Pengerusi Yayasan 1Malaysia Dr Chandra
Muzaffar hari ini meminta rakyat menolak pemimpin bersikap talam dua
muka untuk meraih sokongan.
“Kita tidak boleh terima pemimpin yang bersikap seperti sesumpah ini
yang sekejap jadi wira kaum Melayu dan sekejap jadi wira kaum lain. Ini
akan menghancurkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Konsep wasatiyyah berasaskan politik keseimbangan. Inilah pendirian
kita kena pegang. Dengan Malaysia pegang kepada konsep wasatiyyah, kita
pertahankan rekod kita di kaca mata dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta pada Seminar
Kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah & 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia
Putra (PWTC) di sini hari ini.
Pada masa yang sama Dr Chandra yang juga Profesor Pengajian Global
Universiti Sains Malaysia meminta pemimpin UMNO menjawab isu dan tuduhan
yang dibangkitkan dengan segera agar tidak timbul kekeliruan dalam
kalangan masyarakat.
Tegas beliau pendekatan tidak menjawab tuduhan dilemparkan kurang
sesuai dalam masyarakat di negara ini yang mudah percaya terhadap
pembohongan dan penipuan.
Jelasnya anggapan bahawa tuduhan yang tidak berasas dan ekstrem tidak akan dipercayai rakyat adalah salah.
“Seorang indvidu ini saya kenal telah dituduh dan memilih tidak
menjawab tuduhan tersebut. Saya tanya kenapa tidak jawab masa itu, dia
kata orang tidak percaya tuduhan itu.
“Pilihan Raya Umum 2008, ini (tuduhan itu) digunakan dan memberi kesan kepada Barisan Nasional.
“Sekiranya ada perkara tertentu benar-benar berlaku, kita harus
bersikap jujur. Kita harus akui ini berlaku, mohon maaf dan kita
betulkan. Sekiranya ia tidak berasas kita jawab serta merta,” katanya.
Mengulas mengenai konsep Malaysian Malaysia, Chandra berkata konsep
itu bertentangan dengan konsep wasatiyyah kerana ia berat sebelah dan
idea dangkal ini meminggirkan hakikat sejarah serta latar belakang
politik di negara ini.
“Buku Malay Dilemma (dikarang Tun Dr Mahathir Mohamad) mengutarakan
isu asal -usul negara identiti negara, cara beliau bahaskan isu itu
berani. Keberanian itu yang kita perlukan, ini bukan soal perkauman, ini
asal-usul negara,” katanya.
Seminar Seminar Kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah & 1Malaysia di
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini menampilkan bekas
Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Datuk Dr Syed Ali
Tawfiq Al-Attas dan Profesor Pengajian Global, Universiti Sains Malaysia
Dr Chandra Muzaffar bertujuan menghurai pendekatan Wasatiyah dan
gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri.
Ia juga bermatlamat mencari metodologi terbaik bagi menerapkan
kedua-dua pendekatan itu sebagai amalam harian, dan menggarap maklum
balas untuk menambahbaik pelaksanaannya bagi melahirkan umat yang
terbaik.
Seramai 1,200 peserta melibatkan pelajar, badan bukan kerajaan, ahli
akademik dan individu hadir telah memenuhi seminar tersebut yang
dianjurkan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 bermula 29 November
hingga 3 Disember ini.
No comments:
Post a Comment