Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan
kenyataan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menyamakan
penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan haiwan, sebagai
menghina rakyat yang memerlukan bantuan.
“Saya hairan dan takjub bagaimana seorang menteri besar dan pemimpin
Pas yang sepatutnya berpegang kepada prinsip agama Islam boleh membuat
satu kenyataan yang begitu menghina penerima bantuan, yang saya tahu
jumlahnya amat ramai,” katanya kepada pemberita selepas mendengar
taklimat pilihan raya umum (PRU) ke-13 oleh pengerusi-pengerusi
penyelaras BN Sabah di sini hari ini.
Katanya, penerima bantuan tersebut merupakan kumpulan yang dikenal
pasti kerajaan benar-benar memerlukan bantuan dan pemberian BR1M dapat
membantu mengubah kehidupan penerima ke arah masa depan lebih selesa.
Baru-baru ini, Nik Aziz berkata pemberian BR1M tersebut mendapat
sambutan rakyat dan mengibaratkan penerima “sama dengan ayam dan lembu
yang akan datang sekiranya manusia memberikan haiwan tersebut makanan
yang digemari.”
Muhyiddin sedih golongan kurang mampu dipandang hina dan diperkecilkan oleh pemimpin Pas itu.
“Ini sesuatu (kenyataan) yang tidak harus keluar daripada (mulut)
seseorang yang mengatakan dirinya tokoh agama. Lebih-lebih lagi agama
Islam.
“Lepas itu, dia (Nik Aziz) mengeluarkan fatwa menghukumkan ini
(pemberian bantuan) satu perbuatan yang haram dan bertentangan dengan
agama,” katanya.
Muhyiddin berkata kenyataan Nik Aziz tersebut bercanggah dengan Islam dan harus disangkal oleh tokoh-tokoh agama lain.
“Amalan yang dibuat oleh kerajaan ini adalah sesuatu untuk membela,
membantu, satu kerja amal yang patutnya didukung dan disokong oleh
sesiapa pun.
“Jadi, dia (Nik Aziz) sudah membuat satu kenyataan yang sudah cukup
bercanggah dengan hukum Islam sebenarnya, satu kesalahan dari segi
agama,” katanya.
No comments:
Post a Comment