SAMA seperti bahang pilihan raya umum (PRU) yang semakin terasa,
kehangatan Perhimpunan Agung UMNO juga sudah dapat dirasai. Kawasan di
sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mula dikunjungi
anggota-anggota UMNO pelbagai peringkat. Mereka akan berkampung di situ
selama lima hari.
Beberapa program menjelang perhimpunan itu juga diadakan di Dewan
Merdeka sejak Sabtu lalu. Acara rasmi perhimpunan akan bermula esok
dengan Majlis Taklimat Presiden pada sebelah siang dan malamnya
berlangsung perasmian serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita,
Pemuda dan Puteri UMNO.
Kepada 2,674 perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO, diucapkan selamat
bersidang. Tumpukan perhatian kepada perhimpunan ini yang dianggap
sebagai peluang terakhir untuk mereka meningkatkan tekad dan azam
menjelang paluan gendang PRU. Di sinilah mereka menentukan sama ada
mereka yang menjadi kelompok parti Melayu yang boleh diharapkan oleh
orang Melayu mahu berubah atau diubah.
Berakhirnya bulan November ini, maka tidak mungkin PRU akan
berlangsung tahun ini. Tumpuan kini beralih ke tahun depan. Mungkin
selepas semuanya berhari raya, yang terakhir Tahun Baru Cina. Jika ini
menjadi kenyataan, memang benarlah kata Perdana Menteri, Najib Tun Razak
sebelum ini ??kita raya dulu lepas tu pilihan raya??. Bermula dengan
desas-desus PRU diadakan sebelum Ramadan, kini kita sudah melepasi Hari
Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Hari Deepavali dan akan datang
Krismas. Kebanyakan jemaah haji juga sudah kembali ke tanah air. Mereka
berpeluang untuk mengundi sekali gus menolak kebimbangan parti
pembangkang mengenai anggota parti mereka tidak berpeluang mengundi jika
menunaikan haji tahun ini. Semoga tidak ada jemaah yang menyesal kerana
menolak untuk menunaikan haji semata-mata bimbang tidak dapat mengundi
jika PRU diadakan semasa mereka masih di tanah suci.
Jika PRU diadakan tahun depan, selewat-lewatnya Mac ini (tempoh akhir
penggal Dewan Rakyat 24 April 2013), maka tidak ada alasan juga bagi
negeri-negeri seperti Kedah, Pulau Pinang dan Selangor mahu menangguhkan
PRU kerana tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing
semakin menghampiri tarikh akhir. Apa lagi alasan yang mahu diberikan
oleh pakatan pembangkang mengenai PRU? Dulu ketika mereka tidak menjadi
pemerintah, tidak habis-habis mereka meramalkan mengenai tarikh PRU.
Kini keadaan sebaliknya berlaku, mereka tidak mahu tergesa-gesa
mengadakan PRU. Kenapa? Takut kehilangan kuasa atau masih banyak janji
PRU yang lepas tidak mampu ditunaikan?
Kalau setakat hilang kuasa, itu masih boleh diterima. Menang kalah
adat pertandingan, tetapi bagaimana jika tidak mampu melaksanakan janji
PRU? Adakah janji yang tidak ditepati ini akhirnya terpaksa ditanggung
oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sekiranya memenangi semula negeri
yang terlepas ke tangan pakatan Pas, DAP dan PKR? Bayangkan beban yang
terpaksa digalas oleh BN apabila ada janji yang tidak sepatutnya
dijanjikan tetapi dilaksanakan sekadar melepas batuk di tangga atau
sekadar ada, yang tidak meliputi seluruh pengundi. Kita tunggu dan
lihat.
Kembali ke Perhimpunan Agung UMNO kali ini, seperti biasa, sudah
tentu banyak isu yang akan dibahas – politik, ekonomi, pendidikan dan
agama. Semasa berbahas, ada yang tidak mampu menahan emosi, meluahkan
yang terbuku di hati sehingga boleh melukakan sahabat-sahabat sama ada
di dalam parti atau di luar parti khususnya parti komponen BN. Kata
orang, terlajak cakap buruk padahnya, kerana pulut santan binasa kerana
mulut badan binasa. Dalam situasi menjelang PRU ini, eloklah perwakilan
lebih berhati-hati ketika berhujah. Harus diingat, semua mata dan
telinga tertumpu ke Dewan Merdeka. Tersilap cakap, tersilap kata,
tersilap berhujah malahan tersilap bergurau akan menjadi isu besar yang
menyulitkan.
Kita tahu orang UMNO bukanlah seperti orang Pas atau PKR yang
bercakap ikut sedap mulut. Jarang kita mendengar orang UMNO akan
menggelar orang lain dengan pelbagai perkataan dan gelaran yang buruk.
Jarang kita mendengar orang UMNO memaki hamun musuh politiknya. Orang
UMNO masih tahu batas susila mereka sebagai orang Melayu beragama Islam.
Mereka tidak mendoakan kehancuran pihak lain. Apa yang penting bagi
orang UMNO ialah meneruskan perjuangan menegakkan agama, bangsa dan
tanah air.
Baru-baru ini ketika Pas mendoakan kehancuran UMNO dan BN
serta menggelarkan UMNO murtad, sayap partinya iaitu Pergerakan Pemuda
UMNO dan BN bertungkus lumus menganjurkan Karnival Kerjaya atau Job
Fair. Menurut Pengerusinya, Nazir Hussin Akhtar Hussin, karnival itu
berjaya menarik perhatian 109,876 anak muda tanpa mengira fahaman
politik untuk mencari peluang pekerjaan termasuk 40,187 peluang yang
disediakan. Apakah usaha murni UMNO/BN ini perlu dihancurkan? Kepada
Pemuda, biarlah apa yang hendak dikatakan oleh Pas kerana Allah maha
mengetahui.
Perhimpunan kali ini juga merupakan yang terakhir bagi barisan
pemimpin Wanita, Pemuda dan Puteri serta ahli Majlis Kerja Tertinggi
(MKT) yang dipilih pada 25 dan 26 Mac 2009. Sudah tentu barisan ini mahu
kejayaan UMNO dipertahankan.
Bagi setiap anggota parti, perhimpunan kali ini juga bukan lagi masa
untuk melobi menjadi calon tetapi mencari jalan bagaimana mahu bekerja
membantu Najib mendapatkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan
merampas kembali negeri-negeri yang jatuh ke tangan pembangkang.
Berjanjilah di Dewan Merdeka, anggota parti akan menerima siapa
sahaja calon boleh menang atau winnable candidate. Ubahlah sikap jika
tidak mahu menjadikan 2008 sebagai PRU terakhir BN memerintah. Sudah
banyak kenyataan, resolusi, seminar dan macam-macam lagi dilakukan untuk
menyedarkan Melayu UMNO ini tetapi adakah sekadar pi mai pi mai tang
tu?. Jangan ada musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan atau cakap
tak serupa bikin.
Ingatlah pada PRU kali ini, setiap parti politik mahu menang. Semoga
langkah ahli-ahli UMNO ke PWTC kali ini tidak sumbang tetapi sumbanglah
sesuatu untuk menjadikan PRU ini satu kejayaan. Ingat ucapan Najib Tun
Razak pada 21 Oktober 2010: Kepada semua saya berpesan, kepada semua
saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan
yang hanya menempah alam kegagalan. Berpasaklah kepada parti UMNO.
Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang
dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari,
walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!
Kepada seluruh anggota UMNO, anda yang menentukan sama ada mahu berubah atau diubah, mahu menang atau kalah.
Selamat berhimpun dan bersidang!
No comments:
Post a Comment