Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Tuesday, 26 February 2013

Golongan Belia Nikmati Pelbagai Bantuan Di Bawah Pimpinan Najib – Shaziman

Golongan belia hari ini menikmati pelbagai kemudahan dan bantuan, sama ada dalam bidang pelajaran atau perniagaan sekali gus menunjukkan kerajaan memahami kehendak dan keperluan mereka.

Anggota Parlimen Tampin Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi golongan bujang, Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) dan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) untuk golongan muda merupakan bantuan yang tidak pernah diberikan sebelum ini apatah lagi oleh pemimpin pembangkang.

“Pada zaman Datuk Seri Mohd Najib (Tun Razak) ini yang menjadi Perdana Menteri, banyak perkara-perkara telah dilakukan untuk golongan muda yang tidak pernah dilakukan pemimpin lain,” katanya semasa berucap melancarkan Jentera Gerak Gempur dan Gelombang Biru Pemuda Barisan Nasional Bahagian Tampin, di Gemencheh, di sini semalam.

Shaziman yang juga Menteri Kerja Raya berkata pelbagai janji dan pujuk rayu sering dilontarkan oleh pihak pembangkang kononnya akan menyediakan pelbagai kemudahan untuk golongan muda sekiranya berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Namun katanya, semasa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan, tidak ada pun bantuan-bantuan sedemikian diberikan kepada golongan muda seperti yang telah dilakukan Najib.

Shaziman berkata apa yang dilakukan oleh pembangkang sebenarnya hanyalah untuk menarik sokongan golongan muda walaupun mereka tidak mampu mengotakan janji membantu golongan itu.

“Beliau (Anwar) pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, tapi apakah sumbangan beliau pada waktu itu untuk golongan belia. Tidak ada. Mengapa beliau tidak pernah fikir mahu bagi BL1M, bagi BR1M dan sebagainya.

“Apa yang dia fikir hanya mengenai hal diri dia sendiri sahaja. Sebab itu hari ini Pemuda Barisan Nasional berdiri lebih kukuh bersama Datuk Seri Najib yang banyak membantu generasi muda,” katanya.      Beliau berkata keberanian dan kebijaksanaan Najib memimpin negara hari ini seharusnya dijulang sebagai “hero negara” terutamanya oleh golongan muda.

No comments:

Post a Comment