Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini
mengajak rakyat dan umat Islam di negara ini untuk memastikan negara ini
kekal aman dan selamat serta menginsafi bahawa kesejahteraan dan
keselamatan yang dinikmati hari ini ‘bukanlah datang secara bergolek’.
Dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri beliau, Najib berkata kerajaan
menyedari bahawa sebuah Malaysia maju perlulah juga sebuah Malaysia yang
selamat dan sejahtera.
“Kita mahukan sebuah Malaysia yang aman daripada ancaman luar dan
dalaman, di mana kawasan kejiranan dan jalan-jalannya bebas daripada
jenayah. Sebuah negara di mana rakyatnya merasa aman dan selamat.
Kesimpulannya, sebuah negara yang terbaik untuk membesarkan anak-anak
Malaysia,” katanya.
Bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan, Perdana Menteri
berkata ia memerlukan pendekatan yang bersepadu serta rakyat Malaysia
yang lebih prihatin dan peduli kepada keluarga, jiran-jiran, rakan-rakan
dan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.
“Kita tidak boleh menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab memerangi
jenayah kepada pihak berkuasa tanpa sumbangan kita sebagai rakyat yang
prihatin. Jika kita membiarkan jenayah berlaku tanpa tindakan, kita
sebenarnya akan hanya menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan
bersama,” katanya.
Bagi mencapai matlamat itu, Perdana Menteri mengajak rakyat mengubah
sikap dan melabur secara mapan bagi mempunyai ‘mind-set’ yang betul
serta menyediakan prasarana keselamatan yang lebih ampuh.
Najib berkata kerajaan akan memastikan agensi-agensi yang
bertanggungjawab akan lebih berkesan untuk menangani cabaran mencegah
jenayah era mutakhir.
“Kita menyedari usaha ini memerlukan kaedah pencegahan jenayah yang
baru, serta kepimpinan yang dinamik, akauntabiliti yang tinggi, struktur
organisasi yang lebih sesuai, latihan yang lebih relevan serta
peralatan yang moden,” katanya.
Najib berkata umat Islam di negara ini amat bertuah kerana dapat
hidup di dalam negara yang mencipta kejayaan berterusan dan sentiasa
dilimpahi rahmat kejayaan, walaupun dunia keliling dilanda pelbagai
kemelut politik dan ekonomi.
“Hari ini kita dapat menyaksikan bagaimana kemelut politik melanda
negara-negara di benua Asia dan Afrika, kita dapat menyaksikan bagaimana
negara-negara di benua Eropah dan Amerika yang dianggap sebagai negara
maju pun ditimpa krisis ekonomi yang kronik akibat kegagalan mengurus
negara dengan baik.
“Kita juga telah menyaksikan kegagalan ini telah memberi kesan yang
buruk kepada kesejahteraan rakyat mereka apabila kadar pengangguran
semakin meningkat, penciptaan peluang pekerjaan yang tidak mencukupi
serta pertumbuhan yang rendah telah menyebabkan taraf dan kualiti hidup
rakyat merudum,” jelas beliau.
Najib berkata di tengah-tengah semua kekusutan ini, negara tercinta
Malaysia telah mencipta kejayaan berterusan sebagai sebuah negara majmuk
yang dirahmati dengan perpaduan nasional.
“Kita mempunyai tradisi meraikan kepelbagaian agama, budaya dan
bangsa, kepelbagaian yang di negara lain menjadi punca perpecahan, di
negara ini menjadi pemangkin kemajuan,” katanya.
Hakikatnya, Najib berkata rakyat Malaysia hidup di dalam sebuah
negara di mana keamanan, keikraman dan kemakmuran merupakan realiti
nasional, bukan semata-mata harapan apatah lagi impian indah.
Oleh itu, Najib meminta umat Islam agar mengingati pengorbanan yang
telah dan sedang dilakukan oleh anggota-anggota keselamatan bagi
membolehkan rakyat hidup di dalam negara yang aman dan makmur sempena
hari dan bulan yang penuh kemuliaan ini.
“Kejayaan Malaysia dimungkinkan doa oleh semua rakyat Malaysia, yang
disulami ikhtiar nasional yang berteraskan perancangan yang inovatif,
pelaksanaan yang cekap, tadbir urus yang baik, kreativiti yang tinggi,
produktiviti yang terus meningkat serta daya saing nasional yang
sentiasa diasah,” katanya.
Najib berkata kerajaan komited untuk meneruskan kejayaan nasional ini
dengan sokongan dan dukungan padu semua rakyat Malaysia, bagi
merealisasikan matlamat membawa Malaysia ke arah status sebuah negara
maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Sempena Aidilfitri ini, beliau meminta umat Islam untuk meneruskan
tradisi rumah terbuka, dengan membuka seluas-luasnya pintu rumah serta
pintu hati untuk rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama di
hari yang mulia ini.
“Sehubungan itu, pada kesempatan ini, saya ingin menyusun jari
sepuluh memohon ampun dan maaf bagi pihak diri saya, isteri dan keluarga
di atas apa-apa yang terkhilaf.
“Saya berdoa kepada Allah SWT supaya semua umat Islam dapat menyambut
perayaan ini dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran di samping mereka
yang tersayang,” tambah beliau.
No comments:
Post a Comment