan dan menyatakan kesediaan, tetapi secara holistik, Puteri bersedia untuk menghadapi PRU13.

Ikuti temu bual bersama Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, bersama wartawan Sinar Harian, G. MANIMARAN dan NORSHAHZURA MAT ZUKI serta jurufoto MUHAMMAD ZULFADHLI AHMAD ZAKI.
 
Datuk telah menjadi Ketua Pergerakan Puteri Umno (Puteri) empat tahun, bagaimana Datuk menerajui pimpinan Puteri?
 
ROSNAH: Sebenarnya, pergerakan Puteri telah melalui tiga fasa, perubahan kepimpinan tiga Ketua Puteri telah menerajui jawatan ini dalam era berbeza. Datuk Seri Azalina Othman Said, era Puteri ditubuhkan yang dicetuskan oleh kepimpinan kerana melihat dalam keadaan politik semasa menuntut supaya wujud satu entiti yang mewakili generasi muda. Pada waktu itu peranan wanita ke arah tanggungjawab politik dan menjurus satu senario  kematangan. Golongan muda tidak mempunyai platform untuk luahkan pendapat, melakukan aktiviti menjurus kepada sokongan kepada kerajaan. Puteri ditubuhkan. 

Era Datuk Seri Azalina, Puteri sesuatu jenama baru, perlu diperkenalkan dan diterima dan memainkan peranan. Era Datuk Noraini Ahmad pula Puteri telah bertapak, pada ketika itu Puteri perlu menyerlahkan peranan dan identiti Puteri. Keadaan politik tidak mencabar dibandingkan ketika ini. Setelah saya terajui kepimpinan Puteri 2008, senario politik negara telah berubah di mana tuntutan dalaman parti itu sendiri berubah menyaksikan ketika ini terdapat suara-suara yang melihat kepada proses demokrasi perlu dilaksanakan. Oleh itu jawatan tertinggi Puteri dipertandingkan. Ia kali pertama jawatan Ketua Puteri dan Naib Ketua Puteri dipertandingkan. Saya kira dalam era itulah kita meniti kematangan dan mengamalkan proses demokrasi dan sebelum ini kita tidak didedahkan dengan proses yang sama. 

Pada 2008, kita melihat pada dua cabaran cabaran dalam parti (Puteri) dan cabaran luar. Barisan pembangkang berbeza, pembangkang yang sanggup berbuat apa sahaja untuk menyerlahkan ketandusan dan kelemahan kita. Mereka beria- ia berkuasa, setelah menguasai beberapa buah negeri. Cabaran di dalaman pula, selepas pertandingan, kita mahu
merapatkan barisan, selesaikan sebelum menggerakkan jentera Puteri untuk menghadapi senario seterusnya.
 
Adakah Puteri menghadapi cabaran sama seperti pada tahun 1999?  
ROSNAH: Walaupun Puteri belum ada pada tahun 1999 tetapi cabaran Puteri ialah usaha pemantapan. Sebagai Ketua Puteri, saya merasakan usaha tersebut perlu ambil masa. Barisan kepimpinan Puteri dapat dirapatkan. Tumpuan kami sejak tiga tahun perkasakan persediaan parti itu sendiri. Dari segi persediaan menghadapi PRU13, kita telah memulakan awal.
 
Bagaimanakah Datuk sebagai Ketua Puteri yang terakhir melihat PRU13 kerana sesetengah pihak menganggap ia mencabar?
 
ROSNAH: PRU13, bukan bukan sahaja satu pilihan raya mencabar. PRU13 inilah adalah getir dan ibu kepada semua pilihan raya yang pernah dilalui. Selaku Ketua Puteri kita perlu melakukan persediaan luar biasa. Kita tidak akan berdiam diri dengan hanya melaksanakan tugas teras untuk kendalikan sistem di dalam Umno dan Barisan Nasional (BN). Kita tidak berpeluk tubuh dan hanya gembira membuat apa yang kita perlu buat. Kita pastikan bahawa keupayaan kita mengendalikan sistem itu perlu diperluaskan. Kita juga berperanan untuk menangani masalah yang hadir media alternatif.
 
