Gelagat ahli-ahli parlimen pembangkang bikin kecoh dan bersikap ikut suka hati seperti pada sidang Dewan Rakyat Khamis sungguh memalukan dan tidak matang. Malah Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar yang geram kata ' mereka ingat dewan ini tepi jalan ke ?'.
"Kalau nak bercakap macam kat pasar, kita (ahli parlimen BN) pun boleh cakap macam itu. Tetapi kita ada undang-undang dan peraturan. Memang sudah jadi tabiat pembangkang buat kecoh di mana saja, baik dalam pilihanraya mahupun dalam dewan
"Apa saja keputusan semuanya salah. Bagi saya mereka hanya nak dapatkan political mileage. Konon nak tunjuk hormati undang-undang, tetapi mereka sendiri yang tak ikut. Mereka cakap macam bercakap dalam demonstrasi.
"Pembangkang ramai-ramai berhujah nak lawan Speaker seorang. Kalau semua orang bercakap, Speaker nak dengar cakap siapa?. Pembangkang memang tak hormat undang-undang dan peraturan" kata Noh.
Sementara iatu Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz menganggap pembangkang sudah hilang rasional dan sengaja mengganggu supaya usul menggantung Ahli Parlimen Padang Serai tidak dibentangkan.
"Kalau inilah trend yang ada dalam dewan, mungkin satu hari boleh jadi macam apa yang berlaku di Taiwan dan luar negara. Pada saya ini tidak wajar. Seharusnya semua ahli dewan, baik dari BN atau pembangkang supaya menghormati setiap peraturan mesyuarat yang ditetapkan dan dipersetujui semua pihak," katanya.
"Pembangkang bikin kecoh macam sarkas itu memang sesuatu yang dijangka. Tetapi apa yang mendukacitakan ialah mereka tidak menghormati institusi parlimen. Ia memalukan. Perangai yang dipamerkan menujukkan mereka ahli parlimen yang tidak matang.
"Saya tengok mereka koyak-koyakkan kertas dan biarkan ia bertabur merata tempat sedangkan selama ini kita mengajar anak-anak muda supaya menghormati orang dan jangan buang sampah sesuka hati. Perangai ahli-ahli pembangkang macam budak-budak," kata Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Madius Tangau berkata pembangkang sudah mencemari institusi parlimen. Katanya mereka tidak dapat membezakan antara individu dan institusi.
"Perangai ahli-ahli parlimen pembangkang yang terjerit-jerit dan mengoyakkan kertas biarlah dilihat oleh semua orang dan dinilai sendiri oleh rakyat," katanya.
Ahli Parlimen Libaran, Juslie Ajirol sependapat dengan Madius. Katanya sikap ahli-ahli parlimen berkenaan tidak bertanggungjawab dan biadap.
"Nampaknya pembangkang tak berminat menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat dan negara. Budak-budak tadika pun tak buat perangai macam itu. Rakyat harus menilai gelagat wakil-wakil rakyat itu," katanya.
"Menjerit atau mengoyak kertas tidak akan menjejas usul yang dibawa. Pada pandangan orangramai, ahli parlimen tidak bersatu. Soal kenapa saya tidak membawa usul tetapi Hajah Nancy Shukri tidak membawa sebarang perbezaan kerana kami berdua mewakili kerajaan," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.
"Sebelum ini memang berlaku tekanan yang memuncak di parlimen. Tetapi hari ini "terpuncak betul" dan semua orang telah buat benda tak elok. Bagaimana nak jadi pemimpin jika tunjuk perangai tak bagus? Orang muda nanti terikut-ikut perangai samseng," tambah Shahidan
Mengulas mengenai pembangkang yang mahu Speaker digantung, Shahidan berkata Speaker dilantik mengikut undian maka tafsirannya adalah muktamad.
"Kalau semua orang nak buat tafsiran, ia bukan jadi parlimen rimba sahaja, tetapi parlimen gila," katanya
No comments:
Post a Comment