Rata-rata pengunjung yang hadir dalam majlis sambutan
hari ulang tahun UMNO ke 66 di Stadium Nasional Bukit Jalil merasa
teruja dan bersemangat, terutama di kalangan ahli UMNO apabila
menyaksikan semangat Gelombang Merah dari seluruh negara yang
diterjemahkan kepada satu perhimpunan besar dan bersejarah pada malam
ini.
Menurut Mohd Fadhli Arif, 19 , ahli UMNO Bukit Rokan Negeri Sembilan
berkata, bahawa ini merupakan satu perhimpunan yang bersejarah buat
seluruh ahli UMNO dan secara peribadi buat dirinya.
“Ini adalah pertama kali saya melihat ratusan ribu ahli UMNO
berkumpul dengan aman bagi memperlihatkan semangat juang yang tidak
pernah padam dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara. Saya sendiri
merasa begitu bersemangat dengan perhimpunan ini dan berazam akan terus
membantu parti kita untuk terus kekal sebagai tunjang pemerintahan di
negara ini,” ujarnya.
Semangat yang sama turut dikongsi oleh rakannya, Mohd Nazri Sutires,
19, yang juga dari Bukit Rokan Negeri Sembilan, di mana kebangkitan aura
gelombang merah ini merupakan satu petanda bahawa UMNO sudah bersiap
siaga dalam menghadapi pilihanraya yang ke 13 akan datang.
“InsyaAllah, dengan semangat gelombang merah terhimpun yang
menggegarkan stadium Bukit Jalil ini merupakan satu petanda bahawa
perpaduan UMNO tetap kukuh dan utuh biarpun cuba diganggu guta dengan
pelbagai tohmahan dan fitnah selama ini.
“Saya sebagai orang muda, yakin bahawa perjuangan UMNO selama ini
berada di atas landasan yang benar dan InsyaAllah, golongan muda akan
terus bersama UMNO dalam memuliakan agama, memartabatkan bangsa dan
mempertahankan tanahair kita yang tercinta,” ujarnya bersemangat.
Manakala bagi Mohd Nor Rajeae, 54, perhimpunan ini merupakan satu
kebangkitan ahli-ahli UMNO dalam memperlihatkan kekuatan dan perpaduan
dikalangan ahli UMNO terutama dalam menghadapi pilihanraya yang akan
datang ini.
“Saya secara peribadi merasa kagum dan terharu melihat semangat
gelombang merah yang telah diperlihatkan oleh ahli-ahli UMNO dari
seluruh negara pada malam ini. Ini merupakan satu sejarah buat UMNO dan
sebenarnya, bagi saya juga merupakan satu sejarah peribadi kerana pada
hari ini adalah harijadi anak saya yang bungsu, Nor Azim yang dilahirkan
pada 11 Mei 2006.
“Sebab itu, malam ini saya turut membawa anak saya dalam majlis ini
agar dia juga satu hari nanti akan menjadi pewaris perjuangan UMNO untuk
agama bangsa dan negara satu hari nanti,” jelasnya sambil memimpin
tangan anak bungsunya itu.
Latifah Azizan, 22, berasal dari Kedah pula berpendapat perhimpunan
ini merupakan satu tamparan hebat kepada parti pembangkang kerana hari
ini, UMNO telah memperlihatkan kekuatan mereka dengan aman berbanding
dengan perhimpunan bersih anjuran pembangkang yang ternyata zalim
terhadap rakyat dan bersikap biadap dengan melanggar undang-undang
negara.
“Bagi saya perhimpunan hari ini adalah sebagai satu mesej kepada umum
bahawa UMNO masih terus relevan dikalangan rakyat di negara ini, baik
bagi generasi lama dan muda terutama di kalangan orang Melayu.
“Bagi generasi muda, saya berpendapat bahawa kita perlu menjadi
pemangkin kepada perjuangan ini untuk memastikan UMNO akan terus menjadi
tunjang pembela kepada agama bangsa dan tanahair,” tegasnya yang
merupakan ahli Puteri Yan Kedah.
Manakala, perhimpunan kali ini membuatkan Azirah Ismail, 21, agak
terkejut apabila melihatkan kehadiran ahli-ahli UMNO dengan semangat
gelombang merah yang begitu berkobar-kobar pada malam ini.
“Sebagai orang awam, yang tidak pernah menjadi mana-mana ahli parti
politik, saya rassa kagum dengan perhimpunan hari ini yang jumlah begitu
ramai. Saya sendiri tidak sangka begitu ramai sekali ahli UMNO akan
menghadiri majlis sambutan ulang tahun malam ini. Selama ini
bermacam-macam cerita tentang UMNO yang saya dengar, tetapi hari ini
saya menjadi saksi, bahawa UMNO masih lagi terus kukuh dan kuat sebagai
sebuah parti tonggak pada bangsa Melayu,” katanya yang berasal dari
Cheras Kuala Lumpur. -MediaUMNO
No comments:
Post a Comment