Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Saturday, 5 January 2013

Janji Sempena Tahun Baru Anwar… Cukup-cukuplah Jual Temberang


Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee membidas kenyataan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam perutusannya sempena tahun baru yang  mendakwa bahawa kekayaan negara hari ini dirompak oleh golongan elit penguasa untuk memperkayakan diri, keluarga dan kroni.

Menurut beliau, Anwar kini dilihat begitu terdesak untuk memburuk-burukkan imej kerajaan dalam usaha mengukuhkan kembali persepsi dan prasangka buruk rakyat terhadap UMNO dan BN,  bagi meyakinkan semula  rakyat  bahawa apa yang dijanjikan oleh Pakatan Pembangkang kepada rakyat Malaysia mampu untuk dilaksanakan, sedangkan pada hakikatnya tidak.

“Dia cuba putar belitkan fakta dengan menimbulkan isu kekayaan negara dirompak oleh segolongan pemimpin negara dan kaitkan dengan isu kroni untuk mempengaruhi rakyat, bahawa apa yang mereka janjikan itu mampu untuk dilaksanakan. Padahal sudah terbukti, mereka hanya berbohong kerana mereka tahu, tidak mungkin apa yang mereka janjikan dalam manifesto Pakatan dapat dilaksanakan.

“Hari ini sudah terbukti, kita boleh lihat di setiap negeri yang diperintah oleh mereka, timbul pelbagai isu tentang janji-janji yang tidak ditepati oleh Pakatan. Di Selangor, di Pulau Pinang dan negeri-negeri lain, isu janji tidak ditepati ini timbul bagaikan cendawan tumbuh. Ini disebabkan, pimpinan Pakatan terlalu banyak menabur janji, biarpun tahu  janji-janji itu tak mampu mereka tunaikan,” jelas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambahnya lagi, Anwar sebenarnya sedar dan tahu,  bahawa pemerintah iaitu kerajaan BN sejak dari dulu lagi berjaya mengurus tadbir ekonomi negara dengan bijak dan berhemah serta tidak berjanji pelbagai perkara kepada rakyat yang pada hakikatnya tidak mampu untuk dilaksanakan oleh kerajaan.

“Anwar dulu bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas menteri kewangan. Dia tahu, bahawa kerajaan BN setakat hari ini sedaya upaya untuk menguruskan ekonomi negara dengan baik. BN bukanlah sebuah kerajaan yang mahu menghancurkan ekonomi dan negara sendiri, tidak seperti Pakatan Pembangkang.

“Dia juga tahu bahawa Pakatan Pembangkang berjanji perkara-perkara yang tidak boleh dilaksanakan. Sekiranya mereka laksanakan segala janji-janji mereka seperti penghapusan PTPTN, penurunan harga kereta, gaji minimum RM 4 ribu, negara akan bankrap tidak lama selepas mereka memerintah. Jika negara bangkrap, kita terpaksa meminjam duit dengan orang asing, dan akhirnya tunduk kepada suara asing. Mungkin inilah yang Anwar mahu,” ujarnya.

Malah beliau turut mendedahkan, bahawa Anwar merupakan pimpinan UMNO yang pertama menggunakan wang untuk membeli undi daripada perwakilan dan ketua-ketua bahagian ketika dia mahu menentang Allahyarham Ghafar Baba untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO, sehingga Allahyarham Ghafar Baba mendapat terlalu sikit pencalonan dari bahagian.

“Dialah pelopor politik wang di dalam UMNO. Semua orang UMNO tahu tentang hal itu. Dia sanggup membayar duit imbuhan secara bulanan terhadap ketua-ketua bahagian untuk mencari pengaruh dan undi ahli. Ahli-ahli UMNO sudah masak dengan perangai dan muslihat Anwar.

“Jadi saya minta agar rakyat tidak terpedaya dengan muslihat Anwar. Kita sebagai ahli UMNO, sudah kenal siapa itu Anwar. Sebab itu kita minta rakyat jangan tertipu dan terpengaruh dengan taktik dan teknik politiknya.

“Segala tuduhannya terhadap kerajaan baik di dalam dan di luar negara, bukan saja memburukkan imej UMNO dan BN, malah turut merosakkan nama Malaysia di mata luar. Saya yakin rakyat boleh menilai mana intan, mana kaca,” akhirinya. -MediaUMNO


No comments:

Post a Comment