Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar meminta penganjur perhimpunan
yang didokong pembangkang di ibu negara Sabtu ini agar mematuhi
peraturan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) bagi menjamin
keselamatan dan ketenteraman awam.
Ia adalah antara perkara yang ditekankan Ismail ketika bertemu dengan
pihak penganjur perhimpunan selama sejam di Ibu Pejabat Polis Bukit
Aman, Selasa.
Pihak penganjur diwakili Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu; Naib
Presiden Parti Keadilan Rakyat, N. Surendran; Ahli Parlimen Batu, Tian
Chua; Setiausaha Agong Pas Datuk Mustafa Ali; Ketua Dewan Muslimat Pas
Pusat Siti Zailah Mohd Yusoff dan Aktivis Hak Asasi Manusia, Maria Chin
Abdullah.
Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP
Ramli Mohamed Yoosuf yang turut serta dalam pertemuan itu memberitahu
Bernama, Ismail turut mengingatkan pihak penganjur perhimpunan agar
memberi kerjasama kepada polis termasuk mematuhi larangan dalam akta
tersebut.
“Seseorang itu melakukan kesalahan jika, bukan warganegara menyertai
perhimpunan, menganjurkan perhimpunan di tempat larangan dan dalam jarak
50 meter dari had larangan, menyertai dan menganjur protes jalanan,
seseorang bawah umur 21 tahun menganjurkan perhimpunan, kanak-kanak
menyertai perhimpunan (bawah 15 tahun), merekrut atau membawa
kanak-kanak untuk perhimpunan,” katanya.
Ismail turut menegaskan jika sabit kesalahan individu terbabit boleh dikenakan denda antara RM10,000 dan RM20,000.
Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Mohamad atau lebih
dikenali sebagai “Mat Sabu” berkata polis sedia menjadi fasilitator pada
perhimpunan tersebut yang dicadang ACP diadakan di Stadium Merdeka.
Bagaimanapun katanya, keputusan terakhir lokasi perhimpunan akan
ditentukan esok berikutan pihak pemilik bangunan itu belum memberi kata
putus mengenai perkara itu.
“Kita akan tunggu sehingga pukul 1 tengah hari esok sama ada dapat
menggunakannya ataupun tidak, sekiranya tidak… kita akan mencari
alternatif lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment