Berikut adalah wawancara khas Bernama dengan Perdana Menteri yang
juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak menjelang Perhimpunan
Agung Umno 2011 Kuala Lumpur pada Sabtu.
SOALAN (S): Apakah intipati amanat Datuk Seri kepada anggota parti
berlatarbelakangkan transformasi politik yang Datuk Seri cadangkan
baru-baru ini?
JAWAPAN (J): Sebagai sebuah parti, bila menjelang tiba cabaran yang
sangat besar, yakni, pilihan raya umum maka parti mesti berada dalam
keadaan kesiapsiagaan yang sepenuhnya.
Kesiapsiagaan yang saya maksudkan ini ialah secara menyeluruh dan
komprehensif sama ada dari segi latihan, keilmuan, logistik mahupun dari
segi mindset kita, iaitu kerangka minda kita, untuk memberi tumpuan
kepada sebarang usaha yang boleh mengukuhkan parti kita, dan sebaliknya
untuk mengelak daripada malakukan sebarang perbuatan yang boleh
melemahkan parti.
Jadi pendekatan kita mesti menyediakan barisan yang ampuh, kita mesti
rapatkan barisan kita dan kita mesti menampilkan kekuatan yang boleh
digeruni pihak lawan.
S: Adakah siapsiaga boleh dianggap sebagai menyediakan parti untuk
berada dalam keadaan 'war footing' atau rentak perang bagi menghadapi
Pilihan Raya Umum ke 13?
J: Yalah, kalau kita gunakan analogi perang, maknanya sebelum
tembakan pertama diletupkan maka sebarang angkatan tentera kena melalui
proses latihan dan persediaan dari segi strategi dan persediaan dari
segi logistik, kelengkapan.
Semuanya ini mesti kita lakukan dalam keadaan yang sebaik-baiknya untuk mencapai kemenangan yang kita harapkan.
Tidak kurang penting juga ialah nilai-nilai asas kita dalam
menentukan kita boleh menang dalam sebarang peperangan iaitu nilai-nilai
seperti ketaatan dan kesetiaan, disiplin, kesungguhan membuat kerja,
semangat berpasukan.
Semua ini, nilai-nilai asas yang kita mesti hayati dan kita tidak
boleh kompromi dalam hal ini. Kalau tidak parti kita boleh kecundang
dalam kawasan yang berkenaan.
S: Kalau boleh saya gunakan analogi Harimau Muda yang tetap tabah
walaupun berdepan penyokong Indonesia dan cabaran sengit (pada
perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA di Jakarta minggu lepas)
J: Kita kalau ada "mental strength" (kekuatan mental) dan kita ada
jiwa yang kental, kita boleh berdepan dengan persekitaran yang sangat
mencabar walaupun pihak musuh membuat apa jua tekanan terhadap kita
termasuk tekanan psikologi dan emosi.
Tetapi kalau kita kental dari segi kekuatan minda kita, dan semangat
kita pun kukuh, maka sudah terbukti seperti analogi Harimau Muda itu,
kita boleh mengatasi keadaan yang sangat berat menekan kita, mencengkam
kita, walaupun gelanggang tidak sama rata seperti di Jakarta, tapi
pasukan kita akhirnya berjaya juga.-26/11/2011 -Bernama
No comments:
Post a Comment