Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Friday, 26 July 2013

Alvin, Vivian bebas... yang tak bebas.. Lebih kurang macam tahanan dalam negara.

alvin513
Hanya lapan hari meringkuk di penjara, pasangan blogger yang didakwa menghina Islam, Alvin Tan dan Vivian Lee pada Khamis dibebaskan dengan jaminan setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman mereka berhubung isu jaminan.
Hakim Datuk Azman Husin membenarkan semakan selepas meneliti nota prosiding Mahkamah Sesyen dan mendengar hujahan kedua-dua pihak yang terlibat dalam permohonan berkenaan.
Beliau membuat keputusan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 35 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman.
Beliau bagaimanapun mengekalkan perintah Hakim Mahkamah Sesyen, Murtazadi Amran agar ketiga-tiga pertuduhan terhadap mereka dibicarakan bersama kerana membabitkan saksi-saksi yang sama.
Selain menetapkan jaminan RM30,000 dengan dua orang penjamin setiap seorang, Hakim Azman turut mengenakan empat syarat tambahan iaitu pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.
Pasangan itu juga dilarang memuat naik sebarang artikel, gambar lucah atau provokatif serta apa-apa tulisan dan komen di dalam internet yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan kaum atau yang boleh menyebabkan permusuhan.
Alvin dan Vivian turut ditegah menggunakan peranti komunikasi seperti telefon pintar atau sebarang gajet yang membolehkan mereka mengakses internet dan memuat naik perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
Selain itu, mereka juga diperintah melapor diri di balai polis berdekatan pada 1 haribulan setiap bulan.
Pada 18 Julai lalu, Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau Lee May Ling, 24, tidak dibebaskan dengan jaminan.
Ini kerana menurut pendakwaan, mereka mempunyai kecenderungan memuat naik artikel atau komen yang boleh menyinggung perasaan dan membangkitkan kemarahan orang ramai.
Pasangan terbabit yang turut dikenali dengan nama Alvivi kemudian ditahan di Penjara Sungai Buloh dan Kajang.
Pada 18 Julai lalu, mereka mengaku tidak bersalah menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman Facebook Alvin and Vivian - Alvivi di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingersiaitu kandungan gambar dan komen yang bertajuk ''Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan !!!'' berserta logo halal.
Bagi pertuduhan kedua, Alvin dan Vivian didakwa mempamerkan gambar-gambar lucah dihttp://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama, antara 6 Julai dan 7 Julai lalu, antara pukul 9 malam dan 2 pagi.
Pasangan itu juga didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen yang sama, berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama di kalangan penganut agama berlainan.
Mereka didakwa mengikut Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan serta Akta Penapisan Filem 2002 dan kes itu akan disebut semula pada 23 Ogos ini.
Terdahulunya Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff berhujah, mahkamah itu perlu mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak pembebasan dengan jaminan kerana terdapat bukti pasangan terbabit akan mengulangi perbuatan mereka.
Menurut beliau, kecenderungan itu dapat dilihat melalui beberapa siri tweet mereka antara 12 dan 13 Julai lalu dan kepentingan awam perlu dijaga bagi memastikan tidak akan berlakunya sebarang keresahan di kalangan kaum.
Ishak turut dibantu oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin dan Nadia Mohd. Izhar.
Sementara itu, peguam Chong Joo Tian berhujah, kecenderungan itu tidak wujud kerana anak-anak guamnya itu telah menerbitkan permohonan maaf terbuka melalui laman sosial Facebook, YouTube dan Twitter malah turut menukar gambar yang memaparkan Bak Kut Teh itu kepada gambar karipap dan ketupat.
Beliau berkata, apa yang dinyatakan melalui tweet adalah sebelum permohonan maaf terbuka dibuat.
''Facebook telah disekat, permohonan maaf dah dibuat dan saya percaya anak guam saya telah menyesal apabila ditahan. Jadi, apa lagi pendakwaan mahu?,'' kata peguam terbabit.
Joo Tian turut membangkitkan isu, Alvin telah diletakkan di lokap berasingan dengan banduan lain (isolation detention) yang disifatkan sebagai satu bentuk hukuman.
Sementara itu, kedua-dua tertuduh tidak sempat dibawa ke mahkamah petang ini untuk dibebaskan dan akan dibawa semula pagi esok bagi perintah pembebasan.
Ishak bagaimanapun menyifatkan, tidak wajar peguam itu menyamakan penahanan berasingan sebagai satu bentuk hukuman.
Hakim Azman mencelah bagi meredakan keadaan: ''Kalau letak sekali takut kena hentam. Kesian kat dia. Kita pun nak jaga dia. Tengok betapa prihatinnya pihak pendakwaan.'

No comments:

Post a Comment