Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Saturday 23 April 2011

Datuk Rosnah Dakwa Pembangkang Gagal Di Sarawak



KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak membawa isyarat jelas bahawa rakyat negeri itu tidak pernah mahu menerima pembangkang, yang dilihat gagal menunaikan manisfesto seperti dijanjikan di negeri yang mereka tadbir.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata kegagalan pembangkang di Sarawak juga menunjukkan rakyat semakin matang menilai strategi parti itu yang gemar menjanjikan pelbagai perkara yang sebenarnya tidak mampu mereka laksanakan.

"Rakyat perlu tahu sikap sebenar pembangkang, yang seharusnya ditolak tanpa diberi ruang untuk mereka berkuasa, kerana contoh telah ditunjukkan melalui pentadbiran mereka di beberapa negeri sejak 2008," katanya kepada pemberita.
  
Beliau ditemui pada Pertandingan Akhir Pemidato Wanita Muda Pergerakan Puteri UMNO Malaysia di sini, yang dirasmikan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid.

Rosnah, yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, berkata BN juga perlu menjadikan kemenangan itu sebagai garis panduan meneruskan gerak kerja dan perancangan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Beliau berkata walaupun mencapai kemenangan dua pertiga, keputusan itu tidak boleh dianggap selesa, sebaliknya, jentera parti perlu terus berusaha meningkatkan strategi serta memperbaiki sebarang kelemahan.

"Keputusan Pilihan Raya Sarawak ini juga merupakan semboyan untuk kita memperkasakan pergerakan jentera kita khususnya, dan juga sebarang pendekatan yang kita mahu tekankan pada pilihan raya umum akan datang," katanya (BERNAMA).

No comments:

Post a Comment