KUALA LUMPUR 04 Dis. – Penubuhan Biro Sahabat Puteri bertujuan menarik sokongan orang muda tanpa mengira jantina dan kaum serta badan bukan kerajaan (NGO) dan mahasiswa.
Ketuanya Mas Ermieyati Samsudin berkata Puteri mengambil langkah itu susulan beberapa perkembangan termasuk kemelesetan sokongan kaum Cina kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
“Saya percaya ini dapat membantu kita dalam usaha memperbaiki prestasi BN dalam PRU akan datang. Persediaan yang syumul harus dibuat sebelum kita menghadapi gelombang cabaran lebih ganas,” katanya.
Mas Ermieyati berkata demikian dalam ucapan dasar bertemakan ‘Pemerkasaan Puteri, Wahana Pembangunan Bangsa’ dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO 2013 yang dihadiri oleh 902 perwakilan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau mengajak semua bekas pemimpin sayap tersebut menyumbang idea untuk merealisasikan penubuhan biro berkenaan selain terus bersama-sama Puteri mendekati orang muda.
Menyentuh aspek ekonomi, Mas Ermieyati berkata Puteri UMNO bakal memperkenalkan program siri perniagaan Puteri On Wheels bertujuan memberi latihan dan penerangan khususnya mengenai peluang perniagaan.
“Kita boleh beri bantuan dari segi kewangan dan material tetapi sekiranya kita berikan ilmu kepada mereka, insya-Allah mereka akan lebih berjaya,” katanya.
Katanya pergerakan itu turut mencadangkan supaya Ilmu Rumahtangga diajar secara komprehensif di peringkat sekolah serta universiti bagi membolehkan wanita muda lebih berjaya dalam kehidupan rumahtangga kelak.
“Kursus ini sebaiknya merangkumi segala aspek seperti ekonomi rumahtangga, penjagaan ibu bersalin, penjagaan anak, permakanan dan lain-lain lagi,” jelasnya.
Selain itu, beliau berkata fenomena perceraian pasangan muda yang semakin meningkat dari tahun ke tahun turut perlu diberi perhatian.
Mas Ermieyati yang mengambil alih teraju sayap itu menerusi pemilihan pada Oktober lepas, mengakhiri ucapan dasar sulungnya dengan menyeru semua anggota Puteri agar tidak alpa dengan ‘musuh’ di luar sana.
“Mereka sedang mentertawakan kita sambil menyuntik virus-virus keruntuhan,” katanya dan menggesa anggota sayap itu untuk terus berjuang “menurunkan” lagi bilangan wanita muda menyokong pembangkang yang kini meliputi 35 peratus. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment