KUALA LUMPUR, 1 Mac – Pelbagai taktik dan manipulasi yang dilakukan oleh pakatan pembangkang termasuklah memburuk-burukkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) sebagai cara untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk membubarkan Parlimen bagi diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 , kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor, Datuk Hasbullah Osman.
Terbaru, provokasi pakatan pembangkang tersebar bahawa tarikh PRU pada Jumaat lalu ditangguhkan berikutan berkait dengan kepulangan penyiasat persendirian P Balasubramaniam. Jika mengikut jadual asal, Parlimen akan dibubarkan pada 22.2.2013 seperti yang dimaklumkan kepada beberapa pihak berkaitan tetapi dibatalkan pada saat-saat akhir.
“Siapa yang akan percaya pada Balasubramaniam lagi setelah apa yang dilakukannya malah buat akuan bersumpah pun masih boleh menipu inikan pula cakap-cakap yang banyak dipengaruhi oleh agenda politik pihak tertentu,” katanya kepada UMNO-Online.
Tegasnya, apa sahaja tindakan dan provokasi pakatan pembangkang sejak kebelakangan ini adalah menjurus kepada hasrat untuk mengubah persepsi rakyat terhadap BN.
“BN telah melaksanakan banyak tanggungjawab dan menghulurkan pelbagai bantuan kepada rakyat malah apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib sangat memberi kesan kepada masyarakat.
“Pembangkang terpaksa menggunakan pelbagai taktik setelah terbukti mereka gagal memperbaiki nasib rakyat di negeri-negeri tadbiran mereka dan cara yang ada sekarang hanyalah fitnah dan tipu helah yang dalam ayat politik ia disebut sebagai manipulasi agar rakyat keliru dan tidak bertumpu kepada agenda utama BN.”
Tambahnya, pakatan pembangkang mahu mengalihkan isu rakyat kepada perkara negatif dan Balasubramaniam adalah antara tumpuan mereka sekarang ini.
Balasubramaniam menjadi saksi dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu di Shah Alam, Selangor dan pernah membuat akuan bersumpah sebanyak dua kali yang mana kedua-dua akuan sumpah tersebut adalah bertentangan dan terbaru telah bersumpah bahawa akuan sumpah yang kedua tidak benar.
“Apabila seseorang itu sudah acapkali melakukan penipuan sehinga bersumpah pun sanggup menipu jadi apa lagi yang boleh dipercaya.
“Kali pertama bersumpah dia telah menipu dan kemudiannya bersumpah untuk kali kedua mengatakan sumpah sebelumnya adalah satu penipuan dan sekarang bersumpah lagi mengatakan sumpah kali kedua adalah pembohongan jadi yang mana satu rakyat mahu percaya… dah banyak kali menipu maka akan terus menipulah.”
Ujarnya, Balasubramaniam telah diperalatkan oleh pakatan pembangkang sebagai bahan manipulasi dan provokasi dalam hasrat meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap BN.
“Persoalannya kenapa dia balik sekarang… sebelum ini lari ke luar negara sebab takut kena tangkap dan sekarang apabila dekat dengan PRU dia balik sebab tahu kalau ditangkap akan dijadikan sebagai isu politik oleh pakatan pembangkang. Tentunya ada skrip yang telah dirancang untuk manipulasi negatif terhadap kerajaan melalui orang upahan.”
Bidasnya, rakyat tahu membuat penilaian dan tidak akan mudah terpengaruh dengan golongan yang gemar menipu. - MediaUMNO
No comments:
Post a Comment