Pertandingan merebut jawatan Naib Ketua Puteri UMNO bertambah meriah selepas seorang lagi calon menawar diri bertanding jawatan tersebut hari ini.
Ketua Puteri UMNO Tawau, Nazliah Ali (gambar) mengesahkan menawar diri bertanding bagi jawatan nombor dua dalam Pergerakan Puteri UMNO itu dalam pemilihan UMNO kali ini.
Beliau membuat pengesahan itu dalam satu kenyataan akhbar Isnin.
Sebelum ini, Exco Kerajaan Negeri Kedah Datin Nor Sabrina Mohd.Noor dan Eco Puteri UMNO Pusat Zahida Zarikh Khan disebut-sebut akan bertanding jawatan tersebut.
Pengumuman terbaharu itu menjadikan tiga calon dari Sabah mengesahkan bertanding jawatan dalam sayap UMNO itu termasuk calon Exco Puteri UMNO dua orang iaitu Ketua Puteri UMNO Kudat, Normala Rasik dan Ketua Puteri UMNO Beluran, Julie Sabran.
Menurut Nazliah, keputusannya bertanding jawatan itu dibuat bagi memperkasa parti supaya terus kekal relevan dalam memartabatkan kebajikan dan kepentingan wanita muda di seluruh negara.
Jawatan itu akan dikosongkan oleh penyandang Shahanim Mohd Yusuf yang sudah mencapai had usia.
No comments:
Post a Comment