Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Friday 14 June 2013

Perlembagaan, Islam dan Institusi Raja


Kepada Mu Ya ALLAH! dipohonkan petunjuk - dimohon hidayat, mengupayakan Hamba-Mu ini menghuraikan mauduk 'Perlembagaan dan Islam - Peranan Institusi Raja'; yang mengandungi tiga kata kunci; pertama: Perlembagaan, kedua: Islam, ketiga: Institusi Raja.
Menghadap Paduka Kekanda, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis; menghadap Paduka Kekanda Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan Perlis. Ampun Tuanku, sembah Paduka Adinda mohon diampun. Sesungguhnya Paduka Adinda berasa begitu terhormat dengan keberangkatan hadir Paduka Kekanda berdua, mencemar duli untuk turut mengikuti huraian Paduka Adinda atas mauduk yang telah diamanahkan. Paduka Adinda juga amat menghargai keberangkatan hadir Paduka Anakanda Raja Muda Perlis bersama Paduka Anakanda Raja Puan Muda Perlis.
PERLEMBAGAAN
PERLEMBAGAAN sesebuah negara adalah undang-undang yang telah digubal, lalu diterima pakai sebagai prinsip dan panduan pemerintahan. Dalam konteks negara Malaysia, ia dikenali sebagai Perlembagaan Malaysia, lebih kerap dirujuk sebagai Perlembagaan Persekutuan; malah naskhah asalnya lebih dikenali sebagai Perlembagaan Merdeka.
Proses menggubal Perlembagaan Persekutuan, bermula daripada persidangan yang berlangsung di London dari 18 Januari hingga 6 Februari 1956. Delegasi Persekutuan Tanah Melayu terdiri dari:
i. Empat wakil Raja-Raja Melayu
ii. Ketua Menteri bersama tiga Menteri Persekutuan Tanah Melayu.
iii. Pesuruhjaya Tinggi Inggeris berserta barisan penasihat.
Suruhanjaya Reid ditubuhkan; diberikan tanggungjawab melakukan kajian, seterusnya mengemukakan perakuan kandungan Perlembagaan Persekutuan. Suruhanjaya Reid diketuai oleh Hakim Lord Reid, dan dianggotai oleh:
i. Sir Ivor Jennings, pakar perundangan perlembagaan negara-negara Komanwel
ii. Sir William McKell, mantan Gabenor Jeneral Australia.
iii. Mr. B. Malik, mantan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi India.
iv. Justice Abdul Hamid, Hakim Mahkamah Tinggi Pakistan Barat.
Antara Jun hingga Oktober 1956, Suruhanjaya Reid mengadakan 118 sesi pendengaran (hearings) sebelum merumuskan perakuan pada 20 Februari 1957. Antara perakuan utama yang terkandung dalam draf pelan induk Perlembagaan Merdeka menyentuh perkara-perkara berikut:
(i) Keunggulan Perlembagaan.
(ii) Badan Kehakiman yang bebas dengan kuasa melakukan kajian semula kehakiman (judicial review).
(iii) Kerajaan berteraskan sistem Persekutuan.
(iv) Raja Berperlembagaan di Peringkat Persekutuan dan Negeri.
(v) Perlindungan khas hak Raja-Raja Melayu.
(vi) Kedudukan istimewa orang Melayu.
(vii) Hak kerakyatan kepada setiap orang yang dilahirkan di Persekutuan.
(viii) Hak agama, budaya dan bahasa kalangan bukan Melayu.
Permohonan Perikatan, begitu juga hasrat UMNO mahu meletakkan Islam di bawah kuasa Persekutuan tidak diterima; di sebaliknya Suruhanjaya Reid menerima tuntutan Raja-Raja Melayu, mengekalkan agama di bawah kuasa negeri. Ini mungkin diasaskan kepada faktor bahawa kuasa Raja berhubung Islam tidak pernah disentuh, di masa negeri-negeri Melayu berada di bawah pentadbiran de facto Residen Inggeris.
