Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Friday, 11 January 2013

Tiga fitnah besar melanda Malaysia


Fitnah secara umumnya banyak dikaitkan dengan perbuatan mengadu domba, membuat tuduhan palsu, menyebarkan dakwaan tidak benar yang bertujuan menjatuhkan aib serta maruah seseorang.

Sebenarnya, pengertian fitnah adalah lebih luas daripada itu malah jika diteliti dengan berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah serta pandangan ulama muktabar-fitnah merupakan satu perbuatan keji dan mengandungi unsur-unsur bencana, kezaliman, kefasikan, tohmahan serta pecah belah.

Merujuk kepada maksud sebuah hadis yang dipetik di dalam wawancara antara Mingguan Malaysia dan Mufti Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman al-Salumi, minggu lalu Rasulullah SAW pernah bersabda "Fitnah itu satu benda yang tidur. Allah SWT melaknat sesiapa yang membangunkannya."

Berdasarkan kepada hadis dibacakan oleh Sheikh Sulaiman tersebut jelas menunjukkan betapa bencinya Allah dan Rasul-Nya terhadap perbuatan fitnah sehingga ke peringkat Allah melaknat ke atas mereka yang melakukannya.

Malah di dalam al-Quran ada dinyatakan secara khusus mengenai dosa pelaku-pelaku fitnah yang lebih dahsyat daripada membunuh.

Berbalik kepada perbincangan fitnah dalam konteks lebih luas, masyarakat Malaysia khususnya umat Islam tidak terkecuali daripada berhadapan dengan perbuatan keji tersebut.

Malah dalam konteks Malaysia terdapat tiga fitnah yang besar yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam negara ini.

Fitnah pertama, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu) Fathul Bari Mat Jahya dalam ceramahnya di ibu pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad kelmarin, apabila wujudnya kelompok-kelompok berimejkan Islam tetapi berfikiran Khawarij.

Kata beliau, fenomena itu amat membimbangkan kerana perkara tersebut berkaitan dengan isu akidah.

Malah beliau berkata, Rasulullah SAW pernah mengingatkan kepada semua umatnya berhubung kehadiran kelompok-kelompok itu yang begitu licik bergerak sehingga ke peringkat pelaksanaan amal ibadat mereka seperti solat dan berpuasa lebih hebat daripada muslim lain.

Bahkan kata Fathul Bari, ada Sahabat menyatakan di dahi kelompok itu terdapat tanda-tanda hitam bagi menunjukkan betapa hebatnya mereka bersolat selain sentiasa membotakkan kepala kerana mahu dilihat meninggalkan keduniaan sedangkan puak-puak tersebut berfahaman Khawarij.

"Tidak dinafikan kelompok-kelompok seperti ini daripada segi pakaian dan penampilan menunjukkan mereka cukup hebat dalam agama tetapi malangnya mereka dengan mudah mengkafirkan orang Islam lain dan menuduh orang Islam lain sesat semata-mata tidak berada dalam kumpulan itu.

"Inilah ideologi puak Khawarij, sikap kelompok-kelompok yang saya maksudkan juga tidak ubah seperti golongan Syiah yang juga berfikiran Khawarij. Mereka (Syiah) dengan mudah mengkafirkan para sahabat Rasulullah SAW,'' ujarnya.

Beliau berkata, kelompok-kelompok seperti itu sebenarnya berada dalam suasana fitnah syubhah yang cukup berbahaya dan jika dibiarkan berlarutan, umat Islam akan menerima padahnya.

"Apa yang saya hendak nyatakan, inilah salah satu fitnah paling besar yang berlaku di negara kita. Kita jangan lupa tentang satu fakta bahawa puak Khawarij adalah satu gerakan politik,'' ujarnya.

Merujuk kepada sejarah, beliau berkata, puak Khawarij cukup terkenal dengan gerakan pemberontakan terhadap kerajaan yang sah sama ada dalam bentuk rusuhan mahu pun provokasi.

"Sebelum mereka melakukan rusuhan, puak Khawarij ini akan bersangka buruk kepada pemerintah dan kemudian menyemaikan dan menyebarkannya dengan tujuan untuk menerbitkan rasa benci dalam kalangan rakyat.

"Setelah itu puak tersebut akan membuat tuduhan sama ada dalam bentuk mengkafirkan pemerintah atau menuduh pemerintah fasik dan sesat. Tujuannya supaya rakyat bangkit membuat pemberontakan,'' katanya lagi.

Realitinya beliau berkata, fahaman Khawarij amat berbahaya kerana fahaman itu boleh memecah belahkan umat sekali gus mampu mencetuskan huru-hara di dalam negara kerana sikap mereka yang terlalu mudah menuduh orang Islam lain kafir, fasik dan sesat.

Fitnah kedua, kata Fathul Bari apabila menularnya fahaman liberalisme dan pluralisme ke negara ini hasil daripada gerakan pihak Barat.

Hakikatnya beliau berkata, kejayaan mereka membawa masuk fahaman songsang itu ke negara ini adalah hasil daripada agenda terancang pihak-pihak tertentu.

"Ini juga adalah antara fitnah terbesar yang berlaku di Malaysia. Fitnah ini juga melibatkan soal akidah umat Islam. Mereka menggunakan hak kebebasan untuk mempengaruhi umat Islam sedangkan jelas fahaman ini bertentangan dengan Islam.

"Akibat daripada penularan fahaman liberalisme dan pluralisme lahir pula lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang juga merupakan satu fitnah yang wajib dihindari oleh umat Islam. Yang pasti agenda mereka cukup tersusun,'' katanya.

Menurut beliau lagi, perjuangan DAP menuntut penggunaan kalimah Allah dalam kalangan penganut Kristian di negara ini juga termasuk dalam usaha-usaha untuk menyebarkan fahaman pluralisme.

Dalam pada itu beliau berkata, tidak dinafikan dalam perbahasan ulama-ulama di Asia Barat, penggunaan nama-nama Allah adalah harus tetapi uruf (adat atau kebiasaan) tetap memainkan peranan sebagai pendesak perubahan satu-satu hukum.

''Mengikut kaedah ini di Malaysia uruf bagi penganut Kristian di sini tidak menggunakan kalimah Allah, dan ini berbeza dengan uruf bagi penganut Kristian di Timur Tengah yang mana mereka di sana pada kebiasaannya menggunakan kalimah Allah.

"Oleh itu hasil perbahasan ulama-ulama usul fiqh uruf yang termasuk dalam kaedah 'adat mukamah' bersepakat menyatakan adat setempat boleh menjadi pendesak terbentuknya satu-satu hukum,'' ujarnya.

Dengan kata lebih mudah, beliau berkata dari segi uruf, penggunaan kalimah Allah di Malaysia hanya khusus untuk orang Islam sahaja dan bukannya untuk penganut-penganut agama lain.

Fitnah ketiga kata beliau wujudnya kelompok orang Islam yang sanggup menggadaikan prinsip agama demi kepentingan politik.

Beliau berkata, keadaan itu merupakan satu musibah dan fitnah yang wajib ditentang kerana agama tidak lagi menjadi keutamaan sebaliknya kepentingan politik merupakan segala-galanya.

''Sepatutnya isu kalimah Allah yang sengaja dicetuskan baru-baru ini mampu menyatukan semua umat Islam di Malaysia sekali gus bersama-sama mempertahankan kalimah tauhid yang suci ini,'' katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, impian itu tidak menjadi kenyataan atas sebab desakan politik.

Beliau berkata, semua pihak harus menjadikan Perjanjian Granada antara kerajaan Islam dan kerajaan Kristian yang dimeterai pada tahun 1491 dijadikan pengajaran.

Dua bulan selepas termeterainya perjanjian itu pemerintah Islam, Abu 'Abd-Allah Muhammad telah menyerahkan kunci Kota Granada kepada Isabella dan Ferdinand.

''Ketika dimeterai perjanjian itu orang Islam dibenarkan melaungkan azan dan beribadat seperti biasa. Orang Kristian tidak dibenarkan mengintai-intai rumah orang Islam lebih-lebih lagi masjid.

''Lebih hebat lagi perjanjian ini membenarkan pelaksanaan undang-undang Islam seperti yang sedia dipakai,'' ujarnya.

Walau bagaimanapun beliau berkata janji hanya tinggal janji apabila perjanjian tersebut telah dimungkiri. Pemerintah Kristian ketika itu kata Fathul Bari telah memaksa orang Islam murtad.

''Kisah Perjanjian Granada ini seharusnya menjadi iktibar kepada kita semua iaitu bagaimana janji-janji indah yang ditaburkan kepada umat Islam dengan mudah dimungkiri.

''Keadaan yang berlaku itu boleh kita kaitkan dengan situasi politik semasa di negara kita dan sememangnya situasi yang berlaku sekarang amat membimbangkan kita,'' tambahnya.

Kesimpulannya, tiga fitnah besar yang melanda umat Islam di negara ini mampu diatasi sekiranya semua umat Islam di negara ini bersatu dengan diikat atas nama akidah Islam.
 
Itu juga kata Fathul Bari menjadi tuntutan Allah dan Rasul-Nya seperti mana banyak disebut di dalam al-Quran dan al-Hadis.

No comments:

Post a Comment