Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Friday, 19 July 2013

Tujuh hari berlalu....PAS silap langkah di Kuala Besut

kualabesut-calonpas-nik513
Selepas genap tujuh hari berkempen untuk PRK Kuala Besut, PAS pada malam Khamis mengadakan ceramah 'besar' dengan menggunakan Muryidul Amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai 'crowd puller'.
Malangnya ceramah yang dibuat betul-betul di sebelah Masjid Pengkalan Udara Kem Gong Kedek -jika diukur dengan skala kehadiran biasa ceramah big gun PAS- GAGAL.
Sesama wartawan yang menghadiri ceramah mega tersebut dok bertelingkah mengenai jumlah kehadiran, ada yang kata 500, 800, 1500 dan paling banyakpun kata 2000.
Yang 500 ke 800 ambik kira jumlah hadirin yang dengar ceramah, dan yang 1500 ke 2000 itu ambil kira jumlah keseluruhan hadirin termasuk yang duk melepak di kedai-kedai makan, atau berbual sesama sendiri di kawasan sekitar.
Dalam kata lain, bisa Nik Aziz tak sekuat dulu-dulu. Beliau sendiri yang tiba kira-kira jam 11.15 malam, hanya mula berceramah pada jam 11.35 malam dan berakhir lebih kurang jam 12.00 tengah malam.
Dalam kata lain, Nik Aziz yang PAS war-warkan sebagai penceramah utama mereka, lebih banyak menghabiskan masa mendengar ceramah dari memberikan ceramah.
Beliau memulakan ucapan dengan nada perlahan, orang kata 'dok rok dah' atau tak larat dah.
Ceramahnya pula amat membosankan dengan serangan tidak sudah-sudah pada UMNO yang mengambarkan dendam kesumatnya terhadap UMNO tidak pernah padam walaupun tidak lagi menjadi Menteri Besar Kelantan.
kualabesut-nikaziztido
Sepanjang ceramahnya beliau tidak menyebut mengenai calon PAS Kuala Besut Azlan @Endut Yusof.
Azlan yang berada di kerusi atas pentas juga tidak berucap langsung. Beliau hanya diperkenalkan oleh pengerusi majlis Nik Zawawi Nik Salleh.
Nik Aziz hanya berucap menghentam UMNO dan memuji kerajaan Kelantan yang diperintahnya selama 23 tahun, sehingga lupa menyebut, memperkenalkan atau menyuruh hadirin mengundi calon PAS.
Pun begitu, mesti diakui, jumlah kehadiran ceramah Nik Aziz Khamis malam merupakan yang terbesar sejak PRK Kuala Besut.
Deretan kereta yang diletakkan dikiri-kanan jalan menyebabkan kesesakan kepada pengguna lain.
Namun ada yang berhujah, melihat deretan kereta tersebut, jangan-jangan yang hadir adalah orang luar, yang mahu mendengar 'amanat tok guru', bukan pengundi DUN Kuala Besut.
Tanpa ambil kira, samada yang hadir itu orang luar atau pengundi DUn Kuala Besut, kira ceramah Nik Aziz ini pecah rekod kehadiran pengunjung, kerana pada malam-malam sebelum itu, walaupun penceramah PAS seperti Datuk Husam Musa, Mat Sabu, Hanifa Maidin, jumlahnya datang mendengar rata-ratanya 300 ke 500 orang saja.
kualabesut-hadirin
Dari risik-risik, jentera PAS untuk PRK Kuala Besut dalam keadaan serba tak kena.
Melihat corak kempen UMNO yang lebih tersusun dengan bergerak dalam kumpulan kecil ke rumah-rumah serta mengadakan aktiviti tetap di masjid dan surau sekitar daerah ini, PAS dikatakan mengubah corak kempen mereka.
Dari pada percubaan melaga-lagakan antara Datuk Seri Idris Jusoh dengan Datuk Seri Ahmad Said yang memang 'tak jalan langsung' kini mereka cuba menarik perhatian pengundi dengan isu tanah yang terus dikitar semula walaupun sudah dijawab berkali-kali oleh kerajaan negeri.
Jentera kempen BN menggunakan faktor calon Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, sebagai senjata utama kempen. Tengku Zaihan atau lebih mesra dikalangan anak muda Kuala Besut sebagai 'Abe Ku' merupakan anak ustaz dan cicit kepada salah seorang pengasas Kuala Besut Mohamad Idris.
Berpengalaman  sebagai pentadbir dan biasa bergaul dengan masyarakat, petah bercakap dan 'cargas'.
