Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Sunday, 8 December 2013

Puteri Pahang Cadang Had Umur Ahli Puteri Dilanjutkan Hingga 40 Tahun

PAU 2013 - Pergerakan Puteri UMNO Negeri Pahang hari ini mencadangkan agar had umur keahlian Puteri UMNO dilanjutkan ke usia 40 tahun bukan untuk jawatan Ketua Puteri Malaysia sahaja tetapi untuk semua ahli Puteri sehingga ke peringkat akar umbi.
Wakilnya, Suhaya Elly Rosli Puteri berkata menghadkan umur keahliannya bermula umur 18 hingga 35 tahun, kebanyakkan wanita muda pada tahap umur ini masih lagi meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan ketika itu fokus mereka masih lagi kepada pendidikan dan minat untuk berpolitik masih belum wujud.
“Ini bermakna, walaupun keahlian Puteri bermula umur 18 tahun, ia tidak menjanjikan komitmen daripada mereka apabila mereka setakat mendaftar sebagai ahli akan tetapi tidak memberikan komitmen dan juga tidak memberikan kerjasama dalam apa jua program Puteri.
“Apabila berumur 25 hingga 30 tahun pula, ahli Puteri akan sibuk membina kerjaya setelah tamat pengajian dan sedang sibuk mencari kestabilan hidup. Pada masa ini juga Puteri masih belum bersedia untuk berpolitik kerana fokus lebih kepada membina kehidupan. Mencecah umur 30 hingga 35 tahun, barulah wujud rasa ingin berpolitik di kalangan wanita muda,” katanya yang juga Naib Ketua Puteri UMNO negeri Pahang.
Ujarnya, Puteri UMNO terdiri daripada wanita Melayu muda yang berumur daripada 18 hingga 35 tahun dan tidak pernah lari daripada matlamat asal serta hala tuju sejak daripada tertubuhnya Puteri hingga kini.
Jelas beliau lagi perjuangan Puteri adalah selari dengan sayap UMNO yang lain cuma pendekatan yang sedikit berbeza dilakukan bagi disesuaikan dengan sasaran sebenar.
“Walaubagaimanapun, selaras dengan matlamat Puteri sendiri iaitu menjadi landasan untuk wanita Melayu muda melibatkan diri secara aktif di dalam politik, mencungkil potensi kepimpinan wanita Melayu muda, memupuk dan menyerlahkan identiti wanita Melayu muda tanpa diskriminasi, bertindak sebagai pemantau di dalam UMNO dan masyarakat serta yang paling penting Puteri membantu UMNO di dalam semua pilihanraya dan meneruskan ketuanan Melayu di Malaysia.
“Puteri masih memikirkan serta melihat bahawa relevan atau tidak tempoh umur yang dihadkan untuk Puteri sekarang iaitu bermula 18 hingga 35 tahun ini patut terus dikekalkan.
“Jadi bagi mengekalkan relevannya Puteri UMNO dan demi memperkukuhkan dominasi sebagai salah satu sayap UMNO yang penting, had umur Puteri ini memang dan sepatutnya dikaji semula iaitu memanjangkan tempoh had umur Puteri sehingga usia 40 tahun agar mereka benar-benar matang dalam berpolitik sebelum melangkah ke dunia Wanita UMNO,” ujarnya ketika membentangkan usul politik pada Persidangan Puteri UMNO di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment