Gerbang Tempur Puteri tertarik dengan hasil tulisan dari pendakwah mualaf yang di sifatkan sebagai mengormati bangsa majoriti di Malaysia ini.
Biarpun beliau berbangsa Cina, tetapi apabila menyentuh tentang agama Islam, beliau lah yang lebih kehadapan. Sepatutnya, perasaan malu ini perlu ada dalam diri Melayu Islam yang suka sangat bertelagah.
10 orang Nik Aziz, 100 orang Hadi Awang mahupun sejuta Mohd Sabu sekali pun tidak sekali terfikir untuk bersetuju terlibat di dalam perhimpunan seumpama ini melainkan perhimpunan yang mempunyai agenda tersendiri umpama BERSIH 2.0.
Biarpun 99.9% bukti menyatakan Anwar Ibrahim juga tidak bersetuju dengan HIMPUN dengan mandat mewakili PAKATAN HARAM malah perlu pula menghormati rakan sekutu yang lain. Kerat dua sekali pun badan Karpal Singh, siapa sekutu PAKATAN HARAM berani melawan?
Akhirnya, jemputan berjemaah bagi mengimarahkan syiar Islam pun di salah tafsir. Masya Allah.
Bekas peserta Perhimpunan BERSIH 2.0 sepatutnya menyedari bahawa HIMPUN tidak sekali akan melahirkan seorang Suhardi Isa. Namun, tidak mustahil akan munculnya Khalifah Abdul Aziz seperti yang impikan oleh Lim Guan Eng, bukan?
Oleh yang demikian, berilah masa untuk Tan Sri, Dato' Seri, Dato', Datin, Tuan/Puan, para ilmuan berkongsi rasa tulisan mualaf yang dimaksudkan sebentar tadi.
Sila baca dengan hati yang redha..
Tanggal 22 Oktober 2011, kita sebagai umat Islam akan melakarkan sejarah. Percubaan untuk menghimpunkan seramai sejuta orang di Stadium Shah Alam. Sama ada berjaya atau tidak, kita serahkan kepada Allah SWT.
Perhimpunan ini yang dianjurkan oleh Sekretariat Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) serta badan-badan bukan kerajaan, NGO-NGO Islam, mewakili pelbagai pertubuhan, institusi-Institusi pendidikan, warga korporat, kelab-kelab sukan dan riadah, persatuan seni mempertahankan diri, pasukan beruniform, kelab-kelab belia, ahli jawatankuasa masjid dan surau, tenaga guru dan lain-lain badan.
Perhimpunan yang bertemakan “Selamatkan Akidah”, secara tidak langsung mahu memberi amaran kepada bukan Islam supaya tidak mencampuri urusan orang Islam dan jangan sekali berani memurtadkan mereka. Saya difahamkan bahawa sekretariat HIMPUN telah berjumpa dengan beberapa orang mufti untuk memohon restu. Para mufti bersepakat bahawa keperluan persoalan aqidah perlu ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik.
Kita sebagai umat Islam mesti memberikan sokongan padu ke atas niat murni ini, jika kita benar-benar sayangkan agama Islam dan negara tercinta, yang berasaskan sistem kenegeraan Melayu. Jangan biarlah negara ini menjadi Singapura yang kedua. Begitu juga dengan Pulau Pinang. Ia mesti dipertahankan sehingga titisan darah yang terakhir. Jika tidak, kita akan menyesal dan dikutuk oleh generasi akan datang kerana gagal mempertahankan kalimah yang mulia ini.
Tujuan HIMPUN amat murni untuk mengukur tahap kesatuan dan semangat kekitaan dikalangan orang Islam khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011. Memberitahu rakyat perlunya persoalan aqidah ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik. Menserlahkan Institusi Raja yang menjadi payung Bangsa Melayu dan Islam dalam hal peranan mereka dalam sama-sama menangani isu yang menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam di negara ini. Menzahirkan kekuatan aqidah dan keimanan masyarakat Islam sambil memberi amaran tentang bahaya yang akan menimpa negara ini seandainya isu ini terus dieksploitasi. Menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukkan dalam Perlembagaan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan mendakwahkan agama selain daripada Islam kepada orang Islam.
Perlu diingatkan bahawa orang Melayu adalah umat Islam yang paling beruntung di dunia ini berbanding dengan umat Islam di negara-negara lain. Melayu dan Islam dilindungi oleh perlembagaan. Islam itu, Melayu itu Islam. Lebih istimewa lagi yang memeluk agama Islam, pun boleh dikira sebagai Melayu mengikut perlembagaan, walaupun bukan Melayu dari segi keturunan. Bermakna, saudara Muslim juga tidak boleh murtad setelah memeluk Islam. Apatah lagi orang Melayu. Inilah peruntukan yang tidak ada dalam dunia. Begitulah beruntungnya umat Islam di negara bertuah ini.