PAS tahu kelebihan calon tiada pada mereka. Calon PAS, Azlan merupakan seorang ahli perniagaan yang dikatakan rapat dengan pimpinan PAS Kelantan berbanding Terengganu sungguhpun memegang jawatan bendahari PAS Besut.
Berusia 48 tahun, beliau juga dinilai tidak 'pandai' bercakap dan tidak jelas hala tuju yang hendak diperjuangkannya sebagai wakil rakyat.
Sehingga ada yang kata, sepatutnya PAS mempertaruhkan semula bekas calon mereka dari sayap Muslimat Naspiah Ahmad atau kitar semula calon ulama yang juga bekas ADUN Kuala Besut (1999) Nik Zawawi Nik Salleh, peluang nak melawan lebih kuat berbanding Azlan.
Selain kalah faktor calon, PAS juga ketinggalan dari segi program bersama masyarakat setempat terutamanya sempena bulan Ramadan.
Selepas beberapa hari kempen, barulah jentera mereka cuba menyusup masuk ke masjid dan surau di kawasan PRK untuk mengadakan program sehingga hari mengundi.
Dalam kata lain, cuba 'hijack' masjid dan surau yang kini dikuasai oleh jentera UMNO.
Sumber UMNO memberitahu Agendadaily, memang di Kuala Besut, mereka menurunkan ustaz-ustaz dari seluruh negara untuk mengadakan program-program di masjid dan surau.
Bermula dari bersahur, solat berjemaah setiap waktu, program berbuka puasa serta terawih, kehadiran golongan agamawan yang menyokong kerajaan memang terasa di Kuala Besut.
Sebab itu jentara PAS rasa gundah gulana.
Perubahan strategi PAS juga amat ketara selepas tujuh hari berkempen, jika sebelumnya PAS beritahu pengundi DUN Kuala Besut bahawa undi mereka boleh ubah kerajaan negeri.
Kini Pengarah PRK Kuala Besut PAS, Datuk Husam Musa, buat konner baring kata walaupun kerusi 16-16 jika PAS menang, Menteri Besar Terengganu tetap Datuk Seri Ahmad Said.
Perubahan strategi ini dibuat kerana maklum balas yang diterima di akar umbi, pengundi DUN Kuala Besut tidak akan mengundi untuk 'ubah kerajaan'.
Rata-rata mereka selesa dengan kerajaan BN di Terengganu dan mahukan semua pelan pembangunan kawasan tersebut berjalan terus seperti yang dirancang oleh kerajaan BN.
Husam dalam sidang media di Markaz PAS Kuala Besut pada Khamis memberitahu gerakan bagi mewujudkan jumlah kerusi seimbang 16:16 antara BN dan pakatan pembangkang di DUN Terengganu sebenarnya bukan bertujuan mengubah pemerintahan negeri itu.
Menurut Husam, Ahmad Said akan kekal sebagai Menteri Besar Terengganu sekalipun pembangkang berjaya memenangi kerusi DUN Kuala Besut pada 24 Julai ini.
Jelas Husam, kerajaan Terengganu di bawah pemerintahan BN masih boleh dikekalkan.
"Cumanya nanti mereka (BN) tidaklah boleh bertindak sesuka hati. Kami sebagai pengimbang mempunyai peranan yang konstruktif untuk mencadangkan pengurusan negeri yang berorientasikan kebaikan rakyat jelata Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menyifatkan usaha PAS mewujudkan pentadbiran kerajaan Terengganu yang tergantung menerusi kempen 16:16 tidak akan diterima rakyat dan tindakan populis itu hanya bagi meraih perhatian pengundi Kuala Besut.
Selepas PRU13, 5 Mei lepas, Terengganu kekal ditadbir BN yang menang 17 kerusi, manakala baki 15 lagi diwakili pembangkang iaitu 14 daripada PAS dan satu wakil PKR.
Kini tinggal enam hari lagi tempoh berkempen, PAS yang ketinggalan dari segi kempen dipercayaikan akan mengasak lebih kuat lagi.
Terutamanya menjelang hujung minggu di mana nama-nama besar pemimpin pembangkang mula turun padang membantu jentara PAS yang selama ini berhempas pulas, terkontang-kanting berkempen tanpa bantuan dari pemimpin besar pakatan pembangkang.
Suasana di Kuala Besut mula meriah, dengan di beberapa lokasi yang ada markas PAS, mula sesak.
Jentera luar sudah mula datang membantu kempen dan dipercayai serangan hari-hari akhir lebih 'berbisa' dari sebelumnya.
Sama-samalah kita tunggu, apa 'kad' lagi PAS nak 'buka' menjelang pengundian pada 24 Julai nanti.

No comments:

Post a Comment