Kumpulan Kerja Pakatan Tiga Pihak (Tripartite Working Party) mewakili Raja-Raja Melayu, Perikatan dan Kerajaan Kolonial telah ditubuhkan untuk mengkaji perakuan Suruhanjaya Reid. Raja-Raja Melayu diwakili oleh Penyimpan Mohor Besar, Haji Mustapha Albakri, Shamsuddin Nain, Tunku Ismail dan Neil Lawson, QC; Perikatan diwakili oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman, Datuk Abdul Razak, Ong Yoke Lim dan V.T. Sambanthan, dan Kerajaan Kolonial, diwakili oleh Pesuruhjaya Tinggi MacGillivray, Ketua Setiausaha Negara, Sir David Watherston, Peguam Negara TV A Brodie, dan E.O. Laird berperanan sebagai setiausaha.
Antara 23 Februari hingga 27 April 1957, Kumpulan Kerja telah mengadakan dua puluh tiga mesyuarat, melakukan pengubahsuaian kepada perakuan asal Suruhanjaya Reid. Antara pengubahsuaian signifikan yang dilakukan menyentuh perkara-perkara berikut:
(i) Memperkukuh peranan Majlis Raja-Raja; sebagai forum yang melantik Ketua Negara; Majlis Raja-Raja berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung urusan lantikan tertentu menurut yang termaktub di dalam Perlembagaan; dan Majlis Raja-Raja perlu dirunding dalam perkara-perkara penting seperti perubahan sempadan dan wilayah, serta perkara yang menyentuh bidang kuasa Raja.
(ii) Menggugurkan perakuan yang meletakkan batasan masa lima belas tahun untuk melindungi keistimewaan orang Melayu.
(iii) Islam dikanunkan sebagai agama Persekutuan tetapi tidak mengubah status Raja sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing.
(iv) Menjamin kebebasan beragama kepada bukan Islam.
(v) Membenarkan pengajaran bahasa Cina dan Tamil serta penggunaan bahasa-bahasa tersebut dalam urusan tidak rasmi.
Suruhanjaya Reid, memberi perhatian aspek pergantungan kewangan negeri-negeri dari sumber pendapatan di peringkat Persekutuan. Dalam tahun 1956, keseluruhan perolehan pendapatan Persekutuan berjumlah tujuh ratus empat puluh empat (744) juta ringgit, sementara jumlah perolehan pendapatan negeri-negeri hanyalah sembilan puluh sembilan (99) juta ringgit.
Raja-Raja dan Perikatan tidak menemui kata sepakat dalam isu menyentuh agihan dan perkongsian hasil negara di antara pusat dengan negeri, lalu wakil Raja-Raja telah memulau mesyuarat yang berlangsung pada 9 April 1957. Kompromi akhirnya dicapai apabila Perikatan memberikan persetujuan memperuntukkan geran kepada negeri.
Ketika kesetiaan warga kepada negeri masih begitu mendalam - ketika warga kuat memiliki kebanggaan terhadap warisan, adat dan tradisi setempat, Raja-Raja Melayu telah mempamerkan jiwa besar, memberi perkenan untuk memungkinkan penubuhan sebuah Persekutuan. Jiwa besar yang dipamerkan oleh Raja-Raja Melayu telah memudahkan urusan penggubalan Perlembagaan. Lantas Perlembagaan Merdeka berjaya disiapkan mengikut jadual.
Sesungguhnya sembilan Raja Melayu pada hakikatnya telah membuktikan sebaik-baik contoh, semangat untuk merealisasikan perwujudan sebuah negara bangsa, dengan perkenan mengurniakan sebahagian besar kedaulatan dan menyerahkan sebahagian besar kuasa negeri masing-masing untuk memungkinkan tertubuhnya sebuah Persekutuan, di bawah konsep Federalisme. Apabila Raja menemui kata muafakat, warga mencapai kata sepakat.
Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani pada 5 Ogos 1957 oleh Sir Donald Charels MacGillivray bagi pihak Ratu Inggeris dengan lapan Raja Melayu; dan bagi Negeri Sembilan, ditandatangani secara bersama oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan berserta empat Undang dan Tengku Besar Tampin. Pada tarikh keramat, 31 Ogos 1957, Duke of Gloucester bagi pihak Ratu Inggeris menyerahkan Perlembagaan Persekutuan kepada Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putera, dalam gegak gempita teriakan Merdeka: berkibarlah bendera Jalur Gemilang, berkumandanglah lagu Negaraku, lalu lahir sebuah negara merdeka lagi berdaulat.
