Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Monday 7 October 2013

Dua Pengerusi Perhubungan UMNO setuju syarat pemilih dilonggarkan

Dua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri bersetuju supaya syarat yang dikenakan dalam pemilihan parti itu dilonggarkan bagi memberi peluang kepada calon yang menawarkan diri mendekati perwakilan. 
 
WAKIL-WAKIL calon menggunakan pelbagai cara berkempen memperkenalkan calon-calon yang bertanding menjelang pemilihan UMNO pada 19 Oktober ini.

Menurut mereka, kelonggaran syarat itu juga membolehkan perwakilan menilai calon-calon yang benar-benar berwibawa bagi menerajui UMNO.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, setiap calon yang bertanding mempunyai visi dan mereka sewajarnya diberi peluang menyampaikannya kepada akar umbi.

"Saya rasa memang sangat diperlukan (untuk melonggarkan syarat) kerana saya faham tujuan kita adakan etika pemilihan untuk mengelak daripada berlakunya perkara yang akan menjejaskan imej parti dan politik wang.

"Tetapi hasrat perwakilan dan calon untuk berjumpa serta berkongsi apa jua perjuangan calon itu dan kebaikan yang hendak dibawa kepada parti harus dibenarkan, tetapi dengan syarat maklumkan kepada Perhubungan UMNO Negeri yang harus menghantar pemantau bagi mengelak perkara yang tidak diingini dan kempen berjalan dengan sihat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengenalan Calon-Calon Ahli MT dan Exco Pergerakan Sayap UMNO 2013-2016 di Bangunan UMNO Kelantan di sini hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan dua pemimpin UMNO mengkritik tindakan jawatankuasa pemilihan parti meletakkan pelbagai peraturan kepada calon bertanding di peringkat bahagian dan Pusat yang dilihat sebagai tidak munasabah.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengulangi desakan supaya peraturan pemilihan dilonggarkan demi kebaikan semua pihak dan menyuburkan demokrasi dalam parti.

"Inilah rungutan daripada bawah kerana larangan yang terlampau ketat, kadang-kadang akan menyebabkan orang cuba untuk mencari jalan yang lain.

"Dalam pemilihan kali ini sistem yang dibuat bagus tetapi larangan untuk berkempen tidak usahlah ketat sangat, keluarga UMNO itu besar, kalau tidak boleh pergi sana sini dan tidak dibenarkan berjumpa, susahlah," katanya.

No comments:

Post a Comment