Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan cadangan
kerajaan Selangor untuk menghentikan projek-projek kerajaan persekutuan
hanya akan merugikan rakyat negeri itu.
Beliau berkata pertikaian sehingga menghentikan projek tidak
sepatutnya berlaku kerana ia akan merugikan rakyat dan pembangunan juga
akan terbantut di Selangor.
“Kita akan bincang perkara ini dan tentukan apa tindakan yang patut
kita lakukan sama ada kita minta perintah mahkamah atau apa-apa tindakan
selanjutnya. Apapun mereka hendak lakukan, pokoknya rakyat akan rugi,”
kata pengerusi BN itu pada sidang media selepas menghadiri perjumpaan
khas dengan pemimpin dan anggota Majlis Tertinggi parti komponen Barisan
Nasional (BN) negeri di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan kerajaan Selangor yang menggantung semua
projek jalan raya dan prasarana kerajaan persekutuan sebagai tindak
balas keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes kamera Sistem
Penguatkuasaan Automatik (AES).
Mahkamah memutuskan Majlis Perbandaran Sepang tiada kuasa mengeluarkan notis meruntuhkan tiang dan menutup kamera AES itu.
Dalam pada itu, Najib mencabar Pakatan Rakyat supaya turut
menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International.
“Selama ini mereka tuduh macam-macam terhadap BN. Kita sudah sanggup
tandatangani Ikrar Integriti ini, sepatutnya kalau betul mereka
perjuangkan soal salah guna kuasa dan rasuah, inilah masanya mereka
buktikan pendirian mereka yang konsisten dan tegas dalam hal ini tetapi
mereka enggan untuk tandatanganinya pula,” katanya.
Ikrar Integriti itu dapat membendung salah guna kuasa, membeli undi,
salah guna wang dan juga sumbangan kepada parti politik yang sepatutnya
masuk ke dalam akuan parti, yang boleh disabitkan di bawah Akta Pilihan
Raya, kata beliau.
Perdana menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang parti itu tidak akan
menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya bersama Transparency
International Malaysia (TI-Malaysia).
No comments:
Post a Comment