Namun, sayangnya murtad tetap juga berlaku. Bukan Islam begitu berani memurtadkan umat Islam walaupun ia tidak dibenarkan sama sekali. Insiden yang dalam majlis Gereja Katholik Damansara Utama (DUMC) begitu mencabar sama sekali wibawa agama dan umat Islam. Kita mesti bangun sebelum nasi menjadi bubur.
Menurut statistik, setakat ini hanya 168 permohonan murtad diluluskan. Menurut sumber lain jumlah permohonan murtad sebanyak 686 manakala kelulusan diberikan kepada 135 orang. Sabah mendahului dengan 67 orang manakala Negeri Sembilan 33 orang. Menurut Pawanchek Merican, jurucakap Persatuan Peguam Muslim, Mahkamah Syariah Negeri Sembilan telah meluluskan 16 kes meninggalkan Islam. Saya amat yakin jumlah ini jauh lebih besar daripada yang sebenar kerana menurut Mufti Perak, lebih 260,000 telah dimurtadkan. Gerakan memurtadkan umat Islam telah lama berlaku. Apa yang penting bukannya angka, tetapi percubaan dan keberanian mencabar kedaulatan agama Islam. Kita tahu, tetapi buat-buat tidak tahu.
Pihak yang mengambil kesempatan amat licik. Contohnya, pembinaan pusat Kristian antarabangsa, yang dikenali sebagai Calvary Convention Centre (CCC) di Bukit Jalil oleh Calvary Church, atas nama badan kebajikan untuk mendapat pengecualian cukai. Memang menjadi perancangan Kristian untuk menjadikan Malaysia sebagai sasaran Kristianisasi setelah berjaya di negara Melayu yang lain seperti Indonesia.
Bagi mendapat kebenaran merancang, mereka telah mengemukakan plan kepada Dewan Bandaraya sebagai pusat komersial. Apabila mendapat kebenaran merancang, yang dibina bukanlah pusat komersial. Ia hanya sebagai alat, tetapi yang akan muncul nanti sebagai mercu tanda, adalah gereja terbesar di Asia. Itupun mereka masih terus mendesak dan memohon kerajaan membenarkan mereka mendirikan gereja di Putrajaya dan Shah Alam, di kawasan yang mereka amat minoriti. Apakah kita masih buta? Bagaimana populasi penduduk yang hanya 10 peratus boleh membina sebuah gereja terbesar di Asia dalam sebuah negara Islam? Tidak cukuplah dengan pembinaan patung tertinggi di dunia di Batu Caves. Jangan ulangi kesilapan demi kesilapan. Akhirnya, nanti negara ini akan keluar sebagai sebagai Malaysia boleh dalam segala hal. Di manakah kedudukan tujuh wasiat raja-raja Melayu itu?
Sebagai umat Islam kita sepatutnya menjunjung kasih titah Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibuddin Shah, yang disampaikan mewakili Raja-Raja Melayu sempena Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia Kali Pertama bulan lalu. Antara intipati utama yang terkandung dalam titah diraja baginda ialah supaya umat Islam di negara ini menghayati semangat bersatu padu khususnya dalam mempertahankan maruah agama dan bangsa.
Dengan mengambil contoh bagaimana warga Malaysia berketurunan India dari pelbagai kumpulan politik, para akademia dan pelbagai organisasi, telah bersatu suara dan tindakan, atas nama mempertahankan maruah dalam isu novel Interlok yang dianggap menghina kaum mereka. Hasil kesatuan ini, tuntutan mereka berjaya membuahkan hasil dan semangat bersatu padu inilah yang wajar dijadikan iktibar. Menurut baginda lagi, kelemahan umat Islam yang semakin terserlah menyebabkan pihak-pihak lain bertambah angkuh, dan toleransi umat Islam terus dicabar. Akibatnya, pencerobohan-pencerobohan bentuk baru telah berlaku seperti pelanggaran menghormati kalimah suci Allah yang sekian lama menjadi ‘hak eksklusif’ kepada umat Islam.
Menurut Raja Nazrin lagi, pada ketika umat Islam hari ini dilihat berada dalam kemelut taksub untuk meraih kuasa dan pengaruh politik sehingga sanggup menggadaikan prinsip-prinsip asas agama dan maruah bangsa. Ketaksuban politik di kalangan umat menyebabkan mereka bergembira melihat pihak yang kalah menjadi abu walaupun pihak yang menang hanya akan menjadi puntung-puntung arang.
Ingatlah wahai saudaraku, ramai yang beranggapan bahawa survival umat Islam (Melayu) terletak di tangan parti politik. Tanpa kita sedari sepatutnya survival parti politik itulah yang bergantung kepada umat Islam (Melayu) itu sendiri. Adalah tidak tepat jika bangsa Melayu cuba dimajukan secara reaktif, yakni dengan saranan menyandarkan kekuatan mereka kepada kemenangan parti semata-mata, sedangkan mereka seharusnya dibangunkan secara proaktif dengan mem¬bina kekuatan diri sendiri terlebih dahulu. Kekuatan diri yang akan menguatkan kekuatan parti.
Menurut Pahrol Juoi, parti yang kuat tidak menjamin bangsa yang kuat, kerana perjuangan terhadap agama, bangsa dan negara, tidak boleh berhenti walau apa pun masalah yang melanda parti. Ambillah iktibar dengan apa yang telah berlaku di sekeliling kita kerana Allah SWT mengingatkan kita supaya mengambil iktibar daripada sesuatu peristiwa yang berlaku.
Misalnya, Parti Kongres boleh ditinggalkan apabila rakyat India melihat Kongres hilang upaya oleh masalah dalamannya. Parti Kao¬mintang yang begitu berjasa, ditinggalkan oleh rakyat Taiwan apabila dilihat kurang demokratik terhadap pandangan generasi baru negara. Begitu juga Golkar di Indonesia, Liberal Democratic Party (LDP) di Jepun dan di mana-mana jua. Hakikatnya parti hanyalah satu alat sedangkan kecemerlangan bangsa, agama dan negara adalah satu matlamat. Matlamat hanya ada satu, sedangkan jalan-jalan menuju ke matlamat begitu banyak. Bangsa yang bijak, tidak akan meletakkan hanya satu jalan sahaja untuk mencapai satu matlamat.
Di sinilah terletaknya ke¬matangan berpolitik. Lihatlah politik bukan Islam, mereka meluaskan jalan dan jaringan, bebas untuk bekerja¬sama dengan mana-mana pihak, sama ada pihak NGO, parti politik (kerajaan atau pembangkang), organisasi kor¬porat dan sebagainya tanpa mengira latar belakang dan ideologi. Yang penting matlamat tercapai, survival bangsa terjamin. Apabila mereka menjadi kuat, amat sukar untuk tergugat dan digugat. Akibatnya, kita terpaksa tunduk disebabkan oleh kekuatan mereka.
Titah Raja Nazrin agar Majlis Agama Islam di bawah payung naungan Raja-Raja Melayu berada di barisan hadapan bagi memenuhi peranan kritikal ini perlu dipandang serius oleh pihak-pihak yang berkenaan. Begitu juga titah Sultan Selangor yang mahukan peneraju dan kakitangan penguatkuasaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya jangan terus bersikap “mengalah” atau apologetik ketika berhadapan dengan sebarang percubaan untuk melunturkan akidah orang Islam.
Bukan Islam sengaja mahu mencabar Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988 dipayungi oleh Fasal (1) dan (4) Perkara 11 perlembagaan persekutuan tidak membenarkan pengembangan ajaran agama lain kepada umat Islam. Sesungguhnya, tiada kompromi dalam soal akidah.
Pun begitu langkah preventif pada masa sama mesti diambil. Umat Islam tidak boleh terlalu dilekakan dengan hiburan. Akidah mereka mesti diperkemaskan dan diperhebatkan. Baru-baru ini saya menghadiri taklimat sebuah pertubuhan HIV/AIDS. Nampaknya, kita terlalu tunduk kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, sehingga soal istilah pun kita masih mengalah. Misalnya, istilah pelacur tidak boleh digunakan tetapi digantikan dengan pekerja seks. Seks selamat menggantikan istilah seks bebas atau seks luar nikah. Apa erti semuanya ini? Amat jelas sekali ada gerakan yang seolah-olah mahu melunturkan akidah umat Islam dan menghalalkan apa yang diharamkan oleh Islam. Inilah cabaran yang memerlukan pengorbanan di kalangan kita.
Ayuhlah, tidak kira apa jua latar belakang, ideologi, parti politik dan sebagainya, kita sebagai umat Islam perlu zahirkan tindakan dengan tampil ke hadapan untuk menunjukkan solidariti kita pada 22 Oktober ini. Barulah ketika itu orang lain tidak berani memijak kepala kita lagi. Selamatkan akidah umat Islam!
Utusan Malaysia 17 Oktober 2011
Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia