KUALA LUMPUR, 25 Nov – Wanita Muda di negara ini perlu memberikan
kepercayaan kepada kerajaan (Barisan Nasional) kerana pembangkang
ketandusan idea dan perancangan yang hanya berusaha menggagal segala
usaha yang dilaksanakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata banyak isu yang
dekat dengan hati golongan muda seperti isu pekerjaan telah diberikan
perhatian dan hari ini ruang pekerjaan terbuka luas.
Menurut beliau dengan melakukan agenda transformasi negara menerusi
Transformasi Ekonomi (ETP), Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) banyak
peluang pekerjaan disediakan dan sekaligus dapat membuka laluan kepada
orang-orang muda untuk mencapai kejayaan berlandaskan potensi mereka.
“Menerusi agenda transformasi itu ianya telah berjaya mewujudkan
lebih 313,000 peluang pekerjaan, menunjukkan bahawa kerajaan telah
menepati aspirasi golongan muda yang inginkan pekerjaan.
“Kalau kita berjaya sediakan peluang pekerjaan, maka kita dapat
memenuhi jangkaan atau aspirasi golongan wanita muda dan lelaki muda
kerana mereka mahukan masa depan yang penuh dengan jaminan serta
mendapat taraf hidup yang jauh lebih baik dari hari ini,” katanya
katanya ketika menutup Himpunan Wanita Muda Negara 2012 di sini hari
ini.
Datuk Seri Najib seterusnya menambah kerajaan tidak menyekat peluang
wanita untuk memajukan diri memandangkan ketekunan, dedikasi,
kesungguhan, kesetiaan dan pencapaian wanita di negara ini amat
memberangsangkan.
Beliau berkata pencapaian wanita muda di dalam sektor pendidikan
seperti kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) sebanyak 25,000
adalah hampir dua kali ganda berbanding kaum lelaki yang hanya berjumlah
13,000 orang.
“Ini bererti bahawa kejayaan yang begitu memberangsangkan ini mungkin
telah mengatasi kebanyakan negara lain termasuk negara maju sekali pun
dan ini membawa kepada pengertian bahawa kita tidak pernah menghadkan
peluang wanita untuk maju ke depan,” katanya.
Najib berkata kecemerlangan wanita juga terbukti apabila 31 peratus
daripada jawatan tertinggi dalam sektor awam kini disandang oleh
golongan itu termasuk beberapa jawatan penting seperti Gabenor Bank
Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Datuk Seri Najib seterusnya mengingatkan wanita muda tidak harus
terpengaruh dengan dakyah politik parti pembangkang yang sering
mempertikaikan kebolehan kerajaan BN dalam mentadbir negara.
Beliau berkata pembangkang sepatutnya menjadi pembangkang yang
konstruktif tetapi sebaliknya mereka sentiasa mencari keburukan dalam
projek yang dilaksanakan kerajaan sedangkan projek tersebut memberi
peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
“Projek-projek seperti Projek Rapid di Pengerang, Johor dan
penyenaraian Felda (Global Ventures Holdings Berhad) di Bursa Malaysia
cuba digagalkan pembangkang atas dasar politik yang tidak ingin BN
mencapai kejayaan dan menunjukkan kebolehan untuk mentadbir negara.
“Segala apa yang dirancangkan akan tinggal di atas kertas dan akan
terbantut kalau perancangan untuk lakukan transformasi digagalkan oleh
pembangkang dan tidak mendapat sokongan politik daripada rakyat,”
katanya.
Justeru katanya lagi wanita muda di negara ini perlu memberikan
sepenuh sokongan kepada kerajaan sekarang yang komited membantu mereka
memenuhi inspirasi, dedikasi, ekspresi dan aspirasi mereka.
Beliau berkata kerajaan di bawah pimpinan BN memberi jaminan akan
melakukan yang terbaik untuk masa depan yang lebih bersinar dan lebih
baik dari hari ini.
“Kalaulah wanita muda inginkan inspirasi, dedikasi, ekspresi dan
aspirasi dipenuhi, maka sokonglah kerajaan yang ada hari ini, saya beri
jaminan bahawa kita lakukan yang terbaik supaya wanita muda yang ada
tidak akan rasa kecewa nanti,” katanya.
Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan 12 Anugerah Kesatria
Puteri, antara penerimanya ialah penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza
Taruddin (Anugerah Kesatria Puteri Kesenian), atlet terjun negara
Pandelela Rinong (Anugerah Kesatria Puteri Sukan) dan Yang Dipertua
Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia
(Pernim) Norlina Alawi (Anugerah Kesatria Puteri Kemurnian).
Sementara itu, Tunku Panglima Besar Kedah Tunku Puteri Intan Shafinaz
dinobatkan sebagai penerima Anugerah Nusa Mahsuri di atas sumbangan
sehingga ke peringkat antarabangsa dalam pelbagai gerakan kemanusiaan
dan kemasyarakatan. -MediaUMNO
No comments:
Post a Comment