Adakah Datuk mengambil alih Puteri dalam keadaan terkejut?
ROSNAH: Sebenarnya saya terkejut. Kita melalui fasa pertandingan, kita tidak tahu untung nasib kita ketika itu. Saya menerajui jawatan yang kedua, Naib Ketua Puteri, tetapi saya tidak menaruh keyakinan tinggi untuk memenangi kerana jawatan Ketua Puteri ditandingi oleh enam individu mempunyai kekuatan masing-masing. Takdir bersama saya, saya terpilih. Saya terkejut, saya terus kembali kepada diri saya, saya diberikan mandat dan harus bertanggungjawab.
 
Adakah Datuk rasa terbeban?  
ROSNAH: Beban tidak akan hilang daripada bahu kita sampai bila- bila. Kita tidak boleh rasa terbeban kerana dengan beban itu melahirkan amanah dan perasaan untuk melakukan terbaik untuk parti.
 
Apa yang Datuk belum dan telah buat menjadi Ketua Puteri?
 
ROSNAH: Saya boleh memberikan senarai yang panjang. Kita mempunyai perancangan tetapi Tuhan yang menentukan. Saya sedar bahawa ada tempoh tertentu untuk melaksanakan apa yang saya rancang. Namun masa yang sama yang membantu berfikiran positif walaupun saya tidak mampu laksanakan. Saya yakin kita mempunyai barisan kepimpinan di kalangan individu di Puteri yang berkaliber dan berkemampuan untuk mewarisi kepimpinan ini serta meneruskan apa yang dirancang sebelum ini selepas kepimpinan saya.
 
Puteri salah satu sayap Umno. Pada tahun 2008, kepimpinan Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri gusar. Bagaimana keadaan sekarang?
 
ROSNAH: Pada 2008, saya gusar, bercampur aduk dengan kekecewaan di atas kekalahan beberapa buah negeri. Saya tidak kata saya gembira sehingga saya dapat mengetahui keputusan PRU13. Insya-ALLAH, kita doakan PRU13 akan dimenangi oleh kepimpinan BN. 

Saya tidak mendapat tidur lena sejak empat tahun lepas. Kita sentiasa memikirkan dan perlu kembali kepada hakikat, perkara ini perlu dilakukan secara berterusan untuk menyatakan bahawa kami telah memberikan yang terbaik. Jika tidak cukup, kita perlu lakukan yang berlainan. Kita hadapi cabaran luar biasa, persediaan luar biasa perlu dilakukan. Saya yakin kemampuan Puteri, tidak hanya memberikan komitmen dan kekuatannya. Keahlian Puteri ialah 396,000 dan 366,000 daripada jumlah ahli merupakan pengundi. Jadi Puteri adalah 10 peratus ahli Umno dan 80 peratus adalah pengundi.
 
Adakah 366,000 pengundi boleh menentukan jatuh bangun Puteri?
ROSNAH: Saya tidak berkata demikian kerana dari segi jumlah, kita yang paling kecil jika dibandingkan Wanita dan Pemuda. Seluruh negara, jumlah besar, jumlah ini kita yakin 366,000 akan dapat beri kekuatan kepada parti untuk golongan wanita muda yang kita tahu berada saluran tiga, empat dan lima.
 
Apa peranan Puteri dalam menarik pengundi?

ROSNAH: Selain kita pastikan ahli kita daftar sebagai pengundi, kita juga berperanan laksanakan program khusus untuk tarik generasi muda. Dua hari lepas, Himpunan Wanita Muda Negara berjaya himpunkan 14,000 wanita muda daripada pelbagai latar belakang. 

