Proses dalam pemilihan UMNO telah berlangsung membabitkan pergerakan sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri dan Sabtu ini pula, peringkat bahagian dan pusat akan mengambil tempat bagi melengkapkan proses keseluruhan sebagaimana dalam Perlembagaan UMNO.
Penganalisis politik tempatan, Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad menganggap secara keseluruhannya, pemilihan UMNO peringkat sayap parti berlangsung lancar walaupun terdapat juga insiden-insiden yang negatif di beberapa tempat.
“Kita perlu faham bahawa transformasi yang dibawa oleh UMNO sangat besar dan pemilihan ini amat berbeza dengan pemilihan-pemilihan parti yang berlangsung sebelum ini biarpun usia UMNO itu sendiri telah mencapai 67 tahun, inilah perubahan yang dilaksanakan demi untuk memperteguh perjuangan mereka,” katanya kepada UMNO-Online.
Terang beliau, mana-mana pihak pun sebenarnya berasa bimbang dengan pembaharuan yang dibawa oleh kepimpinan tertinggi parti kerana ia melibatkan jumlah perwakilan yang amat besar dengan pemilihan berlangsung serentak di semua negeri termasuklah di Sabah.
“Bagi orang UMNO sendiri, secara terang pada mulanya mereka juga melahirkan kebimbangan terhadap keberkesanan dan kelancaran pelaksanaannya namun dengan keyakinan pucuk pimpinan parti yang mahu anggotanya di akar umbi turut serta maka mereka juga menyemat azam untuk menjayakan demokrasi baru yang diaplikasi UMNO.
“Namun bagi musuh politik UMNO atau musuh kerajaan maka tentunya mereka ternanti-nanti kepincangan yang akan mencacatkan parti dan boleh diambil sebagai bahan untuk menunjukkan kepada rakyat kegagalan yang telah diaplikasi oleh UMNO, namun sehingga kini ia amat kecil.”
Ujar beliau, barangkali dari segi teknikalnya ada kelemahan yang boleh diperbaiki tetapi apabila diukur dari keseluruhannya, maka dilihat bahawa UMNO telah melaksanakan proses demokrasi secara terbuka dengan memberi ruang dan peluang yang luas kepada anggotanya untuk menentukan kepimpinan parti.
“Jika dilihat dari ukuran kelancaran pemilihan, ada juga segelintir pihak yang membandingkan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) namun itu adalah tidak wajar kerana PRU hanya melibatkan satu calon bagi satu parti untuk menentang parti yang lain sedangkan pemilihan UMNO adalah untuk memilih kepimpinan bagi kelompok yang mempunyai idealogi dan hala tuju perjuangan yang sama.
“Ini bukanlah melibatkan idealogi yang berbeza sebagaimana PRU yang membabitkan pertandingan tetapi pemilihan UMNO adalah untuk menentukan ketua bagi satu bangsa yang sama dan mempunyai matlamat sama dengan perjuangan untuk mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi agama, bangsa dan negara.
“Kalah atau menang, pada akhirnya mereka ini akan bersatu untuk memastikan agenda memenangi PRU-14 yang menjadi keutamaan dalam politik kerana PRUlah yang akan menentukan kuasa apatah lagi jalinan ukhwah dan persaudaraan akan dapat dijadikan tauladan kepada pihak lain untuk lebih menghormati UMNO.”
Tegas beliau yang juga pensyarah di Fakulti Sains dan Sosial, Universiti Malaya, UMNO adalah satu-satunya parti yang ambil dari perspektif demokrasi sebenar dengan pemilihan untuk satu tempoh yang tidak lama iaitu untuk sekitar tiga tahun bagi satu penggal.
“Ini adalah langkah yang amat berani kerana penglibatan perwakilan yang amat berbeza iaitu sebelum ini cuma seramai dua ribu lebih sahaja berbanding dengan sekitar 146,000 pemilih maka kejayaan pemilihan ini tentunya akan menutup banyak perkara yang selama ini dipalitkan dengan UMNO.”
Ujarnya, jika sebelum ini UMNO dikaitkan dengan politik wang, tidak demokrasi, tidak terbuka, bersikap nipotisme dan macam-macam lagi tuduhan namun kejayaan pemilihan sayap Sabtu lalu mampu menutup musuh politiknya kerana mereka sendiri tidak akan berani bertingkah sebagaimana UMNO.
“Soal siapa yang menang dan siapa yang kalah sudah tidak boleh dipertikai kerana pemilihan ini membabitkan jumlah yang ramai, inilah pilihan akar umbi yang menentukan siapa pemimpin yang mereka mahukan untuk bekerja dalam satu pasukan.
“Pemilihan ini bukan segala-galanya dalam politik kerana matlamat akhir adalah kemenangan dalam PRU yang mana mampu direncana berdasarkan kepada ketokohan dan nilai kepimpinan yang dipilih sendiri oleh akar umbi, inilah masanya,” tambahnya lagi.
Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO bakal berlangsung pada Sabtu ini dengan Perhimpunan Agung UMNO 2013 akan diadakan bermula 2 hingga 7 Disember 2013.
Pada 2009, pindaan Perlembagaan UMNO telah dipersetujui sebulat suara oleh para perwakilan dalam Persidangan Perhimpunan Agung UMNO Khas. – MediaUMNO
No comments:
Post a Comment