Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Tuesday 21 August 2012

Umat Islam Perlu Syukur Dapat Sambut Perayaan Dalam Suasana Harmoni – Muhyiddin

 
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru umat Islam di negara ini agar sentiasa mensyukuri nikmat Allah SWT dengan mempertahankan keamanan, keharmonian dan kestabilan yang dikecapi di tanah air yang tercinta ini.

Sambil mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, beliau turut mengingatkan mereka agar menginsafi dan bersyukur kerana dapat menyambut Aidilfitri dan juga perayaan hari-hari kebesaran yang lain dalam suasana aman dan harmoni.

“Tiada pergolakan, tiada pertumpahan darah, tiada kecelakaan besar yang melanda negara kita sepertimana yang dialami oleh saudara-saudara Islam kita di beberapa buah negara yang sedang bergolak dan ditimpa bencana.

“Oleh itu, insafi juga insan yang berkurang upaya dan rakan seagama kita yang sengsara kerana negara mereka porak peranda akibat sengketa,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri.

Muhyiddin juga mahu budaya kunjung-mengunjung yang menjadi budaya unik masyarakat Malaysia diteruskan untuk mengeratkan silaturrahim, serta memberi peluang kepada semua orang tanpa mengira bangsa dan agama dalam menyemarakkan sambutan Aidilfitri.

Dalam keghairahan berhari raya, Muhyiddin mengingatkan umat Islam agar tidak terlalu asyik berbelanja dan menyediakan persiapan hari raya.

“Sempena lebaran ini juga, saya ingin mengajak anak-anak semua supaya pulang berhari raya ke pangkuan ibu bapa dan sanak saudara. Jangan biarkan mereka hiba menanti kepulangan anak-anak yang tak kunjung tiba. Sempurnakanlah hari raya dengan meluangkan waktu bersama keluarga tercinta,” katanya.

Bagi yang memandu, Muhyiddin meminta mereka berhemah, bersabar dan berhati-hati di jalan raya supaya selamat sampai ke destinasi masing-masing.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata perayaan Aidilfitri memberikan kesempatan kepada rakyat negara ini memperkukuhkan silaturrahim yang tersedia terjalin dengan mengamalkan semangat muhibah dan permuafakatan agar nikmat keamanan dan keharmonian dapat diteruskan oleh genereasi akan datang.

“Marilah kita bersama-sama menyambutnya dengan semangat gagasan 1Malaysia yang berpandukan kepada konsep ‘Wasatiyyah’ iaitu kesederhanaan dan keterangkuman yang sentiasa diutarakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Koh, yang juga Presiden Gerakan, berkata bulan yang mulia itu dijadikan sebagai kesempatan yang terbaik untuk menghulurkan bantuan dan berkongsi apa yang ada dengan mereka yang kurang bernasib baik.

Beliau juga menasihati orang ramai agar berhati-hati ketika memandu dan mengamalkan konsep bertimbang rasa dan bersopan santun ketika di jalan raya dengan mematuhi peraturan.

Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel pula menggesa rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum agar menyerlahkan perpaduan sempena sambutan Hari Raya ini dan Hari Kemerdekaan ke-55 pada 31 Ogos.

Palanivel, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga menasihati mereka yang pulang ke kampung masing-masing agar berhati-hati di jalan raya.

Beliau juga menasihati ibu bapa supaya memantau anak-anak bermain bunga api kerana kejadian tidak diingini boleh berlaku.

Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M.Kayveas, dalam perutusan Hari Raya beliau berkata semangat kesederhanaan akan membolehkan rakyat Malaysia mengharungi cabaran pembinaan negara bangsa, mengekalkan keharmonian dan mengukuhkan perpaduan.

“Membina persefahaman dan saling menghormati pegangan agama masing-masing merupakan kunci kepada keamanan dan keharmonian dalam sebuah negara berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia. Kita, sebagai rakyat Malaysia patut berbangga yang kita boleh menyambut pelbagai perayaan dalam suasana aman dan harmoni,” katanya.

Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye berkata orang Islam dan penganut agama lain di Malaysia patut menggunakan perayaan untuk memperkukuhkan semangat setiakawan dan hubungan antara kaum dan agama menerusi semangat 1Malaysia yang tulen.

“Setiap rakyat Malaysia perlu komited untuk memulihara keharmonian, muhibah dan perpaduan. Usaha berterusan perlu dilakukan oleh setiap orang untuk menggalakkan budaya keamanan, keharmonian dan perpaduan,” katanya dalam perutusan Aidilfitri beliau.

Dalam kegembiraan menyambut perayaan itu, beliau berharap semua rakyat Malaysia akan turut memberi perhatian akan pentingnya menyatukan semua bangsa untuk menghadapi pelbagai cabaran di masa depan.

Sementara itu, Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Paul W.Jones mengucapkan Selamat Hari Raya kepada rakyat Malaysia.

Katanya beliau dan keluarga berasa seronok dapat menghadiri dan menganjurkan majlis berbuka puasa dan juga menghadiri rumah terbuka Hari Raya di Malaysia.

“Sama seperti di Malaysia, Aidilfitri di Amerika Syarikat merupakan masa untuk muhasabah diri dengan menumpukan pada nilai-nilai yang orang Islam dan penganut agama lain berkongsi iaitu membuat amal kebajikan, aktiviti kemasyarakatan, bekerjasama dan prihatin,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan Amerika Syarikat di sini.

Jutaan umat Islam akan meraikan ketibaan Aidilfitri di lebih 2,000 masjid di seluruh Amerika Syarikat, katanya.

No comments:

Post a Comment