Penerimaan generasi muda kepada Barisan Nasional begitu menyerlah. Kita berbeza dengan Pakatan Rakyat (PR). PR memilih untuk membawa generasi muda menyertai demonstrasi jalanan dan menghimpunkan mereka untuk mewujudkan kebencian. Kita menghimpun anak muda untuk membantu mereka mengenal potensi, beri ruang dan peluang suara hati. Ini dibuktikan dengan program Himpunan Sejuta Belia. Himpunkan dalam satu platform serlah bakat dan potensi, tampilkan wanita- wanita muda berjaya dijadikan ikon satu figura dicontohi, ini jelas membuka minda dan pendekatan positif terhadap generasi muda yang tidak berpersatuan.
 
Ke mana hala tuju Puteri. Apabila habis jawatan, ke mana hala tuju Ketua Puteri?
 
ROSNAH: Menjawab dua aspek berbeza iaitu Pergerakan Puteri dan Ketua Pergerakan Puteri. Pergerakan Puteri tidak pernah berubah hanya satu objektif menjadikan Puteri sebagai platform lahirkan pemimpin wanita muda yang boleh dibanggakan, apabila berhijrah ke wanita, menjadi pemimpin berkaliber dan mempunyai pengalaman. Penghijrahan mereka tersebut meniti kedewasaan dalam kepimpinan. Hala tuju Puteri, kita ingin Puteri kekal memainkan objektif menyumbang kepada parti, agama, bangsa dan negara. Mereka juga mendekati golongan muda kepada kepimpinan. Hala tuju apa akan berlaku Puteri jika dibandingkan dengan Pemuda, Datuk Azalina dilantik Menteri, Datuk Noraini Timbalan Menteri Sumber Manusia. Kedua-duanya masih kekal sebagai Ahli Parlimen. Kedua-duanya tidak berperanan saya kurang bersetuju kerana mereka memainkan peranan dan penting apabila menjadi Ahli Parlimen mewakili kawasan masing- masing. Terpulanglah, bukanlah tempat saya menetapkan ini perlu berlaku kepada Ketua Pergerakan Puteri.
Secara peribadi, sebagai ahli politik kita tidak seharusnya mempunyai pendekatan bahawa melalui jawatan sahaja kita boleh berbakti. Saya selaku orang parti dan Umno, saya yakin kita mempunyai tanggungjawab mempunyai kedudukan dalam parti kita tidak boleh lari berperanan. Setia dan bertanggungjawab kepada parti, pendekatan itulah saya amalkan. Saya tidak seharusnya memikirkan ‘exit plan’ tetapi saya memikirkan apa yang kita hadapi PRU13, adalah penting dan utama. Saya belum fikir lagi untuk bertanding jawatan apa, apa yang berlaku kerana saya fikir apa yang berlaku kepada parti selepas PRU13. Itu penting. Saya berharap semua Puteri berfikiran sedemikian. Tidak guna ada kedudukan tinggi dalam hierarki parti tetapi hilang sebagai kerajaan.
 
Apa akan dibincangkan pada Perhimpunan Agung Umno kali ini?
ROSNAH: Seperti sayap lain, kita juga akan membincangkan persediaan mental dan fizikal menghadapi PRU13. Kita bersedia hadapi PRU13 sebagai satu pasukan yang kuat dan pergerakan utuh. Kita perlu bersedia menjadi jentera memberikan kesan positif dan memastikan menang dan kekal tampuk kekuasaan sebagai peneraju kerajaan. Ini penting.
 
Bagaimana dengan ucapan dasar?
ROSNAH: Selain isu asas, isu –isu politik, tanggungjawab dan tugasan Puteri. Kita bincang mengenai pendekatan pembangkang. Isu-isu dikupas dari segi ekonomi, politik dan sosial oleh pembahas. Satu platform bukan sahaja sekadar mencetuskan dan menyatakan kesediaan, tetapi secara holistik, fizikal kita bersedia untuk menghadapi PRU13. Perhimpunan terakhir, mengumpulkan sebahagian akar umbi kita perlu pastikan apabila mereka balik, mereka berada dalam keadaan bersedia.
 
Apakah kelainan Perhimpunan Agung Umno kali ini berbanding yang lepas?
ROSNAH: Kelainan dari segi kualiti perbahasan, kematangan ahli- ahli Puteri. Perhimpunan ini mengenai kepimpinan Puteri secara menyeluruh, kita harapkan mereka matang daripada 11 tahun lalu. Kita perlu meniti  kematangan. Saya harap semua A.
 
Adakah Puteri takut dengan wanita- wanita muda pembangkang?
 
ROSNAH: Tidak. Tidak pernah merasa gerun dan gentar wanita pembangkang, Kita yakin kekuatan sendiri kerana ia bukan daripada kelantangan, pembohongan dan keupayaan mencetuskan kemarahan dan kebencian. Kekuatan kita melalui pendekatan berhemah dan memimpin generasi muda yang positif. Kita sedih generasi muda dibincangkan mereka dikatakan tidak bertanggungjawab, tidak sayang negara, ganas, negatif. Bosan dengan sinonim itu, dan perspektif yang dikaitkan. Kita mahu mereka menjadi kebanggaan, wajar lahir generasi muda yang boleh menilai berhemah dan penuh dengan keikhlasan. Kita bergantung kepada generasi muda kerana mereka memimpin masa depan. Kenapa perlu isi jiwa mereka dengan perasaan benci dan tidak puas hati sehingga mereka tidak boleh menilai buruk dan baik. Adakah ini generasi muda sebegini yang kita mahu tampilkan untuk negara
pada masa depan. Saya rasa tidak.
 
Apa komen Datuk apabila pembangkang menyatakan sokongan orang muda meningkat kepada mereka?
 
ROSNAH: Mereka boleh menyatakan apa sahaja. Memang tidak dinafikan orang muda menyokong mereka. Orang muda yang menyokong mereka telah diperalatkan dan diberikan sentimen dan perspektif yang mendukacitakan dan memarahkan kita. Perspektif pembohongan biasa dengan pembangkang. Saya tidak mahu cucu-cucu saya kenal apa demonstrasi jalanan, menghina pemimpin, tidak menghargai pemimpin dan jika berhutang tidak perlu  bayar. Saya menghargai kehidupan mereka dan mahu mereka menghargai pemimpin yang berjuang memerdekakan negara. Pengisian yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan proses transformasi berterusan demi rakyat. Nauzubillah, saya tidak mahu generasi muda kenang keadaan huru-hara.
 
Berapa peratus persediaan Puteri menghadapi PRU13?
 
ROSNAH: Kita memulakan persediaan menghadapi PRU13 sejak tiga tahun lepas. Persediaan bilik gerakan jentera di peringkat cawangan dan bahagian. Dari segi memberikan kursus persediaan, Puteri berganti, setiap masa pendedahan diperlukan. Kita akan cuba apabila wisel atau semboyan ditiupkan. Insya-ALLAH kita bersedia 100 peratus. Bila-bila masa. Boleh dikatakan 90 peratus telah bersedia dan 10 peratus perlu disimpan dahulu. Dari segi teknikal, Insya-ALLAH. Sebagai pengikut yang baik saya tidak tetapkan bila Perdana Menteri membubarkan Parlimen dan menetapkan tarikh PRU13. Beliau seorang sahaja yang boleh membuat keputusan.
 
Apakah harapan Datuk?
ROSNAH: Harapan saya bila-bila masa sahaja Presiden meniupkan semboyan, keseluruhan jentera Umno bersedia.
 
Apa pandangan Datuk mengenai penghijrahan artis?
ROSNAH: Hijrah sesuatu yang baik. Hijrah daripada kurang baik kepada baik dan cemerlang. Jika hijrah kita disebabkan perkara- perkara duniawi seperti kewangan dan sokongan yang tidak berlandaskan sesuatu yang positif, itu penghijrahan yang membawa malapetaka. Kita perlu melihat peranan kita apabila menjadi ikon masyarakat, kita bertanggungjawab untuk membawa pemikiran dan kesetiaan masyarakat itu kepada sesuatu yang positif. 

Apabila kita menjadi ikon, ikutan masyarakat tetapi membawa perkara yang negatif, boleh merosakkan akidah dan pemikiran. Orang itu telah melakukan kesalahan yang besar dan beliau perlu bertaubat. Mereka perlu  bertanggungjawab di atas perbuatan mereka. Saya yakin walaupun masyarakat kita termakan dengan cara dan pendekatan ikutan figura tersebut tetapi ramai yang faham dan saya yakin mereka tidak akan terperangkap dan terjerumus dengan ikutan secara semberono yang didedahkan individu tertentu.
 
Apa pendapat Datuk mengenai penglibatan artis dalam politik?

ROSNAH: Penyertaan artis kepada politik. Saya tidak kata yang ikut Umno baik dan ikut pemsinarharian bangkang tidak baik. Saya tidak tetapkan penilaian itu. Sebagai ikutan, kita bertanggungjawab berikan sesuatu terbaik kerana kita menjadi ikutan. Kita menjadi idola kepada peminat. Kita menjadi figura satu mesej positif kepada masyarakat. Semua pihak bertanggungjawab.
 
Dari segi calon, berapa ramai calon Puteri dalam PRU13 nanti?
 
ROSNAH: Apa yang kita harapkan pihak kepimpinan kekal atau menambah calon-calon. Pada saya, kita tidak tetapkan jumlah. Terpulang kepada Presiden kerana ramai Puteri yang berkaliber dan boleh ditampilkan menjadi calon. Saya akur kekangan kawasan. Saya yakin, Presiden mempunyai kekuatan untuk menampilkan ramai calon wanita pada PRU13. Insya- ALLAH, Puteri ada calon boleh menang.
 
Adakah Puteri yakin kemenangan Umno secara keseluruhan dan kekal berkuasa?
 
ROSNAH: Umno kekal, insya-ALLAH. Saya tidak mahu takbur dalam menjawab soalan ini. Saya yakin sebenarnya dengan apa yang dilaksanakan dan proses transformasi yang dilakukan, membuktikan Umno dan BN adalah parti untuk rakyat. Segala yang dilakukan untuk rakyat dan saya yakin rakyat tahu perkara ini. Mereka akan beri sokongan tidak berbelah bahagi kepada Umno. Saya yakin kita dapat peperangan ini dengan kemenangan selesa, tubuhkan kerajaan. Itu doa saya sebagai ahli parti, ibu dan individu. Doa orang muda yang ingin melihat kesinambungan kepimpinan yang sedia ada kerana kita mempunyai pemimpin yang baik dan cemerlang. Pemimpin yang boleh ke arah negara yang gemilang daripada apa yang telah kita lalui.

Apa pandangan Datuk terhadap doa dibaca pembangkang?
 
ROSNAH: Saya dilahirkan seorang Islam dan mendapat pendidikan agama. Saya tidak pernah mendengar lagi atau diajar untuk menyatakan doa untuk kemusnahan sesuatu kaum atau sesama Islam, tidak pernah diajar dalam Islam. Saya cukup kecewa. Kalau dulu saya masih ada rasa hormat kepada sebuah parti Islam iaitu Pas melalui pemimpinnya yang tidak ekstrem. Apabila doa dilafaz oleh pemimpin Pas, saya hilang hormat kepada parti yang menyatakan mereka memperjuangkan Islam. Ia penghinaan kepada umat Islam secara keseluruhan kerana pemimpin Pas sendiri, Nik Aziz (Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) menyatakan doa ini dibenarkan dalam Islam, ini juga salah. Apabila melakukan kesalahan, kesalahan itu cuba disembunyikan melalui menggunakan agama. 

