Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Wednesday 30 October 2013

PUTERI GEMPUR : PAS hanya bergantung pada wibawa Tan Sri Azizan?

Post Pic
Peperangan ada banyak kategorinya. Ada perang konvensional, perang gerila, perang saraf dan mutakhir sekali ialah peperangan di alam siber. Namun yang menariknya ialah Rasulullah s.a.w. pula menggariskan bahawa peperangan itu tipu muslihat.

Ini bermakna bukan kekuatan dan kecanggihan senjata atau bilangan soldadu yang ramai sahaja yang menjadi penentu pemenang dalam sesuatu peperangan. Taktik dan strategi perang juga penting selain keberanian dan keperkasaan.

Di zaman moden ini perang juga banyak ditentukan oleh persepsi. Jika sesuatu pihak yang bertikai itu bijak menggunakan media dengan berkesan untuk membina persepsi baik mengapa ia berperang, ia akan mudah mendapat sokongan daripada pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dalam sesuatu peperangan.

Justeru itu membina persepsi memerlukan kemahiran komunikasi dan penggunaan wadah yang sesuai dengan berkesan. Hari ini alam siber menerusi media sosial seperti facebook, instagram, twitter dan sebagainya adalah senjata penting yang boleh menentukan bagaimana berakhirnya sesuatu peperangan.

Mengiringi perang saraf atau adu-persepsi ini ialah diplomasi. Maka meskipun Rasulullah menyimpulkan peperangan itu ialah tipu muslihat Rasulullah juga menganjurkan bahawa ada kalanya diplomasi harus digunakan bagi menentukan di hujung perang ada kedamaian dan kesejahteraan.

Sebab itu, Saidina Ali Karamallahy wajha tidak meneruskan pertumpahan darah apabila mendapat isyarat Muawiyah bahawa beliau cenderung berunding untuk mencari jalan damai.

Kini pilihan raya umum ke-13 sudah pun berakhir dan pemenangnya sudah diketahui. Barisan Nasional sudah pun berkuasa kembali dan berjaya memerintah semula di Kedah yang dirampas oleh PAS dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

Memang sudah ditakdirkan bahawa piliha nraya ulangan atau pilihan raya kecil pertama selepas PRU 13 ialah untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah bagi kawasan Sungai Limau. Ini berikutan kembalinya ke rahmatullah penyandangnya Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Maka PAS tercabar untuk mempertahankan kerusi Sungai Limau. Selain kerana soal maruah dan sentimental bahawa Sg Limau memang sentiasa menjadi kubu kuatnya, PAS kali ini nampaknya agak gemuruh menghadapi persaingan daripada Umno.

Mungkin ini kerana geruh daripada kehilangan kuasa dalam pilihan raya lalu belum betah atau mungkin kerana Umno kini kembali menerajui Kedah dengan semangat baru dan dipimpin oleh anak muda pewaris seorang tokoh besar negeri itu – Datuk Mukhriz Tun Mahathir Mohamed.

Pilihan raya kecil DUN Sungai Limau sepadukan Umno

Dalam tempoh lima bulan di bawah pimpinan putera Mahathir ini, Umno Kedah dapat menyaksikan sengketa dan irihati sesama pemimpin Umno di negeri itu semakin luntur dan digiring oleh rasa perpaduan baharu apabila Mukhriz turut bersaing bagi mengisi kerusi Naib Presiden Umno.

Langsung, Umno Kedah seolah-olah mendapat suntikan semangat berpadu yang sudah lama tidak dirasainya. Ini agak mencemaskan pemimpin-pemimpin PAS yang berasa agak tertekan jika kalah di Sungai Limau 4 November ini, luka tewas pada 5 Mei lalu akan berdarah kembali.

Malah mungkin kali ini luka akan lebih mendalam kerana suka atau tidak PAS seharusnya insaf satu faktor utama ia kehilangan kuasa di Kedah ialah soal perpaduan. Ketika Umno semakin berpadu, PAS masih belum mahu merapatkan saf politiknya.

