NEW YORK 30 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berharap pemilihan parti yang sedang berlangsung sekarang bukan sahaja berjalan lancar tetapi dilihat sebagai satu proses yang bersih dan sihat supaya pemilihan ini akan didasarkan kepada kewibawaan calon untuk menyandang apa juga jawatan sama ada di peringkat nasional atau bahagian.
Presiden UMNO itu berkata, parti telah cuba memperkenalkan perlembagaan baharu yang memberi peluang demokrasi lebih terbuka dan luas dengan bilangan pemilih mencecah 150,000 orang.
"Dengan ini kita cuba lihat keberkesanan sistem pemilihan yang baharu yang bererti ahli UMNO perlu memainkan peranan supaya sistem pemilihan benar-benar membawa kepada transformasi yang diharapkan oleh parti," katanya dalam sidang akhbar pada akhir lawatan kerjanya ke Amerika Syarikat di sini.
Beliau mengulas perjalanan pemilihan UMNO yang terbesar dalam sejarahnya yang akan berlangsung pada 12 Oktober ini di peringkat tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri dan 19 Oktober di peringkat bahagian dan kepimpinan tertinggi pusat. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment