KENYATAAN MEDIA
YB MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN
"KERAJAAN SERIUS TANGANI MASALAH PENGEMIS DAN GELANDANGAN DI KUALA LUMPUR"
Merujuk
kepada masalah gelandangan dan pengemis yang masih berterusan di
ibukota Kuala Lumpur, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memandang
serius mengenai perkara ini dan ingin menjelaskan beberapa perkara
iaitu:
Masalah gelandangan telah menyumbang terhadap
masalah kebersihan di Kuala Lumpur khususnya lokasi-lokasi tumpuan
pengunjung/pelancong. Mereka tidur di tempat-tempat yang tidak sesuai di
sekitar bandaraya Kuala Lumpur dalam persekitaran yang tidak bersih dan
terdedah kepada penyakit berjangkit.
Manakala
golongan pengemis pula kebanyakannya meminta sedekah di hadapan kompleks
perniagaan, tepi-tepi jalan dan sebagainya. Kedua-dua faktor ini bukan
sahaja menyumbang kepada masalah kebersihan, malah turut menyumbang
pelbagai masalah lain seperti sosial; keselamatan; menjejaskan imej
Kuala Lumpur dengan pandangan kurang elok jika dilihat oleh pelancong.
Menurut siasatan oleh pihak berkuasa, didapati terdapat sindiket yang
beroperasi membawa golongan ini untuk mengemis di ibukota terutamanya di
kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai. Mengemis juga seolah-olah
telah dijadikan sebagai satu kerjaya yang mendatangkan hasil yang
lumayan. Malah, terdapat diantara pengemis yang pernah ditahan oleh
pihak berkuasa menginap di hotel-hotel berdekatan dengan tempat mereka
mengemis;
Bagi tahun 2013, operasi bersepadu yang
dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengangkut
sejumlah 965 orang gelandangan dan didapati 125 orang daripada mereka
adalah pendatang asing . Pada tahun 2014 (sehingga Mei) sejumlah 117
orang gelandangan telah berjaya diangkut menerusi operasi bersepadu yang
dijalankan dan didapati 21 orang daripada mereka adalah pendatang
asing.
Masalah gelandangan ini menjadi semakin rumit
apabila mereka mempunyai kumpulan masing-masing yang menguasai kawasan
tertentu. Masalah timbul apabila mereka berebut kawasan dan berlaku
pergaduhan diantara mereka;
Antara faktor yang
menyumbang kepada masalah gelandangan ialah tiada pekerjaan, miskin,
masalah mental/kemurungan,/penyakit melarat, warga asing tiada
pekerjaan, ketidakupayaan mengurus diri, ditinggalkan keluarga serta
penagihan dadah/arak/bekas banduan dan warga emas.
Kawasan
"Hot Spot" masalah gelandangan di Kuala Lumpur ialah Mydin Kotaraya;
Masjid Negara; Central Market; Menara Maybank; Jalan Tuanku Abdul
Rahman, Jalan Masjid India, Jalan Tiong Nam (Chow Kit), Jalan Silang,
Masjid Jamek, Bank Negara, Bulatan Sultan Mohamad dan Dataran Merdeka.
Antara pendekatan strategik yang akan dilaksanakan bagi menangani
masalah gelandangan ialah Pelaksanaan Zon Sifar Gelandangan iaitu 2.0 KM
Radius bermula daripada Simpang Empat Lot 10. Pemilihan kawasan ini
adalah berasaskan kepada aspek tumpuan pelancong, kawasan perniagaan dan
berada di pusat Bandar Kuala Lumpur.
Tindakan
penguatkuasaan akan dilaksanakan di kawasan ini dengan mengenakan denda
dan bayar serta merta (terhadap mereka yang memberi makanan dan derma)
serta melaksanakan proses "pungutan" terhadap gelandangan dan pengemis
yang berada di kawasan berkenaan.
