Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom
berkata rancangan untuk bermuzakarah antara UMNO dan Pas perlu
dijalankan berlandaskan keikhlasan tanpa meletakkan sebarang syarat.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata,
muzakarah adalah sesuatu yang digalakkan dalam Islam jadi adalah tidak
sesuai untuk meletakkan syarat.
“Muzakarah adalah sesuatu yang dianjurkan dalam Islam dan pada saya
adalah nikmat bagi kita kalau semua boleh duduk sekali dan mencari titik
perbezaan dan kita menguruskan perbezaan itu secara sepatutnya.
“Tentunya dalam titik pertemuan kita yang begitu banyak, mengapa kita
mencari titik perpisahan dan (mahu) membesarkannya dan kita
kehadapankan? Jadi mekanisme terbaik adalah muzakarah,” katanya selepas
menyampaikan ceramah pada Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan Gagasan
1Malaysia, di sini Isnin.
Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat
yang meletakkan syarat untuk mengadakan muzakarah dengan mana-mana badan
bukan kerajaan termasuk Umno.
Jamil Khir berkata, UMNO sejak dahulu sentiasa membuka pintunya untuk
sebarang hasrat mengadakan muzakarah dengan mana-mana pihak termasuk
Pas, namun ia sering berakhir dengan kegagalan.
Katanya, justeru muzakarah harus dilihat dalam konteks keikhlasan
pihak-pihak berkenaan bagi memastikan rancangan untuk bermuzakarah kali
ini dapat diadakan.
Sementara itu, mengulas mengenai seminar tersebut Jamil Khir berkata,
ia diadakan bertujuan bagi memberi pemahaman dan penjelasan kepada
orang ramai mengenai wasatiyyah dalam mengamalkan konsep 1Malaysia.
Katanya, seminar tersebut yang dianjurkan Biro Agama dan Biro
Penerangan UMNO akan diadakan di setiap negeri dan Negeri Sembilan
merupakan negeri kedua selepas seminar sama diadakan di Kedah, Ahad.
No comments:
Post a Comment