• Abdul Khalid Ibrahim  
  • Abdul Khalid Ibrahim
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sebarang perbincangan mengenai jawatan Menteri Besar mesti mengambil kira peranan Pakatan Rakyat dan Sultan.
  
Abdul Khalid berkata, memandangkan Selangor mengamalkan sistem beraja (monarchy) terdapat adat dan etika yang perlu dipatuhi oleh rakyat negeri itu.

"Oleh itu dalam perkara (Menteri Besar) ini, kita perlu tunjukkan kearifan kita dalam usaha yang kita lakukan," kata beliau dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.
   
Abdul Khalid diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali sebelum ini yang menyatakan keyakinannya bahawa presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mampu menjadi Menteri Besar Selangor.
  
"Saya dengar kenyataan oleh Azmin dan Zuraida Kamaruddin (Ketua Wanita PKR) mengenai jawatan Menteri Besar.
  
"Tetapi pegawai istana tanya kepada saya sama ada mereka (Azmin dan Zuraida) arif dalam adat dan tertib istana serta negeri," kata Abdul Khalid.

Azmin berkata, kebolehan Wan Azizah memegang jawatan itu berdasarkan pengalaman presiden PKR itu antara lain sebagai anggota Parlimen selama tiga penggal.
  
Mengenai kedudukan Azmin sebagai anggota Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Abdul Khalid berkata Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Kushrin Munawi masih meneruskan siasatan dalaman berhubung penamatan perkhidmatan Azmin di lembaga PKNS itu pada 8 Januari lepas.
  
Isu penamatan perkhidmatan Azmin itu mencetus kontroversi dan Abdul Khalid menafikan terlibat dalam keputusan itu.  - Bernama