Perlembagaan Persekutuan berperanan sebagai carta dan kompas, sauh dan layar kepada sebuah bahtera merdeka. Pada September 1963, Parlimen Malaysia menggubal Akta Malaysia 26/1963, memberi wajah baru kepada Perlembagaan Merdeka selaras dengan pembentukan negara Malaysia.
Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara. Terkandung 183 perkara di dalamnya. Perlembagaan Negara kita adalah antara Perlembagaan bertulis yang paling komprehensif, mengandungi pelbagai perkara, begitu menyeluruh, digubal secara terperinci - dihalusi secara teliti. Dalam bab akhir buku An Introduction To The Constitution of Malaysia, Tun Mohamed Suffian telah mencatat frasa berikut:
Petikan: For such a small country Malaysia has a fearfully long and elaborate Constitution and the visitor from Mars may be forgiven for thinking that our Constitution must have been devised by a mad professor of constitutional law".
Perlembagaan sesebuah negara, sui generis sifatnya, iaitu berada dalam kelas tersendiri. Perlembagaan Persekutuan tidak sekadar dokumen undang-undang. Perlembagaan Persekutuan pada hakikatnya mengandungi semangat dan roh negara, mencerminkan persetujuan-persetujuan yang di capai ketika negara memperoleh kemerdekaan.
Ia memperlihatkan semangat persefahaman - ia mempamerkan kesediaan berkompromi pelbagai pihak - ia memanifestasikan pencapaian kata sepakat antara takhta dengan rakyat, antara rakyat sesama rakyat yang berlatar belakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa. Perlembagaan Persekutuan digubal bersumberkan warisan sejarah, satu kesinambungan yang berjaya mengekalkan tradisi ketika mengharung modenisasi.
Termaktub di dalamnya, aspek warisan berkerajaan - aspek sejarah bernegara, berpayungkan Raja, bertiangkan Islam, bersalut budaya dan bahasa peribumi. Amanat yang terkandung dalam tujuh wasiat Raja-Raja Melayu dianyam secara tersirat dalam dokumen yang tersurat.
Terpahat secara tersirat - tertera secara tersurat di dalam Perlembagaan Persekutuan semangat menjunjung Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang secara tegas menetapkan antaranya, kedaulatan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Tanah Simpanan Melayu, kedudukan istimewa Orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain, diberikan jaminan untuk dilindungi pada setiap masa.
Perkara-perkara ini tidak boleh dipinda di dalam Perlembagaan tanpa perkenan Raja-Raja. Perkara-perkara yang telah sama-sama dipersetujui ketika penggubalan Perlembagaan Merdeka, menyentuh prinsip-prinsip asas, tidak boleh sama sekali diperdagangkan untuk tujuan meraih keuntungan politik jangka pendek. Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditafsirkan secara menyeluruh kerana kesemua peruntukan yang terkandung di dalamnya adalah berikat dan berkuasa.
Perlembagaan Persekutuan hendaklah dijadikan rujukan utama dalam mengurus tadbir negara. Ia mengatasi segala undang-undang lain. Tidak ada undang-undang lain yang harus mencabar keunggulannya. Mematuhi dan menghormati perkara-perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bukan satu pilihan tetapi adalah satu kemestian untuk membolehkan sistem pemerintahan demokrasi yang sejati dapat ditegakkan.
ISLAM
Islam terpahat kukuh di persada sejarah negara. Islam mula berakar di Tanah Melayu sejak kurun keempat belas. Terdapat penemuan-penemuan yang menunjukkan Islam telah tersebar di negeri-negeri Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu lebih awal dari Melaka. Raja Kedah, Phra Ong Mahawangsa memeluk Islam dalam tahun 1136 Masihi, menukar nama kepada Sultan Mudzafar Shah, dan mengasaskan Kesultanan Islam di Kedah.
Di Melaka, Parameswara setelah memeluk Islam, menukar nama kepada Raja Iskandar Shah. Dengan pengislaman Raja Melaka pada tahun 1409, Islam bertapak lebih kukuh di alam Melayu, dijadikan agama rasmi di Melaka semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446-1458).
Penduduk di Nusantara Melayu, memeluk Islam kerana dorongan dan dakwah Raja-Raja, bukan kerana ditakluk atau dipaksa. Islam berevolusi menjadi titik penyatuan negara bangsa di bawah pemerintahan Raja-Raja. Kesultanan Melaka dianggap sebagai salah sebuah Kerajaan Islam yang ulung di Asia Tenggara, berperanan sebagai pusat penyebaran Islam di Nusantara.
Proses pengislaman di alam Melayu berlangsung dalam masa yang singkat dan merupakan tenaga terkuat yang mencorakkan kepercayaan, nilai dan sikap masyarakat. Ajaran Islam cepat menyerap di kalangan umat Melayu kerana Islam merupakan satu keratan lapisan yang diletakkan atas sistem kepercayaan yang sedia wujud, memperlihatkan kebijaksanaan umat Melayu melakukan asimilasi, menyesuaikan sistem kepercayaan lama dengan yang baru.
Islam memberi dimensi baru kepada minda Melayu; ia mencetuskan satu revolusi pemikiran; mengupayakan umat menyemai nilai dan semangat keagamaan yang luhur. Islam telah merobah bukan sahaja struktur zahir masyarakat Melayu malah turut menyentuh struktur batinnya. Berpalinglah pandangan hidup umat Melayu, gugur dari singgahsana alam seni dan alam mitos yang khayal, berpindah ke alam akal dan budi yang menuntut kepada gaya tertib yang lebih teratur, berjaya membina daya rasionalisme - daya intelektualisme, mengangkat adab dan susila serta kesedaran umat terhadap kemuliaan insan dan keagungan Tuhan.
Lalu berlaku pengubahsuaian dalam sistem pemerintahan, menjelmakan identiti baru. Raja dan Kerajaan diberi taraf baru, menghapuskan konsepsi lama yang menganggap Raja sebagai 'penjelmaan Tuhan di bumi', status yang meletakkan Raja sama taraf dengan Tuhan, beralih kepada konsepsi bahawa Raja adalah 'bayangan Allah di muka bumi (zillulah fi al-Ard)". Hubungan batiniah Raja dengan para dewata ditinggalkan, di sebaliknya talian spiritual dirangkaikan dengan Allah dan Rasul serta kekudusan tokoh para aulia - para anbia.
Berdasarkan konsepsi baru ini, Raja hanya bertaraf wakil atau khalifah di bumi dengan sifat-sifat kemanusiaan. Kuasa Raja disandarkan dengan hukum kerana Raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak. Kemuliaan Raja dinilai dari sudut amal makruf menyempurnakan tanggungjawab, lantas menginsafkan Raja bahawa kuasa pemerintahan adalah satu amanah Ilahi yang sama sekali tidak boleh disalahgunakan. Raja wajib menjunjung amanah pemerintahan, melaksanakan keadilan untuk kesejahteraan rakyat mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Islam dan Melayu adalah tunggak utama Tanah Melayu. Undang-undang Islam diguna pakai untuk mentadbir negeri-negeri di Tanah Melayu. Negeri Melaka telah mengkanunkan Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka berdasarkan Hukum Syarak. Di negeri Perak, Undang-Undang 99 digubal, berdasarkan prinsip Hukum Syarak; Terengganu, Kelantan dan Kedah menyerapkan pengaruh Islam dalam pentadbiran.
Selepas kejatuhan Melaka, kerajaan-kerajaan di Tanah Melayu kekal meneruskan tradisi pemerintahan beraja berteraskan undang-undang Islam sehingga munculnya penglibatan Inggeris. Inggeris telah memisahkan urusan pentadbiran negeri dengan agama Islam. Proses peralihan sistem perundangan dilakukan dari negeri ke negeri dengan penerimaan Common Law Inggeris, mengganti perundangan berlandaskan syarak; akibatnya Islam terpisah dari arus perdana pentadbiran, malah hal ehwal Islam ditadbirkan secara berasingan dengan penubuhan institusi-institusi yang dibatasi bidang kuasanya.