Sekali lagi, itu juga penghinaan besar. Saya umat Islam, ia sebagai pencabulan satu penghinaan besar yang tidak mampu dimaafkan, bukan kerana mendoakan Umno tetapi ada kesanggupan doakan saudara seagama sudah tentu satu perkara cukup menyedihkan.
 
Apakah mesej Datuk kepada Puteri?

ROSNAH: Saya ingin melihat apabila kita berhadapan dengan Perhimpunan Agung yang melibatkan sayap Puteri , bukan sahaja dapat bahaskan isu dengan kematangan, kita dapat kupas isu dengan tanggungjawab. Saya ingin lihat di mana kita selepas ini. Apa yang kita boleh dapat Perhimpunan Agung Umno, sebagai bekalan, pengisian jiwa dan kudrat untuk parti. Bukan semangat sahaja tetapi kesediaan untuk bertindak. Itu penting. Perlu ada semangat dan tindakan. Kita tidak menang dengan semangat sahaja.
 
66 tahun Umno ditubuh, 55 tahun merdeka, Sabah ada dua pemimpin tertinggi. Adakah itu kebaikan kepada penduduk Sabah?
 
ROSNAH: Dua wakil Sabah yang menjawat jawatan Naib Presiden. Ini pengiktirafan kepada rakyat Sabah. Ini juga menunjukkan Umno adalah parti untuk semua. Umno bukan untuk Melayu Semenanjung sahaja. Sudah tentu Sabah membantu dalam PRU13. Berada kami dalam tampuk kepimpinan, Umno berjuang merintis bangsa dan agama. Ini menunjukkan Umno sudah tidak ada soal sempadan.
 
Bagaimana Datuk melihat tindakan Pembangkang mendekati Sabah?
ROSNAH: Lihat PRU11 dan PRU12, Sabah sumbang kerusi Parlimen dan Dun. Sabah dilihat lubuk kekuatan Umno dan BN. Pendekatan pembangkang dengan serangan dan harap banyak kerusi Sabah dan Sarawak. Saya yakin mereka tidak yakin menang secara keseluruhan, tapi mereka cuba di Sabah bagi membantu mereka tubuh kerajaan. 

Pendekatan ini biasa yang dijangkakan kerana Sabah dan Sarawak dan Johor negeri terbesar menyumbang kepada kekuatan BN. Ini retorik dan persepsi diwujudkan. Rakyat Sabah matang menilai mereka. Ini menjadi pertimbangan utama kepada rakyat untuk pilih pembangkang apabila melihat keadaan Selangor.  Pembangkang banyak tabur janji tetapi secara fakta tidak ada janji yang telah ditunaikan secara keseluruhan. Satu sentimen yang cuba diwujudkan. Rakyat Sabah matang untuk nilai yang mana intan dan permata. 

Walaupun fitnah di blog kepada pemimpin kerajaan, kita sudah dapat menilai siapa berjanji tetapi tidak tunaikan dan siapa berjanji yang ditepati.

Rosnah: Tangani politik fitnah dengan fakta, bukan emosi

 
KUALA LUMPUR - Anggota Pergerakan Puteri Umno diingat tidak menggunakan emosi semasa berhadapan dengan serangan pembangkang terutama politik fitnah, sebaliknya mematahkan serangan itu dengan menggunakan fakta.
  
Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata anggota Puteri perlu menggunakan tiga senjata sebagai strategi mendepani politik fitnah iaitu ilmu, kebijaksanaan dan kesabaran.
  
"Ketiga-tiga pendekatan ini harus diadaptasi mengikut situasi. Tanpa ilmu, kebijaksanaan tidak akan lahir, dan tanpa sabar, fitnah akan menyalakan api kemusnahan, membakar seluruh isi perjuangan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno 2012 di sini hari ini.
  
