Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Thursday, 24 October 2013

Puteri Umno dekati pengundi Sungai Limau

YAN - Sehari selepas penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau, Puteri Umno mula bergerak aktif turun padang untuk memperkenalkan calon Barisan Nasional kepada pengundi.

Pagi ini 20 anggota Puteri mengedarkan 2,000 risalah tentang calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim kepada pengunjung pasar pagi di pekan Sungai Limau Dalam.

Exco Puteri Umno, Nurhuda Ab Karim berkata, pihaknya akan memberi tumpuan di kawasan seperti pasar pagi bagi mendekati masyarakat pelbagai peringkat umur.

"Selain kita edar risalah kepada pengundi-pengundi terutamanya pengunjung pasar pagi, kita juga akan pergi dari rumah ke rumah untuk beri bantuan yang kita kenal pasti," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, Puteri Umno akan turut serta dalam program di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) selain memberi bantuan, antaranya dari segi logistik dan makanan.

Nurhuda, yang juga Naib Ketua Puteri Bahagian Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, berkata setakat ini Puteri Umno menerima maklum balas yang baik daripada penduduk setempat apabila risalah diedarkan kepada mereka.

Puteri Umno juga katanya, sedang mengenal pasti lokasi yang mempunyai banyak pengundi muda melalui para petugas yang ditempatkan di 19 PDM di Sungai Limau.

Risalah dua muka surat yang diedarkan Puteri Umno itu memuatkan profil Ahmad Sohaimi dan harapannya untuk Dun Sungai Limau, di samping menyenaraikan PDM serta beberapa kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Pengundian PRK Dun Sungai Limau akan diadakan pada 4 November ini bagi mengisi kekosongan kerusi itu berikutan kematian bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak daripada Pas pada 26 September lepas.

PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Ahmad Sohaimi dan calon Pas Mohd Azam Samat. - Bernama

No comments:

Post a Comment