Cadangan kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan
dan menggantikannya dengan akta baru hanya akan menyebabkan perbuatan
menghasut boleh dilakukan dengan mudah di negara ini, kata bekas Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
- Tun Dr Mahathir Mohamad
Menurut Dr Mahathir, Akta Harmoni dan Akta Uniti tidak dapat
menghalang perbuatan itu daripada berlaku, malah keadaan katanya mungkin
menjadi lebih parah apabila pelampau di kalangan rakyat dengan
sewenang-wenangnya boleh mengkritik institusi diraja.
Kerajaan ujar Dr Mahathir perlu belajar daripada pengalaman lepas
apabila Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan berkaitannya dimansuhkan
baru-baru ini.
“Kita sudah pun mansuh ISA dan akta bagi membuang daerah penjenayah
bersiri. Kita lihat kesan daripada pemansuhan kedua-dua akta ini ialah
peningkatan berbagai jenis jenayah. Tetapi hasutan walaupun ada
dilakukan tetapi tidak melampaui batas.
“Apabila Akta Hasutan digugurkan maka rakyat Malaysia akan bebas
menghasut. Kedua-dua akta baru berkenaan dengan harmoni dan uniti tidak
akan menghalang hasutan yang akan berlaku,” katanya yang dipetik melalui
tulisannya di blog, Chedet, hari ini.
Dr Mahathir turut melahirkan kebimbangan sekiranya perbuatan
menghasut sampai ke tahap yang tidak dapat dibendung lagi apabila akta
mengenainya dimansuhkan.
“Rakyat akan menerima berbagai-bagai hasutan, termasuk hasutan untuk
meminda perlembagaan Malaysia. Tidaklah mustahil mereka akan menghasut
supaya institusi raja juga dihapuskan.
“Di Thailand ada undang-undang “Les Mejeste” yang melarang sebarang
cemuhan terhadap raja dan institusi raja. Tetapi di Malaysia
undang-undang ini tidak ada,” katanya.
Tambah beliau, tidak ada undang-undang di negara ini yang boleh
menghalang perkara tersebut berlaku setelah ISA dihapuskan dan sekiranya
Akta Hasutan turut dimansuhkan.
“Pelampau di kalangan rakyat bebas mengkritik raja dan sistem beraja
secara terbuka dan akhirnya membuat desakan supaya institusi raja
dihapuskan. Tidak ada undang-undang yang boleh menahan mereka setelah
ISA dan Akta Hasutan dimansuh.
“Ramai mungkin yang akan marah terhadap hasutan untuk menghapuskan
sistem beraja. Tetapi kerana hasutan dibenarkan mereka yang berminat
untuk mendirikan Republik Malaysia berhak dan bebas untuk meneruskan
kempen mereka,” katanya.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan huru-hara berlaku dalam negara
kesan daripada sikap liberal yang diagungkan di negara ini.
No comments:
Post a Comment