Sudah menjadi kisah biasa setiap kali menjelang pemilihan UMNO akan muncul Dong King @ broker-broker politik akan berkeliaran untuk 'menjual pertandingan' ikut selera dan agenda masing-masing.
Kalau rajin pasang telinga Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak terlepas dari radar mereka.
Antara isu yang dimainkan ialah kurangnya kerusi Parlimen Barisan Nasional pada PRU13 berbanding PRU12 yakni dari 140 kepada 133.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim tidak menyembunyikan rasa kurang senangnya dengan tindak tanduk mereka yang cuba mencetuskan pertembungan antara pimpinan nombor satu dan dua parti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini tegas berpendirian bahawa UMNO sebagai sebuah parti tampil mantap dalam pilihanbraya umum itu bila berjaya meningkat kerusi Parlimen dari 79 kepada 88.
Menurutnya perlu diingat bahawa kedua-dua pemimpin utama itu khususnya Perdana Menteri sudah membawa perubahan besar termasuk transformasi dalam negara serta politik.
“Jika tidak mana mungkin UMNO mampu bertahan dalam PRU 13 malah menambah bilangan kepada 88 kerusi. Bagi saya, mana-mana pihak yang cuba melaga-lagakan mereka adalah perbuatan tidak berfaedah dan tidak memberi keuntungan kepada negara,” katanya kepada Agendadaily mengulas usaha pihak tertentu cuba melaga-lagakan Presiden dan timbalan parti menjelang pemilihan UMNO.
Beliau juga tidak nampak sebarang alasan kukuh untuk lawan jawatan Presiden dan timbalan.
“Kalau ada yang nak lawan Presiden dan timbalan kerana mereka boleh buat lebih baik apa salahnya tetapi jika hanya untuk melaga-lagakan, hentikan perbuatan tak berfaedah itu,” katanya.
Tegas beliau, “ Kalau nak satu padukan UMNO kita harus sokong mereka. Apakah dengan melaga-lagakan mereka, UMNO semakin kuat?,”.
Bagi Shahidan, beliau sendiri boleh melaga-lagakan pemimpin jika itu menguntungkan parti.
“Saya sendiri menentang sesiapa yang cuba melawan tetapi dalam masa sama, saya juga berhati-hati sama ada tindakan itu boleh mengurangkan pengaruh UMNO atau sebaliknya,” ujarnya.
Bagaimanapun, Shahidan mengalu-alukan perebutan jawatan Naib Presiden kerana sejarah membuktikan tidak ada Naib Presiden menang percuma atau tidak dicabar.
“Bertandinglah seberapa ramai asalkan tidak meruntuhkan parti,”katanya yang mengumumkan akan mempertahankan kerusi Majlis Tertinggi kerana mahu membantu Presiden dan timbalan memantapkan parti.
Dalam pada itu, beliau yang diumum Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis yang baru dua minggu lalu mahu menggunakan pengalaman yang ada bagi menyatupadukan UMNO di negeri tersebut.
Katanya, UMNO Perlis berpecah sejak 2008 kerana campur tangan pihak luar dalam pelantikan jawatan Menteri Besar (MB) terdahulu.
“MB boleh dipilih daripada sesiapa sahaja di kalangan anggota pentadbiran parti. Bila ada campur tangan luar, UMNO berpecah dan sukar bersatu hingga sekarang,” ujarnya.
Menurut beliau, walaupun Barisan Nasional (BN) memang PRU 13, usaha perlu ditingkatkan terutama diperingkat bahagian selain membantu tempat yang tidak berjaya.
Beliau juga berkata, UMNO Perlis akan mengatur perancangan menawan Kerusi DUN Indera Kayangan dan Sanglang yang dimenangi pembangkang pada PRU lalu.
No comments:
Post a Comment