Campur tangan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim ke atas
pentadbiran Kerajaan Selangor telah disambut dengan tempelak kritikan oleh
Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim.
Menurut Abdul Khalid, Anwar tidak seharusnya
mempersoalkan pentadbiran kerajaan negeri kerana dalam parti sendiri,
kewibawaan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu seolah-olah turut
dipersoalkan oleh ahli serta pemimpinnya.
"Isu sama ada Anwar akan menjadi Presiden PKR seumur
hidup turut dibincangkan.
"Kita semua ada perbincangan. Saudara (media) mesti
tahu, kerajaan tidak boleh membuat perubahan sewenang-wenangnya.
"Berbeza dengan individu, hari ini dia boleh
bersetuju dengan sesuatu perkara dan esok tidak bersetuju, tetapi kerajaan
tidak boleh buat demikian.
Antara isu yang dibimbangi Anwar adalah tiada rundingan
dalam kalangan pemimpin kerajaan negeri berhubung pembinaan Lebuh Raya
Kinrara-Damansara (Kidex) dan konsesi air.
Abdul Khalid berkata, dalam isu Kidex dan konsesi air,
pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pihak terbabit untuk
menyelesaikannya.
Jelasnya, undang-undang yang diperkenalkan oleh kerajaan
negeri perlu dipatuhi supaya rakyat yakin dengan kepimpinan tertinggi.
"Anda perlu faham, saya datang dari latar belakang
sangat profesional dan saya pernah jaga (tadbir) Amanah Saham Bumiputera (ASB)
dan kita cakap untuk 10 hingga 30 tahun akan datang," ujarnya.
Beliau menambah, pendirian yang dipegangnya untuk
melakukan sesuatu perkara adalah sentiasa mengutamakan kepentingan negeri.
"Apa-apa pun perkara yang akan memberi keuntungan
kepada rakyat Selangor, saya akan bekerjasama dengan semua pihak.
"Ada perkara saya setuju, ada juga yang saya tidak
setuju tetapi semuanya berasaskan kepentingan rakyat," jelas beliau lagi.
Sejak kebelakangan ini ramai pemimpin PKR yang pro-Anwar
telah mengutuk dan mencaci tindakan Khalid Ibrahim yang dilihat kini banyak
bekerja demi rakyat dengan bekerjasama dengan Kerajaan BN Pusat.
Ramai pemimpin PKR dan Pakatan Pembangkang berpendapat kerjasama sebegini banyak merugikan Pakatan Pembangkang sebaliknya memberi kelebihan kepada BN biarpun projek ini memberi keuntungan kepada rakyat.
No comments:
Post a Comment