Jika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan
dalam masa terdekat, jumlah keseluruhan yang layak mengundi ialah
seramai 13,291,385 orang.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd
Yusof berkata ini termasuk 243,204 pemilih baharu yang mendaftar pada
suku keempat tahun 2012.
Bagaimanapun, beliau berkata mereka yang mendaftar sebagai pemilih
pada suku pertama tahun 2013 masih ada harapan untuk mengundi dalam
PRU-13 jika Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri dibubar pada hujung
April, dan hari pengundian diadakan selepas cukup tempoh 60 hari.
“Sekarang ni dah bulan Februari, paling lewat Dewan Rakyat dibubarkan
ialah 30 April. Jadi maknanya, paling lewat SPR akan mengumumkan
(PRU-13) dalam tempoh dua bulan, mungkin sampai ke akhir bulan Jun
ataupun Julai (hari pengundian),” katanya kepada pemberita selepas
memberi taklimat serta menyerahkan watikah pelantikan pengurus pilihan
raya bagi negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang di sini hari ini.
Mengulas pemantau dari luar untuk PRU-13, Abdul Aziz berkata setakat
ini, SPR belum menerima sebarang nama, namun menjangkakan pemantau dari
negara Asean akan melibatkan diri.
Sementara itu, mengulas desas-desus ramai peserta Pameran Maritim dan
Udara Antarabangsa Langkawi 2013 (LIMA 2013) dari luar negara akan
menarik diri jika Dewan Rakyat dibubarkan sebelum acara tersebut
berlangsung, Abdul Aziz berkata secara peribadi, beliau merasakan tidak
ada masalah untuk menganjurkan pameran tersebut sebelum PRU-13.
“LIMA 2013 akan berlangsung selama lima hari pada 26 hingga 30 Mac
depan, dan perancangan untuk itu telahpun dibuat sejak dua tahun lepas.
Tempoh masa Dewan Rakyat masih ada sehingga 30 April ini,” katanya.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pernah
menjadi Menteri Pertahanan, jadi beliau lebih arif berhubung kepentingan
pelaburan asing dengan penganjuran LIMA 2013.
Abdul Aziz berkata Perdana Menteri tahu masa yang sesuai untuk membubar Dewan Rakyat dan menganjurkan LIMA 2013.
“Perdana Menteri, dia dah biasa dengan LIMA ni, Perdana Menteri
jugalah yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong bila nak bubar Dewan.
Pandangan saya tidak mungkinlah (LIMA bertembung dengan PRU-13),”
katanya
No comments:
Post a Comment