Ambil
kira hari ini Ahad 6 Oktober masanya sudah terlalu suntuk bagi
calon-calon pemilihan UMNO.Untuk sayap Pemuda,Wanita dan Puteri UMNO
cuma ada 6 hari lagi menjelang pemilihan mereka pada 12 Oktober.Bagi
jawatan Bahagian dan Majlis Tertinggi ada 13 hari menjelang 19 Oktober.
Kata orang pusing keliling sampai pengsan pun tidak mungkin akan
dapat menjangkau 146,000 perwakilan yang bertaburan di 191 UMNO Bahagian
di seluruh negara kecuali Sarawak.
Ekoran kekangan itu kebanyakan calon khususnya di peringkat pusat
berhempas pulas mengunakan media sosial seperti Facebook,Twitter dan
laman blog untuk menjangkau sebanyak mungkin perwakilan.
Apapun kata orang peluang bersua muka dengan perwakilan adalah kaedah yang paling berkesan dalam meraih undi.
Atas sebab itu jangan hairan kalau ternampak wajah calon-calon yang
terkebil-kebil memikirkan nasib untung mereka dalam pemilihan kali ini.
Ada yang mengaku cukup sukar nak membuat ramalan kerana ada puluhan
ribu perwakilan di luar sana yang mereka tidak pernah kenal dan bertegur
sapa.
Nampaknya kalangan mereka yang berjawatan dikatakan lebih ada
advantage kerana sering keluar muka di surat khabar dan televisyen.
Ketika sesi perkenal calon anjuran Badan Perhubungan UMNO Negeri-negeri bermula Jumaat,sudah kedengaran rungutan bergema mahukan kaedah berkempen dilonggarkan untuk meluaskan peluang setiap calon.
Mereka mahu peraturan kempen lebih terbuka agar mereka boleh jumpa
sendiri perwakilan di sana sini selain dari majlis pengenalan rasmi.
Antara yang paling awal bersuara ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau menyifatkan ada sebahagian peraturan dalam pemilihan UMNO kali ini kurang bijak dan boleh membantutkan proses pemilihan.
Antara peraturan itu katanya ialah calon tidak boleh berkempen secara
bersendirian bagi bertemu dengan anggota UMNO akar umbi dan
memperkenalkan diri.
"Kalau jadi calon tapi tidak pergi berkempen, bagaimana mahu menang?
Kalau bertanding jawatan ketua kelas pun kena kempen inikan pula mahu
jadi anggota Majlis Tertinggi dan sebagainya," katanya.
Ketua UMNO Bahagian Johor Baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang
ditemui wartawan selepas menghadiri sesi taklimat dan pengenalan calon
UMNO Bahagian Johor Baharu Sabtu turut menyifatkan kod etika pemilihan
Umno kali ini sebagai tidak munasabah kerana menyukarkan calon untuk
berkempen.
Bekas Menteri dan Ahli Parlimen Johor Baharu itu berkata sebagai
orang yang menawarkan diri, maka, setiap calon yang bertanding perlu
diberi ruang seluasnya supaya mereka berpeluang menyuarakan hasrat dan
bukan sekadar terbatas pada sesi pengenalan calon.
"Saya berasa pelik dan tidak munasabah kerana pada pandangan saya peluang berkempen harus dibuka seluas-luasnya.
"Ini kerana sesi pengenalan calon hanya sebagai acara rasmi untuk memperkenalkan diri kepada perwakilan," katanya.
Shahrir berkata beliau yakin masalah politik wang juga tidak akan timbul sekiranya calon diberikan peluang berkempen memandangkan bukan mudah menyogok wang kepada perwakilan yang begitu ramai pada pemilihan kali ini.
"Kita mahu pertandingan yang sihat. Tidak perlu takut soal politik
wang kerana kita ada Lembaga Disiplin parti yang boleh mengambil
tindakan dan saya ingat bukan mudah juga hendak jumpa kira-kira 150,000
perwakilan yang ada," katanya.
Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin bersetuju dengan teguran beberapa
calon agar syarat berkempen pada pemilihan Umno kali ini perlu
dilonggarkan bagi memberi peluang kepada calon memperkenalkan diri.
Beliau berkata ini kerana ada calon yang kurang dikenali perwakilan
dan perlunya mereka diberikan ruang secukupnya untuk memperkenalkan
diri.
"Semua orang kenal saya tapi orang yang lawan saya (bagi jawatan
Ketua Pemuda) mungkin orang tak kenal. Kalau kita nak bagi orang lawan
bagilah gelanggang yang terbuka, gelanggang yang sama rata.
"Kita kena terbuka sikit. Bukan kita menggalakkan kempen tidak sihat.
Kalau ada kempen tak sihat seperti fitnah, serangan peribadi, politik
wang, ok yang itu ambil tindakan tapi sekadar nak jumpa perwakilan,
adakan majlis biasa nak jumpa dengan perwakilan saya rasa harus
dibenarkan," kata Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan kepada
wartawan selepas merasmikan Larian Terbuka Kelantan 2013 di Kota Bharu
Sabtu.
Jumaat,selain Mohamad Hassan,Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr
Mahathir yang menawarkan diri bertanding jawatan naib presiden UMNO
berkata sesi pengenalan ini sangat berguna tetapi jadual sesi pengenalan
begitu padat dengan tiga negeri setiap hari menyebabkan pemimpin serta
perwakilan berdepan kekangan masa untuk menghadirinya.
"Sambil kita buat peraturan ini (tidak dibenarkan berucap kepada
perwakilan) dengan niat untuk mengelak gejala yang tidak diingini, dalam
masa yang sama jangan sesekali mengekang peluang calon baharu untuk
berjumpa dengan perwakilan, mesti ada imbangan dalam dua perkara ini,"
katanya ketika ditemui wartawan selepas sesi pengenalan calon di Stadium
Indera Mulia di Ipoh.
Presiden Majlis Belia 4B Malaysia Mua'amar Ghadafi Jamaluddin yang
sependapat dengan Mukhriz berkata ruang penambahbaikan perlu dilakukan
bagi memberi peluang kepada mereka yang menawarkan diri bertanding pada
masa depan bertemu perwakilan.
Beliau yang menawarkan diri bertanding jawatan Exco Pergerakan Pemuda
berkata penambahbaikan itu perlu disesuaikan dengan usaha Umno yang
sedang melaksanakan transformasi dalam pelbagai aspek termasuk pada
pemilihan parti.
"Perlu ada ruang untuk penambahbaikan, supaya ada ruang yang lebih
luas buat mereka yang menawarkan diri bertanding untuk berjumpa serta
menyatakan hasrat mereka kepada para perwakilan pada masa depan,"
katanya.
Selepas sesi pengenalan di Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan
pada hari ini, sesi berikutnya diadakan di Kelantan, Terengganu dan
Pahang, Ahad ini.Ia diikuti pada Selasa di Negeri Sembilan,Melaka dan
Johor.
Pada hari Rabu Sabah.
Sesi terakhir ialah Perlis,Kedah dan Pulau Pinang pada hari Jumaat 11 Oktober.
Setakat ini, 33,682 calon akan bertanding dan daripada jumlah itu,
260 calon bertanding di peringkat pusat termasuk Majlis Tertinggi iaitu
76 calon, Wanita (51), Pemuda (94) dan Puteri (38) manakala selebihnya
di peringkat bahagian.
No comments:
Post a Comment