Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Monday, 10 February 2014

STRATEGI DAJAL PADAM SEJARAH BANGSA MELAYU DI MALAYSIA


Pada akhir 1970-an, kita masih boleh mengenali tempat berdasarkan nama Melayu di Kuala Lumpur. Keadaan ini berubah apabila memasuki tahun 1990-an dan alaf baharu 2000. Nama-nama taman, bangunan dan gedung beli-belah kian hilang ciri-ciri kemelayuannya, sebaliknya nama kebaratan dan kecinaan lebih ditonjolkan.

Bukan sahaja perubahan ini berlaku di Kuala Lumpur yang ditadbir oleh orang Melayu sendiri tetapi di bandar-bandar besar lain di negara ini.

Baru-baru ini tersebar cadangan menukar nama Kampung Pantai Dalam kepada Pantai Sentral yang mengundang beberapa reaksi orang ramai di media sosial.

Ada sahaja idea pihak tertentu untuk menghilangkan identiti budaya bangsa Melayu secara halus.

Takkan kerana beberapa perubahan dan pembangunan dijalankan di kawasan Kampung Pantai Dalam maka namanya pun hendak ditukarkan kepada Pantai Sentral. Caca marba jadi nama Melayunya.

Pejuang bahasa dan cendekiawan Melayu sudah berkali-kali menyuarakan rasa kecewa kepada pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Pusat tentang nama-nama taman perumahan, kondominium dan bangunan pejabat serta gedung beli-belah.

Sehingga hari ini, teguran dan pandangan mereka bagaikan tak berkesan. Sebab itu keluar nama seperti Tun Razak Exchange, Fahrenheit88, Acuvue @ Campbell Shopping Complex, One Metro Pudu, Velocity, Southgate, Kenanga Wholesale City, Solaris Dutamas, Pavilion Kuala Lumpur, The Peak, dan Vista Millennium.

Bandar raya Kuala Lumpur pada 1 Februari lalu menyambut ulang tahun ke 42, dan sama ada sedar atau tidak kian terhakis tempat-tempat yang asalnya dibuka oleh orang Melayu.

Kawasan yang dahulu dihuni oleh orang Melayu sejak puluhan tahun, menjelang tahun 2020 bakal lenyap kerana diganti dengan penghuni yang lebih kaya dan mampu. Khabarnya kota Kuala Lumpur sesuai untuk orang yang ada kelas.

Kelas orang Melayu

Golongan ada kelas itu tentunya tak ramai orang Melayu, yang ramai golongan bukan Melayu dan pedagang.

Untuk menyesuaikan status elit itu maka nama-nama bangunan kediaman, pejabat dan gedung beli-belah pun kena ikut nama Barat atau ala kecinaan.

Jangan kita berasa terkejut sebab asal ada bangunan baharu komersial yang naik di kota ini, namanya tak ada lagi ciri-ciri kemelayuan. Kalau ada pun nama Melayu, dicampur dengan nama Barat.

Kuala Lumpur menjadi tonggak pembangunan negara kita menjelang 2020. Apakah kita boleh berbangga kemajuan kota ini dengan nama-nama pelik sedangkan ini tanah tumpah negara kita yang dipimpin oleh orang Melayu.

Kalau kita melawat kota Seoul, Taipei, Beijing, Hanoi, Bangkok, Jakarta dan pusat pentadbiran baharu Myanmar, Naypyidaw - tak ada pun mereka bangga-banggakan nama ala-Barat. Tapi di Malaysia, nama-nama tempatan agaknya sudah habis digunakan, sebab itu dicedok nama Barat.

Kadang-kadang timbul rasa malu bila melihat terlampau banyak nama Barat pada bangunan komersial dan kediaman di bandar-bandar raya kita. Orang luar pun mungkin persoalkan, kenapa tidak diagung-agungkan nama tempatan sendiri.

Tak diketahui dalam fikiran pentadbir Melayu, nama-nama yang dicadangkan oleh pemaju bukan Melayu itu lebih bernilai ekonomi daripada nama Melayu.

Adakah penyakit guna nama Barat oleh pentadbir kota KL dan bandar-bandar lain seperti Ipoh, Johor Bahru, George Town, Kuching dan Kota Kinabalu boleh dirawat?

Entahlah, kalau 20 tahun lagi, semua kawasan baharu yang dimajukan menggunakan nama Barat, maka sesuaikah lagi nama bandar di negara kita ini dikekalkan atau perlu juga ditukar kepada nama ala Barat?

Dalam fikiran saya yang kurang pandai bisnes dan politik ini, mungkin ada agenda ahli perniagaan yang tidak dibaca dan difahami oleh pentadbir Melayu iaitu usaha untuk mengubah landskap bandar raya bercirikan nama Melayu ini kepada nama asing.

Fikirkanlah, lama-kelamaan satu hari nanti sejarah pembukaan tanah dan kawasan yang dahulu diterokai oleh orang Melayu akan dipadamkan secara tersusun.

Barangkali jika terlaksana pembangunan di kawasan di Kampung Baru seperti dirancangkan, tidak pelik kalau nama kawasan ini pun ditukar demi tarikan komersial. Hal ini sedang berlaku di kawasan Kampung Abdullah Hukum, Kampung Pandan, Kampung Kerinchi dan Kampung Datuk Keramat.

Apa yang telah diluluskan oleh pentadbir Melayu selama ini adalah satu kesilapan, sudah tidak boleh dibuat apa-apa. Tetapi pentadbir Melayu boleh lakukan sesuatu selepas ini iaitu perbetulkan kesilapan dan pertahankan ciri-ciri Melayu di bandar daripada dipadam secara halus.

Ini tanah air kita yang dahulu namanya Persekutuan Tanah Melayu. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment