• Kempen singkat, minta kaji semula 
  •  SHEIKH AHMAD
Pemilihan Umno yang akan berlangsung bulan ini dilihat oleh calon baru sebagai sedikit berat sebelah kerana peraturan kempen terlalu ketat dan  tempoh pengenalan diri yang singkat.

Calon Exco Pemuda Umno, Sheikh Ahmad Nafiq Alfirdaous berkata, beliau melihat ia lebih memberi peluang kepada calon-calon terkenal kerana calon baru sepertinya sukar memperkenalkan diri dalam tempoh kempen yang pendek.

Menurutnya, walaupun peraturan baru ini dilihat amat bagus untuk rangka transformasi parti, namun Sheikh Ahmad berharap beberapa peraturan dikaji semula agar memberi kelonggaran kepada calon untuk berkempen.

“Ketua Pemuda Umno juga telah mengeluarkan kenyataan mengatakan pemilihan kali ini terlalu ketat, saya yakin calon-calon lain juga berpandangan seperti saya.

“Selain itu, tempoh kempen yang terlalu singkat juga amat tidak sesuai sehinggakan ada calon yang terlalu letih tumbang dan dikejarkan ke hospital,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengeluarkan kenyataan berharap agar Jawatankuasa Pemilihan dan Jawatankuasa Lembaga Disiplin Umno dapat memikirkan semula syarat berkempen kepada calon yang bertanding.

Setakat ini, seramai 33,942 calon layak bertanding di peringkat pusat dan bahagian serta ketiga-tiga sayap parti.

Senarai calon layak bertanding bagi semua peringkat pada pemilihan Umno hanya akan dimuktamadkan, 7 Oktober ini.

Pengundian bagi pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri peringkat bahagian dan pusat akan berlangsung pada 12 Oktober manakala pengundian bagi bahagian dan Majlis Tertinggi pada 19 Oktober.

Dijangka lebih dari 146,500 perwakilan akar umbi mengambil bahagian mengundi pada pemilihan kali ini berikutan pindaan perlembagaan parti pada 2009.

Sementara itu, Sheikh Ahmad berkata, langkah Jawatankuasa Pemilihan Umno memberi kelonggaran membenarkan calon menggunakan laman sosial sebagai medium kempen sedikit melegakan.

Katanya, langkah ini wajar kerana sedikit sebanyak calon boleh memperkenalkan diri kepada perwakilan menerusi laman sosial seperti Facebook dan Twitter.