Ada perumpamaan ‘Bagai air menitik ke batu, lama-lama lekuk juga’.
Bagaimanapun, dalam isu air di Selangor, hati Tan Sri Khalid Ibrahim
masih belum cair dan keras membatu malah beliau memberi pelbagai alasan
bagi menidakkan Projek Langat 2 yang bertujuan mengatasi krisis air di
Lembah Klang dan Selangor selepas 2016.
Terbaru, Menteri Besar itu berkata, tidak ada masalah kekurangan air di Selangor.
Alasan beliau, hujan setiap hari kebelakangan ini, malah berlebihan air hingga sebabkan banjir.
Katanya, ini menyebabkan air mentah dan air terawat cukup.
Ini yang buat ada wartawan yang dengar sidang media Khalid di lobi Parlimen pada Selasa, gelak sakan.
“Macam tu, Khalid kena doa hujan setiap hari,” kata seorang wartawan.
Khalid ..Khalid, sebelum ini beliau buat kenyataan air cukup sebab air masih banyak dalam empangan.
Kesannya, ada yang ketawakan beliau kerana tak tahu bezakan air mentah dengan air dirawat.
Kali ini, Khalid main silap mata dan terus cakap pusing-pusing pasal
isu air selepas cadangan teknologi Membran oleh kerajaan Selangor
dilihat tidak praktikal untuk jangka masa panjang walaupun kosnya lebih
murah.
Selain beri alasan hari-hari hujan, Khalid kata bekalan air cukup
sekiranya masalah air tidak terhasil atau NRW (Non Revenue Water) dapat
dikurangkan.
Khalid punyai kira-kira macam ni : Jumlah NRW sebanyak 33 peratus
atau kira-kira 1.5 juta liter sehari dan lebih daripada mencukupi
berbanding 1.1 juta liter sehari yang dihasilkan Langat 2.
Katanya, kalau NRW dapat dikurangkan 10 hingga 15 peratus sahaja,bermakna ‘air memang cukup’.
Kalau tidak cukup juga, kerajaan Selangor mahu guna teknologi Membran
sebab kosnya cuma RM800 juta sahaja berbanding RM3 bilion bagi Langat 2.
Dalam sidang media itu, Khalid yang disifatkan Menteri Besar
Cemerlang bertegas mahu adakan perjumpaan dengan Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tujuannya hendak terangkan pasal cadangan kerajaan Selangor untuk laksanakan teknologi Membran.
“Kalau teknologi yang kita cadangkan ini betul, kita minta (Pusat)
terima. Kita akan susun semula dan masukkan projek Langat 2 sebagai
program jangka panjang,” katanya.
Sebelum itu ketika sesi soal jawab, Khalid bertegang leher dengan
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Noriah Kasnon
yang menegaskan, Pusat tegas dengan keputusannya untuk meneruskan Projek
Langat 2 dengan alasan ia lebih menjimatkan serta dapat mengatasi
krisis bekalan air di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Noriah juga berkata teknologi membran yang dicadangkan oleh kerajaan
Selangor hanya dapat memberikan kesan penyelesaian jangka pendek dan ia
tidak praktikal untuk jangka masa panjang.
Berdasarkan kajian sejak 1990 an, kami mendapati keputusan terbaik
dan lebih menjimatkan adalah menerusi projek penyaluran air mentah
Pahang-Selangor,” katanya ketika menjawab soalan tambahan yang
dikemukakan Khalid Ibrahim.
Khalid mencelah ketika Noariah menjawab pertanyaan lisan ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Noriah turut mengesahkan tidak ada bukti yang dapat mengesahkan
bahawa teknologi membran yang dikemukakan oleh kerajaan Selangor itu
dapat meningkatkan kapasiti air bersih di negeri itu.
"Kami berharap Menteri Besar Selangor akan menukar fikiran dan meletakkan kepentingan rakyat dahulu melebihi apa jua," katanya.
Kenyataan itu, menyebabkan Khalid terus mempertahankan kenyataannya
pasal teknlogi Membran dan mengulangi bahawa tiada krisis air di
Selangor ketika ini.
Lepas ini, entah apa lagi ‘idea’ Khalid untuk melambatkan kelulusan projek Langat 2.
Jika beliau terus berkeras, kata wartawan tadi pasal Khalid kena berdoa setiap hari supaya hujan ada kewajarannya.