Pihak DBKL juga
akan melaksanaan Perundangan Di bawah PBT di mana penggubalan
undang-undang kecil akan dilaksanakan yang memberi kuasa kepada pihak
DBKL untuk mengangkut golongan gelandangan dan pengemis yang berada di
2.0 km radius dan menyerahkan kepada pihak yang berwajib untuk tindakan
selanjutnya seperti PDRM, Imigeresen; Jabatan Kebajikan Masyarakat; AADK
dan pihak-pihak lain yang berkenaan.
Di samping
itu, Kementerian Wilayah Persekutuan akan bekerjasama rapat dengan
Agensi Kerajaan yang lain serta NGO-NGO yang berkaitan secara bersepadu
bagi mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan masalah
ini dapat ditangani secara berkesan.
Sehingga kini,
pihak DBKL telah mengenalpasti 12 NGO yang aktif memberi makanan kepada
golongan gelandangan ini mengikut hari dan waktu serta lokasi popular
pengagihan makanan seperti Pasar Seni; Dataran Kota Raya; Stesen Bas
Klang, Masjid India; Masjid Negara; Bangkok Bank, Jalan Tun HS Lee; Kota
Raya; Pudu Sentral; dan Swiss Garden Hotel, Jalan Pudu.
Kementerian
Wilayah Persekutuan (KWP) bersama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
akan mengenalpasti pusat pengagihan makanan yang sesuai supaya NGO
terbabit dapat meneruskan aktiviti sukarelawan serta menderma makanan
kepada golongan ini.
Usaha ini juga mampu mengurangkan masalah
kekotoran yang akan timbul akibat pembuangan sampah oleh golongan
berkenaan. Pemilihan lokasi ini juga akan mengambil kira daripada aspek
kesampaian yang mudah kepada golongan gelandangan ini.
KWP
bersama dengan DBKL akan mengenalpasti lokasi yang sesuai bagi
penempatan golongan ini iaitu dengan menyediakan bangunan seperti konsep
"Anjung Singgah" yang akan menyediakan beberapa kemudahan untuk
golongan gelandangan seperti:
Menyediakan makanan
yang berkhasiat secara percuma dan pihak NGO juga dialu-alukan untuk
menyumbang makanan di pusat pengumpulan golongan tersebut;
Menyediakan tempat rehat dan tidur bagi memberikan keselesaan dan keselamatan kepada golongan ini;
Menyediakan pusat rawatan kesihatan bagi memastikan tiada masalah penyakit berjangkit akan tersebar oleh golongan ini;
Menyediakan
pusat pendaftaran bersepadu yang akan merekod perihal golongan ini
dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat termasuk maklumat diri,
waris dan sebagainya;
Menyediakan kemudahan riadah, mendobi pakaian dan sebagainya untuk kesihatan dan kekemasan diri; dan
Menyediakan perkhidmatan kaunseling dan membantu mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian.
Justeru,
saya ingin menafikan sekeras-kerasnya bahawa kerajaan bertindak zalim
dan tidak berperikemanusiaan, sebaliknya tindakan tersebut adalah bagi
membantu golongan gelandangan dan pengemis ini dengan kehidupan yang
lebih baik dan sempurna melalui perkhidmatan yang disediakan di 'Anjung
Singgah'.
Usaha-usaha yang dilaksanakan ini juga
adalah bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan warga kota sentiasa
terpelihara serta aktiviti-aktiviti sindiket mengemis dapat dibanteras.
Saya
menghargai segala usaha murni yang dilaksanakan oleh NGO-NGO yang
terlibat dan Ketua Setiauasaha Kementerian Wilayah Persekutuan akan
mengadakan perbincangan bersama dengan NGO-NGO ini pada hari Selasa (8
Julai 2014) bagi menetapkan lokasi yang bersesuaian supaya pengagihan
makanan dan bantuan-bantuan lain dapat dilaksanakan dengan lebih
sempurna.
Sekian, terima kasih.
TENGKU ADNAN
No comments:
Post a Comment