Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Sunday, 13 May 2012

Najib Kemuka Tujuh Prinsip Sebagai Panduan Rakyat Hadapi PRU-13


Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengemukakan tujuh prinsip sebagai panduan kepada rakyat untuk membuat penilaian dan pertimbangan menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Beliau berkata tujuh prinsip itu dikemukakan berdasarkan tempoh hampir tujuh dekad UMNO telah berjasa kepada negara.

“Saya nak papar tujuh prinsip yang boleh bantu kita buat penilaian dan pertimbangan. Pertama, antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang mana satu kepimpinan yang dipercayai dan janji ditepati? Siapa yang buat segalanya? Barisan Nasional!”

“Selain itu, 22 janji yang pembangkang beri… sebahagian besar tak ditunaikan di Selangor. Siapa yang gagal uruskan soal air? Banyak lagi mereka gagal.

“Yang kedua, kita mesti tentukan esok lebih baik daripada hari ini. Antara BN dan pembangkang siapa yang boleh jamin rakyat Malaysia esok lebih baik dari hari ini,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-66 UMNO di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam ini.

Persoalan Najib itu seterusnya disambut dengan sorakan hangat kira-kira 100,000 anggota UMNO yang hadir untuk menyaksikan perhimpunan penuh bersejarah parti yang memperjuangkan nasib bangsa Melayu itu.

Seterusnya, Najib berkata rakyat juga perlu membuat pertimbangan pihak mana yang boleh memelihara keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, kesucian agama Islam dan Raja-Raja Melayu serta hak-hak kaum lain di negara ini.

Prinsip keempat, katanya, adalah rakyat perlu memilih siapakah antara BN dan pembangkang yang mampu menguruskan ekonomi dengan baik dan boleh membawa pertumbuhan yang memberangsangkan.

“Kelima, siapa yang boleh pelihara keharmonian negara? Keenam, siapa yang boleh buat perubahan dan pembaharuan secara tersusun? Siapa yang buat transformasi negara?” katanya.

Prinsip terakhir, kata Perdana Menteri, adalah rakyat perlu memilih pihak yang benar-benar boleh memelihara kemakmuran negara sehingga Malaysia dapat mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Berikutan ‘demam’ pilihan raya mula melanda rakyat, Najib secara berseloroh berkata beliau mahu menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.

“Oleh kerana bahang-bahang pilihan raya dah dapat kita rasai dan ramai sudahpun kena demam pilihan raya… saya lihat malam ini hebat… rasa-rasanya esok saya nak menghadap Agong. Kita sudah sedia? Boleh menang?” soal Najib yang sekali lagi menerima sorakan semangat yang hebat daripada anggota Umno yang hadir.

Najib berkata perhimpunan malam ini menjadi bukti sokongan dan dukungan kaum Melayu yang semakin meningkat kepada UMNO dan BN.

“Di malam yang bertuah dan bersejarah ini biarlah stadium ini jadi saksi kita semua umat Melayu berkumpul dengan penuh semangat dan keyakinan. Siapa kata sokongan dan dukungan Melayu pada UMNO sudah menurun?

“Hari ini kita saksikan sokongan kita yang semakin meningkat. Saya nak tanya kalau kedudukan perlembagaan orang Melayu, apabila Islam diasak, institusi negara diperlekeh… siapa ke depan pertahankan kalau bukan UMNO?,” katanya.

Perdana Menteri berkata rakyat perlu memelihara kemakmuran yang telah dibawa ke seluruh pelosok tanah air dan tidak sesekali membiarkannya dibinasakan di tangan pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Biar berputih tulang, jangan rakyat dan bangsa putih mata. Kerana kelak kita tidak mahu lihat anak-anak cucu terbangsat hidup mereka. Maka kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman janganlah kita terpalit darah meracun sandiwara lawan dan menempah alam kegagalan.

“Ayuhlah! Jangankan germimis, hujan pun mari kita redah. Jangan ribut taufan pun mesti kita harungi. Jangan air bah, gelombang badai pun harus berani kita harungi. Jangankan gerhana, gelap gelita pun pasti kita terangi. Ayuhlah semua.

“Biar berdentum guruh di langit, walau kilat sambar-menyambar. Berpaksikan kepada parti UMNO, berbekalkan kepada janji oleh Barisan Nasional. Hidup UMNO, hidup Barisan! Selamat hari ulang tahun UMNO,” katanya.

No comments:

Post a Comment