KUALA LUMPUR, 24 Sept– Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dan Institut Integriti Malaysia (IIM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bertujuan membudayakan Integriti Politik di kalangan ahli dan sukarelawan.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin berkata, integriti di dalam sesebuah organisasi, badan sahsiah dan parti politik harus dijadikan agenda utama bagi memelihara kestabilan sesebuah negara.
Masyarakat, khususnya orang muda jelas beliau memandang serius isu integriti pemimpin.
“Maka, Puteri UMNO melalui Biro Sukarelawan yang diketuai oleh Puan Jamilah Hanim Othman, telah bekerjasama dengan IIM semenjak tahun 2010 dan usahasama ini berterusan sehingga ke hari ini.
“Sebagai sayap yang paling muda di dalam UMNO, Puteri UMNO ingin mengambil inisiatif membudayakan Integriti Politik di kalangan ahli dan sukarelawan yang terlibat di dalam organisasi ini.
“Kerjasama untuk membudayakan integriti di antara PPUM dan IIM akan diterjemahkan melalui program-program yang akan dijalankan mengikut zon seluruh Negara. Ini adalah sebahagian daripada usaha menyemai nilai murni dan memperkukuh jati diri para sukarelawan yang terdiri daripada ahli-ahli Puteri UMNO,” ujarnya kepada pemberita selepas sidang media di sini hari ini.
Tambahnya, program yang dirangka memberi fokus kepada Tekad Integriti ke-5 IIM iaitu Meningkatkan Kualiti Hidup dan Kesejahteraan Rakyat.
Ia kata beliau lagi selari dengan usaha-usaha meningkatkan kesedaran masyarakat yang diambil oleh Pergerakan Puteri UMNO selama ini seperti program turun ke akar umbi melalui Kempen Banteras Ragut dan Rogol (B2R), ‘Life is Precious’, ‘Go Green with VOGUE’ dan Ziarah Kasih.
Di samping itu juga jelasnya program ini akan memberi pendedahan kepada pemimpin muda mengenai kepentingan integriti dalam perjuangan selain memastikan pemimpin muda dapat menjadi agen penyebar luas mesej integriti kepada masyarakat.
“Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yakin dan percaya usahasama meningkatkan integriti atau jatidiri di kalangan sukarelawan yang juga terdiri daripada ahli-ahli politik akan membawa sesuatu yang baru dan inovatif.
S”elain mengeratkan silaturrahim, percambahan idea-idea baru dalam program-program sukarelawan juga dapat dilaksanakan. PPUM berharap program ini mendapat kerjasama dari semua pihak dalam merealisasikan usahasama ini,” tambahnya. -MediaUMNO
No comments:
Post a Comment