Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Monday, 6 January 2014

Jangan emosi... - Najib

najib-perhimpunanbulan
Segala isu berbangkit harus ditangani dengan kematangan dan perbincangan dan bukan dengan perasaan dan emosi.
Demikian kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan sempena perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri 2014 di Dataran Perdana di sini, hari ini.
Menurut Najib, segala isu berbangkit yang timbul pada masa kini perlu ditangani dengan berhemah tanpa membelakangkan undang-undang.
Ia  katanya berdasarkan kepada beberapa isu berbangkit seperti larangan penggunaan kalimah Allah serta protes kenaikan kos sara hidup yang menghangatkan permulaan tahun baru 2014.
“Bila ada sesuatu isu yang berbangkit kita harus tanganinya bukan dengan perasaan dan emosi tetapi dengan kematangan dan ketenangan. Berdasarkan kepada kepada penyelesaian iaitu berasaskan kepada peruntukan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, antara jalan lain yang harus diambil perhatian adalah dengan mengadakan dialog dan perbincangan bersama dengan semua pihak.
“Bila kita boleh duduk semeja cari penyelesaian dan berbincang, saya percaya kita dapat mengurangkan sebarang ketegangan yang boleh timbul atas apa-apa isu yang berbangkit,” katanya.
Najib berkata, Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai keunikan budaya dan agama yang pelbagai seharusnya terus kekal dalam keadaan sebegitu tanpa perlu mengambil kira perbezaan yang cuma sedikit.
“Keadaan ini perlu diberi perhatian supaya tidak ada isu yang berbangkit dari masa ke semasa yang selama ini menggugat keamanan yang selama ini kita kecapi.
“Selama ini Malaysia telah pun terkenal di seluruh dunia. Mereka berbangga dengan pencapaian Malaysia. Mereka hairan bagaimana Malaysia boleh mengekalkan keadaan sebegini,” katanya.
Turut hadir pada perhimpunan bulanan itu,  Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tiga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Nancy Shukri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Datuk Paul Low dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

No comments:

Post a Comment