KUALA
LUMPUR, 25 Nov – Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Rosmah Mansor
melahirkan rasa bangga dengan pencapaian kaum wanita di negara ini yang
disifatkannya semakin memberangsangkan dengan keterlibatan kaum tersebut
di pelbagai bidang yang membuktikan bahawa taraf kehidupan sosiologi
golongan wanita di negara ini telah banyak berubah.
Menurut beliau, penglibatan golongan wanita di dalam sektor korporat
dan perniagaan jelas membuktikan bahawa dasar kerajaan yang sedia ada
hari ini berjaya mengangkat martabat kaum wanita selari dengan arus
pembangunan negara.
“Hari ini kita boleh lihat lebih dari 80,000 usahawan di negara ini
terdiri dari golongan wanita, di mana 51 peratus daripadanya berada
dalam lingkungan umur 20 hingga 40 tahun. Ini membuktikan bahawa peranan
wanita dalam memacu ekonomi negara semakin berkembang baik di negara
ini.
“Hasil kejayaan kaum wanita di negara ini merupakan usaha dan
komitmen kerajaan yang memberi penekanan bagi memperkasakan golongan
wanita dengan memberkan peluang yang lebih luas dalam bidang pendidikan,
perniagaan dan kemahiran secara berterusan.
“Justeru itu, kita dapat lihat hari ini telah ramai golongan wanita
yang menceburi bidang-bidang profesional yang mana dulunya didominasikan
oleh golongan lelaki,” katanya ketika berucap di Majlis Himpunan Wanita
Muda Negara 2012 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari
ini.
Tambahnya lagi, kejayaan wanita hari ini merupakan satu kesinambungan
kejayaan wanita terdahulu yang mana telah melahirkan ramai tokoh-tokoh
wanita yang terlibat di pelbagai bidang dalam sumbangan mereka untuk
memajukan negara.
“Nama-nama seperti Tan Sri Fatimah Hashim, Tan Sri Aisyah Ghani, Ibu
Zain, Toh Puan Uma Sambathan, Datuk Rasammah Bhupalan merupakan antara
tokoh-tokoh wanita yang banyak berkorban dan memberikan sumbangan yang
tidak ternilai dalam usaha memertabatkan golongan wanita di negara ini.
“Kini, hasil kesinambungan perjuangan golongan wanita terdahulu maka
muncul beberapa tokoh wanita masa kini seperti Tan Sri Zeti Akhtar Aziz,
Tan Sri Dr. Robaayah Zambahari, Tan Sri Sharipah Hapsah dan ramai lagi
yang telah menjadi kebanggaan negara lantara kejayaan mereka di dalam
dan di luar negara,” jelasnya.
Beliau yang juga sebagai penaung program tersebut meluahkan rasa
syukur dengan keprihatinan kerajaan dalam usaha membantu golongan wanita
melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA), Amanah Ikhtiar Malaysia, Tabung
Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Skim Bantuan Khas Usahawan Wanita
SME Corp dan pelbagai lagi dana dan program latihan yang dibuat oleh
kerajaan khusus kepada golongan tersebut.
“Walaupun pelbagai program telah disediakan oleh kerajaan, namun
golongan wanita di negara ini harus mempunyai keyakinan diri bahawa kita
juga mempunyai peranan yang besar untuk menyumbang bagi pembangunan
negara.
“Ini untuk memastikan golongan wanita di negara ini tidak ketinggalan
dan turut sama menggembleng tenaga bersama-sama golongan lelaki dalam
usaha untuk membina sebuah negara yang maju di dalam pelbagai bidang di
negara ini,” ujarnya.
Majlis tersebut yang julung-julung kali diadakan dipengerusikan oleh
Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dengan
kerjasama beliawanis parti komponen seperti MIC, MCA, PPP, Gerakan,
Majlis Belia Malaysia, Gerakan Belia 4B dan NGO-NGO Belia di seluruh
negara.
Datin Paduka Seri Rosmah Mansor turut menyampaikan Anugerah Kesatria
Puteri kepada 12 individu bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang mereka
dalam bidang masing-masing. Manakala YTM Dato DiRaja Tan Sri Tunku
Puteri Intan Safinaz binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Tunku
Panglima Besar Kedah dianugerahkan Anugerah Nusa Mahsuri di atas
sumbangan dan jasa YTM Tunku Puteri dalam bidang kemanusiaan dan
kemasyarakat. -MediaUMNO
No comments:
Post a Comment