Lantaran itu nampaknya, strategi membina persepsi baik untuk diterjemahkan ke dalam bentuk undi PAS kali ini agak simpang perenang. PAS jelas kelihatan cemas dan gemuruh.

Antara faktor sokongan pemilih Sungai Limau pada PAS dalam beberapa pilihan raya umum lalu ialah soal personaliti mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan sendiri. Ilmunya dihormati dan keramahannya menambat hati.

Untuk mencari pengganti Allahyarham dalam tempoh yang singkat agak sukar. Allahyarham meninggalkan lompong kredibiliti yang agak besar. Justeru jentera PAS kali ini terpaksa berusaha “merapatkan” seberapa mungkin wibawa calonnya, Mohd Azam Abdul Samat dengan aura Allahyarham Tan Sri Azizan.

PAS terpaksa buat sesuatu untuk menangkan calon PRK

Caranya ialah dengan menggunakan teknologi. Mohd Azam cuba digambarkan sebagai mesra dan akrab dengan Allahyarham Azizan. Maka ditampalkan wajah calon PAS itu pada gambar pasukan wartawan Sinar Harian yang pernah datang mewawancara Allahyarham di pejabat Menteri di Wisma Darul Aman pada 25 Mei 2011!

Wahai! Ini bukan lagi tipu muslihat. Ini penipuan yang nyata. Penipuan ini sudah pasti tidak memenuhi muslihat yang diharapkan. Ia terus merobek wibawa PAS sebagai sebuah parti Islam yang seharusnya hanya takut pada Allah. Bagaimanakah agaknya pemimpin-pemimpin PAS Kedah mahu berdiri di hadapan Allah apabila daki dosa menipu ini masih melekat pada mereka?

Baru beberapa hari sebelum itu, PAS dengan menggunakan ahli keluarga Allahyarham Tan Sri Azizan mendesak supaya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf kepada keluarga Allahyarham kerana mengaitkan penyakit diabetes yang dihidapinya dengan pengambilan gula berlebihan.

Muhyiddin ketika itu cuba untuk menjadikan penyakit Allahyarham dengan sebahagian alasan kerajaan menghapuskan subsidi gula kerana gula tidak baik untuk kesihatan umat. Justeru itu ia mengusik perasaan ahli keluarga Allahyarham dan Muhyiddin ditekan supaya memohon maaf.

Namun dalam kes gambar tipu yang diedarkan dengan menggunakan “imej baik” Allahyarham Tan Sri Azizan demi membina persepsi bahawa kononnya kini aura Allahyarham melimpah kepada calon PAS, Mohd Azam Samat, adalah amat jelek.

Adakah PAS anggap pengundi Sg Limau mudah ditipu ?

Apakah begitu rendah persepsi pemimpin PAS terhadap pengundi Sungai Limau sehingga menyangka mereka begitu mudah dikelabui oleh gambar palsu itu? Maka kini terpancarlah hakikat bahawa muslihat PAS adalah hanya untuk menang.

Ia takut kalah kerana ia sudah kehilangan seorang tokoh berwibawa dan kini seolah-olah kurang maya dan berasa kehilangan kredibiliti untuk meneruskan perjuangan suci mereka. Maka ia memilih jalan pintas – menipu.

PAS tentu akur bahawa matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Berpada-padalah dalam mengatur muslihat politik kerana politik adalah jalan mudah kepada kemurkaan Allah. Berkempenlah dengan ikhlas dan bertawakallah kepada Allah. Cukup-cukuplah memerah aura Allahyarham Tan Sri Azizan.

Beristighfarlah. Menang pilihanraya kecil Sungai Limau tidaklah menambah bilangan kerusi PAS di Kedah dan mengizinkan PAS memerintah kembali. Hanya kejujuran Tan Sri Azizan berkhidmat dan keramahannya melayan pengundi menjadikannya wira PAS sebelum ini. Usahlah bunuh kerjaya politik Mohd Azam yang jika menang sekalipun nanti akan dicap sebagai penipu.

No comments:

Post a Comment