Terbukti, bahawa dalam era pemerintahan Kesultanan Melayu. urus tadbir berpaksikan Islam yang merangkumi aspek-aspek perundangan, ekonomi, pendidikan dan sosial, telah diterima sebagai cara hidup masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama di bumi ini. Pengiktirafan tersebut selanjutnya diperkukuhkan melalui penghakiman kes Raman lawan Laton, apabila Mahkamah Rayuan bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu memutuskan bahawa Islam adalah "lex loci of the land".
Berasaskan hakikat ini, Hakim Abdul Hamid yang menganggotai Suruhanjaya Reid telah bersetuju dengan memorandum yang dikemukakan oleh Parti Perikatan agar Islam dijadikan agama bagi Persekutuan Tanah Melayu. Parti Perikatan adalah gabungan parti-parti politik yang mewakili masyarakat Melayu, Cina dan India, tiga kumpulan etnik utama di kalangan penduduk Tanah Melayu.
Dengan pertimbangan bahawa sudah terdapat lima belas negara di dunia ketika itu meletakkan agama dalam Perlembagaan mereka, Hakim Abdul Hamid mengakui bahawa Islam memiliki kedudukan istimewa di Negeri-Negeri Tanah Melayu dengan menyatakan:
Petikan:
"If in these countries a religion has been declared to be the religion of the State and that declaration has not been found to have caused hardships to anybody, no harm will ensure if such a declaration is included in the Constitution of Malaya. In fact in all the Constitutions of Malayan States a provision of this type already exists. All that is required is to transplant it from the State Constitution and to embed it in the Federal".
Pengiktirafan Islam sebagai agama Negara bukan komponen baru di bumi ini, ia sebenarnya adalah kesinambungan tradisi dan penerusan hak yang telah lama berakar, ia adalah 'Magna Carta', satu kontrak sosial yang tersirat, di samping termaktub sebagai komponen yang tersurat di dalam Perlembagaan.
Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang diperlengkap dan diperkukuh dengan beberapa peruntukan lain, telah memartabatkan Agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Kedudukan Raja sebagai Ketua Agama Islam dalam negerinya, berserta keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati oleh Raja-Raja Melayu yang tidak tersentuh dan tercacat, termaktub dalam Perkara 3(2) Perlembagaan.
Perkara-perkara utama mengenai Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsir secara harfiah. Ia perlu ditafsirkan secara holistik, dikaitkan dengan peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan, demi memastikan, tujuan sebenar peruntukan-peruntukan tersebut tidak dimanipulasikan hingga menidakkan hak yang nyata kepada umat Islam.
Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak di dalam Perlembagaan Persekutuan . Yang Arif Hakim Mohd. Noor Abdullah dalam penghakiman kes Meor Atiqulrahman Ishak dan yang lain - lawan - Fatimah Sihi dan yang lain, telah memberikan tafsiran berikut:
Petikan: "... Peruntukan 'Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai' bermakna Islam adalah agama utama di antara agama-agama lain yang dianuti di negara ini. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Ini bermakna Kerajaan bertanggungjawab memelihara, menyemarak dan mengembangkan Islam seperti mana yang termampu dilakukan oleh Kerajaan sekarang, dan agama-agama lain hendaklah diatursuai dan dihala tuju ke arah yang menjamin supaya ia diamalkan dengan aman damai dan tidak menggugat kedudukan utama agama Islam...."
Setelah hampir lima puluh enam tahun tanah air mencapai kemerdekaan, setelah empat belas kali Raja Melayu secara bergilir bertakhta di singgah sana Ketua Utama Negara, setelah tiga belas kali pilihan raya umum dilangsungkan, dan setelah enam Perdana Menteri memimpin Kerajaan Persekutuan, pentafsiran Perlembagaan dengan perspektif yang menghormati sejarah penubuhan Malaysia, amatlah penting diperingatkan semula, malah wajib terus diperingatkan.
Segala persetujuan, wajib dihormati. Prinsip-prinsip asas, terutama menyentuh Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali dikompromikan. Walau apa sekalipun alasan, walau apa muslihatnya, matlamat jangka pendek oleh mana-mana pihak, jangan sampai ke peringkat menggadaikan nasib ummah di hari ini dan di hari muka. Ummah wajib berdiri teguh - berpendirian tegas, tidak berundur, walau setapak sekalipun.

No comments:

Post a Comment