Beliau berkata Puteri mahu berada di saf paling hadapan dalam menangkis tohmahan dan fitnah pembangkang terutama yang membentuk persepsi dalam minda masyarakat.
  
"Persepsi lawannya bukan persepsi, persepsi lawannya bukan emosi. Sebaliknya persepsi akan dipatahkan dengan hujah, persepsi akan dipatahkan dengan ilmu, persepsi akan dipatahkan dengan fakta. Itu jalan kita," tegasnya.

Rosnah mengambil contoh kenyataan kontroversi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar mengenai kebebasan beragama baru-baru ini. Beliau menyifatkan ideologi pluralisme yang cuba disebarkan pembangkang bukan sahaja mengancam akidah umat Islam malah sengaja mencabar Perlembagaan Persekutuan.
  
Beliau turut mempersoal tindakan Pas yang langsung tidak menegur anak emas PKR itu pada muktamar parti berkenaan baru-baru ini.
  
"Inilah wajah pembangkang, bapa borek anak rintik. Sanggup berbuat apa saja untuk meraih simpati. Jenis apa pembangkang yang kita ada," katanya.
  
Rosnah secara sinis menggambarkan pakatan pembangkang seperti "seekor kerbau mempunyai tiga gembala, dua orang bertelagah, seorang lagi bertepuk tangan, ketawa berdekah-dekah".
  
Dalam pada itu, Rosnah berkata Puteri Umno yang kini mempunyai 395,674 anggota, akan terus berusaha gigih dalam meneruskan perjuangan parti.

Rosnah turut meminta masyarakat supaya tidak memandang rendah kepada Puteri Umno kerana mereka mempunyai kesucian dalam perjuangan.
  
"Lembut kita kerana kita menghormati, diam kita kerana kita berfikir. Tidak semestinya kita diam dan lembut bermaksud kita kalah, tidak bermakna kita tidak berkata apa-apa bermakna kita lemah.
  
"Bila tiba masanya, kita akan punahkan pembangkang. Kita akan buktikan kita seorang pejuang. Kita akan pastikan kita adalah khalifah Umno. Ayuh Pemuda, Wanita, kita sinsing tangan bersama. Kita pastikan BN (Barisan Nasional) tetap gah, Umno tetap utuh," katanya disambut laungan dan sorakan semangat oleh hampir 1,000 anggota perwakilan yang hadir.
  
Pada perhimpunan itu, anggota Puteri turut berikrar terus setia kepada Umno selain merapatkan barisan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN pada pilihan raya umum akan datang. - Bernama

Ketua Puteri Umno: 'Bayi saya perlu galas tanggungjawab saya'

 
 
KUALA LUMPUR -  Sarat mengandung tujuh bulan bukan alasan untuk Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin membataskan segala usaha dan perjuangan bagi memperkasa parti terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
  
Rosnah, yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata apa yang penting adalah beliau tahu bagaimana memberi komitmen terhadap tanggungjawab sebagai ibu, wakil rakyat atau calon pada PRU-13 akan datang, jika dipilih.
  
"Sebagai ketua saya akan beri sepenuh tumpuan kepada tahap kesiapsiagaan parti.
  
"Bayi ini faham saya perlu menggalas tanggungjawab ini, dan saya tidak merasakan ia membebankan. Sebaliknya ia adalah anugerah Tuhan," katanya kepada pemberita selepas menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Puteri Umno 2012 di sini.
  
Rosnah, 40, yang dijangka melahirkan cahaya mata kedua pada awal Februari depan, berkata jika PRU ke-13 diadakan sejurus selepas bersalin, beliau tidak akan mengambil masa rehat yang lama, memadai sekadar memulihkan kesihatannya bagi mengetuai Puteri menghadapi pilihan raya umum itu. - Bernama

{PAU 2012} Puteri Gempur Menyusur Akar