Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin
Johor masih merupakan 'tiang seri' dan kubu kuat Barisan Nasional (BN)
dalam pilihan raya umum akan datang.
Timbalan Perdana Menteri berkata, keyakinan itu berdasarkan sentimen
dan sokongan rakyat negeri ini yang terus bersikap positif terhadap
kepimpinan BN.
"Namun, kita tidak boleh ambil mudah perkara ini. Saya mohon pemimpin
di semua peringkat sama ada UMNO bahagian dan BN bekerja lebih kuat,
kena kerja berganda.
"Apa yang penting kita kena beri tumpuan kepada persediaan kita
memenangi hati rakyat dan pengundi, perkukuhkan jentera parti dan
mendekati rakyat," kata ketika ditanya mengenai hasil mesyuarat tertutup
beliau dengan Badan Perhubungan UMNO Johor dan pemimpin BN negeri di
Senai dekat sini hari ini.
Muhyiddin berkata demikian selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra
Rakyat dan merasmikan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kulaijaya yang baru
di sini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Speaker Dewan
Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohd. Ali Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa
Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi
negeri, Datuk Maulizan Bujang serta Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri
Abdul Ghafar Mahmud.
Timbalan Perdana Menteri mengakui, setakat ini beliau berpuas hati
dengan persiapan BN Johor menghadapi pilihan raya umum nanti, malah
memuji tindakan Menteri Besar yang turut ke setiap kawasan Parlimen
menemui pemimpin dan segenap lapisan masyarakat.
Diminta mengulas kenyataan pemimpin pakatan pembangkang yang ingin
merampas beberapa kerusi lagi di negeri ini, beliau menegaskan, BN
sentiasa bersedia menghadapi persaingan mereka seperti pilihan raya umum
lalu.
"Yang paling utama ada pengundi. Kalau kita jaga kebajikan rakyat,
berkhidmat dengan baik, membawa keselesaan dan kesejahteraan dan membawa
pembangunan, saya yakin rakyat akan faham dan terus memilih kerajaan
pimpinan BN," katanya.
Ditanya adakah BN yakin mampu memenangi semua 26 kerusi Parlimen dan
56 DUN di negeri ini, Muhyiddin berkata: "Yang kalah terutamanya dengan
majoriti kecil pun kita akan cuba rampas semula. Yang perlu dilakukan,
kena lakukan kerja berganda, kerja lebih kuat."
No comments:
Post a Comment